Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

HATI BESAR vs HATI KECIL


.... Sering berlaku, hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri!

Malam itu aku seolah-olah kembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku telah berjaya? Kata bijak pandai, ini soal yang tidak relevan.

Justeru menurut mereka, orang yang berjaya tidak sempat bertanya adakah aku berjaya, sepertimana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah aku bahagia?


Pedulikan kajian dan ungkapan sarjana. Aku kendalikan hidupku sendiri dan bebas memberi erti dan makna tanpa terikat dengan tesis dan hipotesis. Aku bebas menjadi raja pada diri sendiri selagi terus tunduk sebagai hamba Ilahi.

Di mana ukuran kejayaanku?

Dibisikkan pada hati, kejayaan itu apabila kau mencapai tujuan dalam hidupmu.

Lalu apakah tujuan hidup itu? Ini soalan asas yang sejak dahulu diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah. Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak 'ditulis' dalam kehidupan.

Sering sekali tujuan dibayangi keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat apabila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat.


Tujuan itu pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah seluruhnya. Keperluan itu ialah makanan, pakaian, kediaman, kenderaan dan harta. Tujuan itu ialah rasa kehambaan - takut, cinta, harap, taat - seorang hamba kepada Allah. Keperluan itu ialah harta, pakaian , kenderaan dan segala miliknya yang wajib dijadikan alat mencapai tujuan.

Ah, malang sekali jika aku merasakan kejayaan itu hanya apabila tercapainya keperluan. Padahal, hati dan diri masih jauh daripada berjinak-jinak dengan Allah. Jiwa masih liar. Nafsu masih buas. Dan tanpa disedari sering juga keperluan menjadi tujuan. Cinta Allah tersisih, takutkan Allah terpinggir, hanya kerana keperluan yang dicari tanpa henti atau yang telah melimpah tanpa batas.


Dan lebih aneh apabila ukuran kejayaan tertukar tanpa sedar. Kita mengukur ertinya pada neraca keperluan, bukan tujuan. Aku lebih berjaya apabila harta, rumah, dan kenderaanku mewah dan bertambah. Padahal di neraca tujuan, timbangan cinta, takut dan harapmu kepada Allah kian ringan.

Kekadang pandai pula syaitan berkias kata, berkilas rasa...katanya, kau mencari segala kerana Allah jua.

Jika benar harta dan milikmu itu kerana Allah jua, bagaimana rasa hatimu ketika mencari, mengurus, dan mentadbirnya? Apakah segala-galanya diurus tadbir dengan rasa takut, cinta dan mengharap keampunanNya? Bagaimana pula dengan solatmu, apakah kian khusyuk? Bagaimana dengan puasamu, apakah sudah soleh? Bagaimana dengan hajimu, apakah sudah mabrur? Bagaimana dengan mazmumahmu, sudahkah lebur?

Hati 'besarmu' boleh menipu, wahai diri... tetapi hati 'kecilmu' tidak mampu menipu. Hati kecilmu sentiasa tidak rela dan tega untuk menipu diri sendiri! Dialah yang paling terseksa apabila kau mengukur kejayaan berdasarkan keperluan, bukan tujuan!


Malam kian larut. Mata tidak mahu tidur diheret dalam kembara hati yang bersimpang siur. Apakah destinasiku saat ini? Apakah tujuan atau keperluan? Kembara hatiku terus melangkaui dinihari.. Hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri! *

Oleh: Pahrol Muhammad Juoi

Jadilah Seorang RAJA!

"Berapa lama awak dalam bidang ini?" Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini.

Silap-silap anda akan terasa kerdil apabila si penanya akan meletakkan 'orang besar' dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat.

Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasibku!

"Berapa ramai anak di universiti?" Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, "Dalam bidang apa? Perubatan, Kejuruteraan, Farmasi?"

Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap 'prestij', si penanya akan menerangkan betapa 'rendahnya' nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya 'biasa-biasa' sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah diri akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku...


Pak Lawak Yang Berasa Besar

Itu belum lagi anda bertemu dengan pak lawak yang berasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan 'orang-orang besar'. Anda seperti hendak ketawa apabila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Seri ini, Datuk itu, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya.

Padahal dia hakikatnya hanya 'pecacai' sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia 'kecil' apabila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan 'orang besar'nya.

Angguk-angguk, tunduk-tunduk...Ya,Datuk!, Ha! Tan Sri!

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar), seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

"Bagaimana rasanya apabila tidak dihargai?" tanya Mat. Nadanya sedih.

"Mengapa?" tanya saya simpati.

"Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama."

"Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu."

Dia merenung jauh.

"Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama."

"Tetapi aku sedih...Setelah sekian banyak yang aku lakukan."

Kita Berharga Tanpa Penghargaan

"Jangan mengharap terima kasih, Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup didunia ini tidak pandai berterima kasih.

Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula sesama manusia," kata saya seakan memujuk.

"Aku sedih, itu sahaja..."

"Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga."

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

"Apa maksud kau?"

Melihat Mat mula tenang, saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:

Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

"Selamat datang ulama, selamat datang orang alim... Ajarkan kami, ajarkan kami," sorak penduduk kampung.

"Mengapa kamu semua merasakan aku seorang alim?"

"Kerana serban besar yang tuan pakai."

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

"Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldaiku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!"

Menghargai Diri Sendiri

Mat ketawa mendengar cerita saya.

"Kau tahu, Nasiruddin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita, bukan pakaian, gelaran, dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri."

"Betul ke?"

"Ini hasil kajian pakar psikologi, Mat... Menurut mereka, penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita."

"Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?"

"Kau lebih tahu, Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu."

Cerita kedua: Seorang bijak pandai dijemput ke satu majlis jamuan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu, dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang kerumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan lalu pergi semula ke majlis tersebut.

Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.

"Mengapa?" Tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, "Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku."


Hidup Satu Perkongsian


Sekali lagi Mat ketawa.

"Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to 'complete' not to 'compete'- hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!"

Kemudian, giliran Mat pula bercerita - betapa ramai anak yang begitu 'admire' dengan ibu mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya , ibu mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula yang mengimpikan anak seperti mereka yang dianugerahkan 'Pelajar Cemerlang' dan sebagainya...hingga merasakan anak sendiri kurang 'harganya'.

"Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?"

"Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu terbaik...tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri."

"Tepat, Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai 'kelebihan' atau 'kebaikan' kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu."

"Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?"

"Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain."

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang pada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia...hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang raja bertanya kepada seorang petani miskin, "Siapa kamu?"

"Saya Raja," jawab petani.

"Raja?"

"Ya, Raja pada diri saya sendiri!"