Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Jangan Lalaikan Hati Dengan Bergurau Jenaka

Sesiapa juga yang masuk ke suatu majlis hendaklah lebih dahulu memberi salam. Demikian adab yang digariskan dalam syariat Islam.

Elakkan perbuatan melangkahi bahu orang ketika masuk ke suatu majlis, justeru orang yang masuk dahulu hendaklah penuhkan tempat di hadapan.

Nasihat Nabi s.a.w mengenai memasuki sesuatu majlis hendaklah mencontohi akhlak malaikat, iaitu tidak duduk di suatu majlisnya selagi masih ada ruang hadapan.

Mereka duduk dengan rapat setelah penuh saf pertama barulah kalangan malaikat duduk pada saf kedua dan seterusnya.

Duduklah yang menghampiri situasi tawaduk', duduk dihadapan tidak bererti membesar diri, sebaliknya untuk melicinkan perjalanan majlis, sebagaimana adab majlis yang dituntut oleh Islam.

Selain itu hendaklah muliakan majlis dengan memberi salam serta berjabat salam, kepada ahli majlis yang terdekat sebelum duduk di antara mereka.

Mereka yang duduk terdekat ibarat jiran, lakukan sesuatu yang menyenangkan hati jiran sebelum duduk. Supaya mereka tidak merasa canggung dengan kedatangan anda.

Firman Allah swt yang bermaksud,
"Hai orang yang beriman, jangan kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya."
Surah An Nur ayat 27

Dua perkara hendaklah dilakukan sebelum memasuki bukan rumah sendiri, pertama lakukan 'istiknas' sesuatu perkara yang melunakkan suasana antara kita dan tuan rumah.

Umpamanya dengan berdehem dan sebagainya, supaya tuan rumah tidak terkejut dengan kedatangan kita.

Setelah itu barulah memberi salam (taslim), supaya jiwanya cukup bersedia untuk menerima tetamu.

Dilarang duduk ditempat laluan, kerana menimbulkan kesukaran dan gangguan kepada pengguna laluan. Jika terpaksa berada disitu hendaklah tunaikan adabnya.

Pertama; memalingkan pandangan (ghadhdhul bashar) kepada sesiapa jua yang melaluinya, agar mereka tidak segan silu menempuh laluan tersebut.

Adab kedua; ialah mesti beri pertolongan orang yang teraniaya (dizalimi), misalnya terjadi kemalangan jalanraya.

Tragedi itu melibatkan dua atau beberapa pihak, kelazimannya ada pihak yang teraniaya dalam peristiwa tersebut.

Tolong mereka yang teraniaya sama ada usaha hantar ke rumah sakit untuk menerima rawatan, ataupun tolong untuk buat laporan kepada pihak yang berkenaan dan sebagainya.

Pertolongan seterusnya ialah bersedia jadi saksi di mahkamah sekiranya perlu, supaya dapat terbela pihak yang teraniaya dalam tragedi tersebut. Agar darah tertumpah dan jiwa melayang tidak sia-sia sahaja.

Adab ketiga; ialah memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukannya, pelbagai pihak yang memerlukan bantuan.

Contohnya orang kurang upaya hadapi kesukaran untuk menyeberang jalan. Ataupun orang fakir yang tidak cukup duit tambang untuk pulang dan sebagainya.

Berilah pertolongan jika berlaku kesusahan yang pelbagai, sama ada kesulitan kerana menjunjung beban yang berat.

Tunjuk jalan kepada orang yang tersesat, tunjuk sesuatu tempat di mana seseorang itu berhajat untuk pergi ke destinasi tersebut.

Adab keempat; ialah menjawab salam daripada sesiapa jua yang mengucapkan; memberi kepada orang yang meminta jika ada, atau dengan perkataan yang manis (makruf) sekiranya tiada sesuatu yang hendak diberi.

Adab kelima; ialah menganjurkan sesuatu yang makruf, mencegah segala perkara mungkar yang berlaku dijalanan.

Tugas ini berat dan mencabar terutama mencegah kemungkaran, akan menerima reaksi pahit dan manis daripada pelbagai ragam manusia.

Adab keenam; cari tempat yang munasabah jika hendak meludah, tidak meludah ke arah kiblat. Ia suatu tempat paling mulia dalam Islam.

Sudah semestinya tidak meludah merata-rata, kerana ia merupakan perbuatan mencemar alam sekitar. Begitu juga membuang sesuatu semestinya ke dalam tong sampah.

Berhati-hati dan waspada agar tidak bergurau sama ada dengan orang yang bijak berakal fikiran (labib) mahupun terhadap orang yang bebal (safih).

Jika bergurau dengan orang yang hakim mereka mungkin tersinggung, kerana boleh menjejaskan nama dan kehormatan dirinya pada pandangan masyarakat kepadanya, akan menyifatkan diri anda sebagai tidak tahu memilih teman bergurau.

Jika bergurau dengan orang bebal (safih), dia akan anggap dirimu setaraf dengannya, akibatnya peribadimu tidak akan dihormati dan digeruninya lagi.

Sesiapa yang ditimpa bala dalam majlis akibat bergurau dan berseloroh, hendaklah dia menyebut nama Allah swt bertasbih atau istigfar, ketika hendak bangun meninggalkan majlis tersebut.

Berzikir dan beristighfar menunjukkan telah insaf atas kelalaian bergurau senda. Sebagai orang Islam tidak layak lupa sekeliling, lupa matlamat hidup dan dirinya diciptakan oleh Allah swt.

Sebagaimana dijelaskan oleh sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang berada di suatu majlis banyak bercakap sia-sia (lagha), lalu dia berzikir sebelum meninggalkan majlis:
"Maha Suci Allah serta dengan pujiku kepada-Mu dan aku bersaksi tiada tuhan kecuali Engkau, oleh itu mohon ampuni dosaku. Aku mengaku untuk undur semula bertaubat kepada-Mu."

Mengikut sabda Nabi s.a.w sekiranya membaca doa tersebut sebelum meninggalkan majlis, dosa (kecilnya) akan diampun Allah swt.


oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat