Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 4

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 4: BELAJAR NIAT


Firman Allah swt:
"Sesungguhnya yang takut pada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah orang yang berilmu"
Surah Fatir : 28

Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaja akan tersasar daripada matlamat. Semakin hampir seseorang itu dengan al-Quran dan Hadis semakin jelas apa yang perlu diniatkannya.

Umpama meletakkan niat mengucup Hajarul Aswad di penjuru kaabah. Alasan yang diberikan oleh Saidina Umar r.a ketika mengucup Hajarul Aswad ialah kerana meneladani perbuatan Rasulullah saw.

Ketika umat Islam diarah mengadapkan wajah ke Baitullah, Masjidil Haram sesudah mengadap ke Baitul-Maqdis mereka tidak merasa berat untuk melaksanakannya kerana pada hakikatnya timur dan barat adalah milik Allah jua. Ketundukkan kepada hukum-hukum Allah merupakan gambaran hati dan iman di dalam diri.

Firman Allah swt:
"Apa jua perintah yang dibawa Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya kamu darinya, maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah kerana sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya."
(Surah Al-Hasyr. ayat 7)

Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan. Alasan yang berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah. Kaedah-kaedah yang lain seperti ijmak ulamak dan qias merupakan metodologi yang diterima pakai untuk kes-kes yang tidak jelas hukum-hakamnya(di dalam al-Quran dan As-Sunnah).

Apabila Rasulullah s.a.w bertanya Mu'az bin Jabal r.a dengan apa ia akan berhukum sekiranya tidak terdapat dalam Al-Quran dan As-Sunnah, Mu'az menjawab, "Aku akan berijtihad" dan Rasulullah s.a.w membenarkan ucapannya itu.

Semoga Allah terus memberkati semua imam-imam mujtahid yang meninggalkan pada kita khazanah ilmu untuk rujukan dan pertimbangan permasalahan hari ini.

Pengalaman mereka sebagai murabbi membentuk generasi awal yang berakhlak murni hasil dari keihklasan hati yang suci. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan. Ilmu juga membentuk rasa takut pada Allah swt sepanjang masa dan ketakutan inilah menonton seseorang hamba kepada Tuhannya. Ilmu itu mengenal kebaikan dan rahmat Allah swt dan tidak sombong dengan amalan diri sendiri. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "Faham". Faham dalam memahami sebarang situasi dalam masa orang lain masih bertelagah dengan berkecamuknya pandangan peribadi.

Bila Allah swt mengurniakan kepada seseorang "faham" maka jalan hidupnya begitu mudah kerana dia mempunyai deria untuk membezakan antara kebenaran dan kebatilan sekalipun kebatilan itu diliputi dengan hiasan seindah mana jua.

Niat perlu dijaga kerana ia bergantung kepada iman sedangkan iman itu boleh turun dan naik. Ketika iman memuncak, cahaya ikhlas memenuhi hati lantas tidak wujud sesuatu yang lain daripada Allah swt dan apabila iman sedang merangkak lemah, mulalah hati mencari pegangan-pegangan yang tidak layak seorang hamba melakukan begitu.

Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

Sungguhpun seekor itik itu tidak perlu diajar berenang di dalam air kerana fitrah kejadiannya begitu namun ia perlukan petunjuk dan panduan ke arah mana yang hendak dituju. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang. Mereka yang menghabiskan usianya untuk menuntut ilmu mempunyai kecepatan melintasi titian sirat adalah seperti cahaya juga. Ini disebabkan kemuliaan ilmu yang akan mendekatkan diri dengan Allah swt bukannya pula untuk kepentingan diri demi sebuah laba dunia.

