Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

HADITH 19 - Seseorang Yang Mengucap Kalimah Toyyibah Akan Masuk Dalam Benteng Allah swt Lalu Terselamat Daripada Azab Allah swt

Diriwayatkan daripada Hazrat 'Ali r.anhu katanya, "Rasulullah saw telah meriwayatkan daripada Jibrail a.s bahawa Jibrail a.s berkata, "Allah swt telah berfirman, "Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada tuhan melainkan Aku maka sembahlah Aku. Sesiapa yang datang kepadaKu di kalangan kamu dengan ikhlas bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah maka dia akan masuk dalam bentengKu dan sesiapa yang masuk dalam bentengKu maka dia akan terselamat daripada azabKu."
[Hadith Riwayat Imam Abu Nu'aim]

Keterangan

Jika maksud terselamat daripada azab dalam hadith ini juga adalah dengan syarat menghindarkan diri daripada melakukan dosa-dosa besar sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith ke-5, maka tidaklah menimbulkan apa-apa keraguan. Tetapi, jika seseorang mengucapkan kalimah ini dan melakukan dosa-dosa besar maka mengikut peraturan, azab yang dimaksudkan ialah azab yang berkekalan. Namun, rahmat Allah swt tidak terikat dengan sebarang peraturan. Allah swt telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Selain daripada syirik, Allah swt akan mengampunkan semua dosa sesiapa sahaja yang Allah swt kehendaki.

Terdapat dalam hadith bahawa Allah swt pasti mengazab seseorang yang angkuh dengan Allah swt dan ingkar untuk mengucapkan Laailaahaillallah.

Terdapat dalam satu hadith yang lain bahawa Laailaahaillallah akan sentiasa menjauhkan seseorang daripada kemurkaan Allah swt selagi dia tidak mengutamakan dunia daripada agama. Apabila seseorang itu mula mengutamakan dunia daripada agama dan dia sentiasa mengucapkan (kalimah ini) maka Allah swt menjawab,"Kamu tidak benar dengan dakwaan kamu itu."

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 5

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 5: NIAT TIDAK MENGHALALKAN CARA


Niat yang baik tidak menghalalkan semua cara perlaksanaannya. Mencuri tetap dijatuhkan hukuman meskipun atas niatnya untuk menolong orang susah. Kebaikan tidak dibina di atas kejahatan kerana baik dan jahat tetap bercerai sampai hari kiamat. Kebaikan pula tidak boleh hanya berdasarkan kepada penilaian diri sendiri tetapi kebaikan hendaklah berdalilkan hukum Syarak. Oleh itu ugama bukan hasil kreatif, tetapi ia adalah ketentuan yang telah ditentukan oleh Allah swt.

Hukum adat menjadi batal jika bercanggah dengan hukum-hukum Allah swt seperti contoh adat pemberian pusaka melebihkan anak perempuan dari lelaki. Walaupun adat ini menampakkan sedikit perlindungan kepada kaum wanita tetapi ia bercanggah dengan hukum yang terdapat di dalam Al-Quran. Percanggahan ini akan membawa berlakunya "riddah" jika ia sampai membenci hukum-hukum Allah swt dan berkata "hukum apa ni?".

Niat membenci atau tidak redha dengan sebarang hukum Allah swt akan menjatuhkan seseorang manusia itu ke lembah murtad tanpa disedari. Isu poligami jika dilihat dengan kebencian atas peraturan Allah ini lebih besar dosanya dari suami yang berpoligami yang mengabaikan isterinya yang lain. Dalam situasi ini suami tetap berdosa dan akan dibangun Allah swt di hari kiamat dalam keadaan tempang dan mendapat azab atas kezalimannya tetapi kebencian kepada hukum Allah swt pula menyebabkan seseorang itu dibangkitkan di hari kiamat bersama dengan orang-orang kafir.