Golongan berilmu terkehadapan memikir dan merasai kewajipan bagi menyelamatkan ummah agar jangan sampai berlakunya perlanggaran terhadap hukum-hakam. Hatinya sering merintih melihat ugama dipersendakan namun begitu dia tidak mengambil jalan uzlah selagi mana jalan perjuangan terbuka luas. Dia berjuang sampai ke titik akhir hidupnya sehingga tidak upaya lagi melakukan apa jua melainkan pancaran iman dari hatinya. Gerak hatinya menyaksikan susuk tubuh yang sudah tidak bermaya menjadi galang pada arus jahiliah yang mendatang tapi hati tetap menyala menerangi dari cahaya Rabbani yang tidak kunjung padam.


Kesimpulan:

1. Sungguhpun niat merupakan perbuatan hati secara spontan namun jika tidak dipandu dengan ilmu dan petunjuk, niat tetap sahaj akan tersasar dari matlamat.

2. Belajar niat bererti belajar meletakkan alasan pada sesuatu amalan yang dikerjakan.

3. Tanpa ilmu yang benar amalan akan menjadi kosong dan niat akan tersasar dari tujuan.

4. Sesiapa yang Allah swt kehendaki kebaikan kepadanya diberikan satu kemampuan yang dinamakan "faham".

5. Berhentilah sejenak bagi merenung niat di hati sebelum sesuatu amalan itu dilakukan. Bersihkan dari sebarang kepentingan duniawi lantaran kehidupan ini cuma sekadar mainan dan senda-gurau sahaja.

6. Manusia mempunyai keupayaan merasai kebenaran dengan hati tetapi panduan tetap diperlukan kerana gerak hati itu ibarat cahaya lampu yang tidak akan mengeluarkan cahaya tanpa adanya sumber tenaga. Tenaga itu dijana dari ilmu dan cahaya itu adalah pemberian Allah swt kepada seseorang.

Hak Muslim Saling Membantu dan Tidak Sakiti Sesama Mereka

SEBAHAGIAN daripada hak Muslim; ialah merasa sayang untuk Muslim apa saja yang kamu sayangi untuk diri sendiri. Apa yang kamu kehendaki orang lakukan untuk dirimu, demikianlah juga sepatutnya kamu lakukan untuk Muslim lain. Begitu juga menjadi hak Muslim membenci apa juga yang dibenci, sebagaimana kamu membencinya. Tidak melakukan kepada orang lain sebagaimana kamu benci orang lain lakukan ke atas dirimu.

Sabda Rasulullah s.a.w membuat bandingan antara seorang mukmin dengan mukmin lain melalui sabdanya yang bermaksud: "Perbandingan orang mukmin dengan mukmin yang lain dari segi kasih mesra di hati dan bergilir emosi kasih sayang ibarat tubuh yang satu, apabila satu anggota sakit seluruh anggota turut demam dan berjaga malam." Terdengar jerit tangis umat Islam tertindas di pelbagai pelusuk alam, tetapi tidak kedengaran saudaranya yang terdekat atau yang jauh datang membantu meredakan tangisan tersebut. Ini menunjukkan kebanyakan umat Islam belum upaya meningkat ke tahap mukmin, seperti yang disabdakan oleh Nabi s.a.w. Jika mukmin, mereka pasti turut merasai demam dan tidak tidur malam, kerana memikirkan untuk bantu saudaranya yang tertindas itu.

Andainya mereka di tahap mukmin mesti bergegas datang walaupun jauh, jika tidak terdaya hadirkan diri untuk menolong kerana halangan tertentu. Sekurang-kurangnya mereka mewujudkan dana, atau apa saja untuk bantu meringankan penderitaan saudara mukminnya itu.

Sekalipun berlainan warga negara etnik dan warna kulit, hanya ibarat berlainan nama jenis anggota badan. Namun pada hakikatnya orang beriman di serata dunia adalah laksana tubuh yang satu. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Orang mukmin di samping mukmin yang lain ibarat sebuah binaan, saling mengukuhkan antara satu dengan yang lain."

Suatu yang amat jelas peranan orang mukmin di sisi mukmin yang lain, saling bantu membantu antara mereka ibarat binaan saling mengukuhkan struktur, antara beberapa bahan binaan dengan bahan binaan yang lain. Hak orang Islam lagi antaranya ialah tidak menyakiti antara satu dengan yang lain, mahupun daripada jenis perbuatan atau ucap perkataan, sebagaimana dijelaskan oleh sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Orang Islam sebenar ialah; orang Islam lain selamat daripada bencana lidahnya serta tangan dan kakinya. Orang beriman ialah orang yang aman daripada diri dan hartanya. Orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan dan menjauhinya."

Lidahnya tidak diguna untuk mengata buruk, memfitnah juga tidak menipu dan mengadu domba, tangan serta kakinya tidak diguna untuk curi harta serta tidak menyakiti orang Islam lain. Jika orang lain tidak selamat dengan kewujudan manusia sebegini, bererti dia tidak memiliki ciri Islam sebenar. Ini kerana menurut Nabi s.a.w orang Islam ialah; orang yang menyerah kepada agama Allah dan memberi keselamatan. Orang beriman ialah orang lain aman daripada diri dan hartanya, orang muhajir ialah orang yang berhijrah daripada kejahatan akhlak dan akidah yang salah serta menjauhinya. Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tidak halal bagi orang Islam berbuat sesuatu, yang boleh menimbulkan rasa gerun di hati orang lain."

Gerun mungkin dengan ugutan atau kata buruk berupa ancaman serta buat suatu kezaliman dalam bentuk kekerasan, yang boleh menimbulkan rasa takut dan gerun merupakan perkara yang dilarang oleh Islam kecuali hukuman hudud yang dikehendaki oleh Allah swt, supaya dilaksanakan ke atas penjenayah yang sudah disabitkan oleh mahkamah.

Sebahagian daripada tanggungjawab setiap orang sebagai ahli masyarakat ialah; mesti tawaduk(berakhlak dan merendah diri) serta tidak takbur membesar diri walau setinggi mana ilmu yang dikuasai atau pangkat kedudukan dalam masyarakat. Apabila berhadapan sesama Islam hendaklah bersikap berakhlak dan merendah diri, sama ada dari sudut tutur kata atau tingkah laku.

Hak orang Islam juga tidak mendengar segala buah mulut manusia antara satu sama lain, kerana buah mulut itu tidak semuanya memberi manfaat, bahkan boleh mencetuskan krisis sengketa dalam masyarakat. Tidak boleh sama sekali menyampaikan kata-kata, yang didengar daripada seseorang kepada orang yang berkenaan. Sebaiknya segera ditegur semasa mendengar cemuhan jika faktanya tidak benar, atau tinggalkan saja orang berkenaan agar tidak terbabit dalam perkara bercanggah dengan syarak.

Dijelaskan di dalam hadis Nabi s.a.w yang bermaksud: "Tidak masuk syurga orang adu domba manusia(Qottatun)." Amalan keras daripada Nabi s.a.w kepada golongan melaga-lagakan manusia itu, kerana dengan sikapnya yang buruk itu akan mendatangkan huru-hara perbalahan dalam masyarakat.

Dilarang keras bagi yang bersengketa hingga tidak bertegur sapa melebihi tiga hari walaupun terlalu marah. Allah swt jadikan manusia bersifat lemah dan kekurangan yang mungkin terjerumus ke jurang perbalahan, justeru diciptakan pula peraturan yang sesuai dengan sifat kekurangan yang ada pada manusia itu.

Lantaran sifat marah itu dikurniakan kepada manusia bermanfaat jika sesuai pada tempatnya, tetapi boleh menerbitkan perbalahan adalah hasil dari sifat tersebut. Selagi boleh elakkanlah perbalahan. Tidak bertegur sapa akibat perbalahan dimaafkan oleh syarak sekiranya tidak melebihi tiga hari, sebagai peraturan setimpal meraikan sifat manusia yang pemarah itu.



oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jangan Jadikan Harta Lebih Bernilai Daripada Maruah

ANTARA perkara yang perlu dielakkan dalam majlis iaitu jangan berbuat-buat(mengada-ada) dari segi berhias, sebagaimana kesungguhan golongan wanita berhias.