Ugama Islam itu telah lengkap dan tidak perlu penambahan lagi. Penambahan berbentuk tempelan maupun tokok tambah dalam ugama akan menjadikan Islam itu cacat seumur hidup kerana tambahan itu lahir dari pemikiran manusia yang sedia lemah. Akal manusia itu tidak mampu mencipta satu sumber asas pun melainkan hanya mampu mengolah sumber yang Allah swt sediakan.

Manusia yang lemah hanya mengambil sumber-sumber yang wujud daripada alam milik Allah swt dan mustahil manusia boleh sama-sama mencipta peraturan dengan Allah swt. Hanya kesombongan iblis sahaja yang menjadikan manusia itu lupa hakikat ini. Lupa hakikat bahawa dia adalah makhluk lemah dan kerdil yang kemudiannya bangun mengkritik ciptaan Allah swt. Penyakit apa yang menyerang manusia-manusia ini sehinggakan akalnya tidak menerima hakikat kebenaran yang hakiki. Seruan kepada amal dan kebajikan belum tentu diterima oleh Allah swt.

Firman Allah:

"Akan tetapi orang yang melapangkan dadanya untuk kekufuran, maka kemurkaan Allah menimpa mereka Dan bagi mereka azab yang besar"

(Surah an Nahl, ayat 106)


Oleh itu, janganlah berselindung di balik sebarang niat atas sesuatu yang telah nyata terlarang. Niat yang baik bukannya alasan untuk menghalalkan sesuatu yang haram. Beriman kepada Al-Quran ialah menerima Al-Quran sepenuhnya (100%) dengan tidak menolak satupun ayat daripadanya.

Sesuatu yang telah putus datang dari Al-Quran dan Hadis tidak boleh diubah atau dipinda lagi. Kaedah "Qias" cuma boleh dilakukan bagi masalah yang tidak terdapat dalam Al-Quran maupun As-Sunnah. Lihat perbandingan hukum Qias yang juga tertakluk kepada kesediaan hukum atau tidak. Misalnya membeli lembu yang bunting tidak boleh diqiaskan seperti membeli pohon kurma yang sedang masak. Pembelian lembu bunting bererti mendapat bersama anak yang di dalam kandungannya dan menjadi hak pembeli tetapi membeli kurma yang masak, buahnya pula menjadi hak tuannya yang melakukan pendebungaan (tuan asal) kecuali terdapat persetujuan di awal pembelian.*

*(Dari Abdullah bin 'Umar r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:"Sesiapa menjual sepohon pokokkurma yang telah dikahwinkan, maka buahnya adalah milik penjual kecuali jika disyariatkan oleh pembeli". -Riwayat al-Bukhari dan Muslim)


Beriman dengan hukum Allah swt dengan sebenar-benarnya mestilah menolak sebarang peraturan dari bikinan tangan-tangan manusia. Niat yang baik sahaja tidak memberikan keluasan campurtangan manusia untuk menafikan hak Allah swt dan Rasul saw. Niat untuk mencari rezeki yang halal tidak dapat membersihkan pekerjaan di bank-bank riba, pramugari yang menghidangkan arak di atas kapal terbang, berdagang produk yang tidak halal dan lain - lain lagi.

Kesimpulan:

1. Niat yang baik tidak menghalalkan semua cara perlaksanaannya.

2. Kebaikan tidak boleh hanya berdasarkan kepada penilaian diri sendiri tetapi kebaikan hendaklah berdalilkan hukum Syarak.

3. Niat membenci atau tidak redha dengan sebarang hukum Allah swt akan menjatuhkan seseorang manusia itu ke lembah murtad tanpa disedari.

4. Akal manusia tidak mampu mencipta satu sumber asas pun melainkan hanya mampu mengolah sumber yang Allah swt sediakan.

5. Janganlah berselindung di balik sebarang niat atas sesuatu yang telah nyata terlarang. Niat yang baik bukannya alasan untuk menghalalkan sesuatu yang haram.

6. Niat yang baik sahaja tidak memberikan keluasan campurtangan manusia untuk menafikan hak Allah swt dan Rasul saw.