Tidak dilarang berhias bagi golongan lelaki, bahkan digalakkan berhias dalam bentuk berpakaian kemas apabila berhadapan masyarakat. Ia akan dihormati orang ramai lantaran kekemasan dan disiplin dalam mengurus diri.

Perhiasan bagi golongan lelaki tidak sampai ke tahap berdandan golongan wanita, berdandan atau berhias sememangnya sinonim bagi wanita.

Wanita diciptakan oleh Allah swt, untuk menyenangkan dan memekarkan sikap mawaddah di hati para suami.

Jika wanita fizikalnya kurang cantik mudah-mudahan akan lebih menarik apabila berdandan, ia akan lebih menawan pandangan suaminya dan mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Jangan sesekali golongan lelaki keadaan dirinya berselekeh sebagimana selekehnya hamba abdi, munasabah selekeh bagi golongan hamba abdi sahaya kerana situasi diri sebagai hamba abdi.

Abdi sebagai manusia yang tawanan yang tewas di medan perang, bagi manusia yang bukan hamba abdi tidak wajar berkeadaan selekeh.

Jangan terlalu menekan sahabat apabila hendak menyempurnakan sesuatu hajat, berlapang dada sekiranya sahabat tidak dapat memberi pertolongan. Mungkin dia sedang bermasalah.

Perbuatan menekan atau mendesak, akan menyulitkan interaksi dan boleh menyekat untuk berurusan lagi dengannya. Ini kerana cara demikian sememangnya bercanggah dengan tatasusila persahabatan.

Jangan beri semangat kepada kawan bermatlamat ke arah kezaliman, hal itu terjadi mungkin tidak upaya atau takut melakukan sendiri.

Berhubung dengan kadar harta yang dimiliki, jangan diberi tahu kepada ahli keluarga dan anak-anak, lebih-lebih lagi orang lain.

Ini kerana sekiranya mereka tahu harta milik anda sedikit, boleh menyebabkan seseorang dipandang hina oleh masyarakat.

Sekiranya seseorang itu memiliki banyak harta, jangan diberitahu kepada mereka. Ini kerana kamu tidak akan mampu menyempurnakan segala hajat mereka hingga ke peringkat memuaskan hatinya.

Jagalah kedudukan diri supaya digeruni anggota masyarakat, tetapi tidak sampai ke peringkat kekerasan.

Hendaklah berlembut dalam sebarang tindakan dengan manusia, tetapi jangan sampai dianggap kamu lemah tidak berupaya.

Sebagaimana Nabi s.a.w sentiasa digeruni oleh para sahabatnya, tetapi para sahabat tidak takut menegur atau menanyakan sesuatu jika melihat sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Baginda s.a.w.

Ini kerana cara Nabi s.a.w bersahabat menyebabkan orang mudah menegurnya sekalipun peribadinya digeruni.

Apabila seseorang berselisih pendapat dengan sesiapa jua, hendaklah bersifat tenang hati serta bercakap secara sopan dengan mereka.

Selain itu hendaklah sentiasa waspada supaya tidak bertindak kasar. Sebagaimana doa masyhur yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya jangan jadikan aku hina pada pandangan orang atau diperhinakan, hindarkan daripada tergelincir perjalanan atau ada sesuatu yang menyebabkan tergelincir. Hindarkan sesat ataupun ada sesuatu yang menyebabkan tersesat, dan jangan jadikan aku kasar atau orang bertindak kasar terhadapku."

Jika berselisih pendapat dengan seseorang, hendaklah bersungguh memerah fikiran untuk kemukakan segala hujah dan dalilnya.

Dalam sesuatu pertikaian aka wujud pihak yang mendakwa, kewajipan pendakwa mesti kemuka bukti (baiyyinat) yang melebihi tahap munasabah. Pihak yang terdakwa perlu kemuka hujah bagi menyangkal dakwaan.

Sesungguhnya dikenali seseorang itu atas kebenarannya. Yang wajib dipatuhi ialah kebenarannya kerana kebenaran itu hakikatnya daripada Allah swt.

Yang wajar dituruti bukan orangnya, kerana bagaimana gagah sekalipun seseorang itu tidak akan membawa manusia ke syurga. Bahkan jika tiada hujah kebenaran akan ke neraka jua akhirnya.

Selain itu jangan terlalu banyak membuat isyarat tunjuk ke sana sini, juga jangan banyak berpaling ke belakang. Kerana ia akan menghilangkan sifat tenang (waqar) dalam dirinya.

Apabila kemarahan sudah reda apabila berlaku perselisihan, ketika itu barulah seseorang boleh menyambung percakapan.

Ini kerana bercakap ketika kemarahan sedang memuncak, hanya akan mendatangkan natijah yang negatif.

Jika berlaku perselisihan berhubung dengan harta, janganlah meletakkan harta benda lebih mulia daripada air muka dan harga diri (maruah), kerana taraf harta di sisi Tuhan lebih rendah daripada air muka atau maruah.

Sekiranya berlaku perselisihan mengenai harta, jika nilainya tidak begitu besar, wajar diselesaikan cara berlbih kurang berhalal-halalan. Perbalahan jangan sampai meletakkan harta lebih bernilai daripada maruah harga diri.

Yakinlah bahawa harta itu pasti akan kembali kepada pemiliknya sebenar di akhirat kelak.

Betapa aibnya didepan Allah swt dan para rasulNya, serta manusia seluruhnya di Mahsyar kelak menyaksikan manusia terpaksa menyerahkan kembali harta orang yang diambilnya.

Dengan demikian akan tawar hati hendak memiliki harta kepunyaan orang lain, dengan cara yang menyalahi agama dan undang-undang.

Dengan itu perbalahan dapat dihindari dan sifat tamak dapat dicegah.


oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Jangan Lalaikan Hati Dengan Bergurau Jenaka

Sesiapa juga yang masuk ke suatu majlis hendaklah lebih dahulu memberi salam. Demikian adab yang digariskan dalam syariat Islam.

Elakkan perbuatan melangkahi bahu orang ketika masuk ke suatu majlis, justeru orang yang masuk dahulu hendaklah penuhkan tempat di hadapan.

Nasihat Nabi s.a.w mengenai memasuki sesuatu majlis hendaklah mencontohi akhlak malaikat, iaitu tidak duduk di suatu majlisnya selagi masih ada ruang hadapan.

Mereka duduk dengan rapat setelah penuh saf pertama barulah kalangan malaikat duduk pada saf kedua dan seterusnya.

Duduklah yang menghampiri situasi tawaduk', duduk dihadapan tidak bererti membesar diri, sebaliknya untuk melicinkan perjalanan majlis, sebagaimana adab majlis yang dituntut oleh Islam.

Selain itu hendaklah muliakan majlis dengan memberi salam serta berjabat salam, kepada ahli majlis yang terdekat sebelum duduk di antara mereka.

Mereka yang duduk terdekat ibarat jiran, lakukan sesuatu yang menyenangkan hati jiran sebelum duduk. Supaya mereka tidak merasa canggung dengan kedatangan anda.

Firman Allah swt yang bermaksud,
"Hai orang yang beriman, jangan kamu masuk ke dalam rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya."
Surah An Nur ayat 27

Dua perkara hendaklah dilakukan sebelum memasuki bukan rumah sendiri, pertama lakukan 'istiknas' sesuatu perkara yang melunakkan suasana antara kita dan tuan rumah.

Umpamanya dengan berdehem dan sebagainya, supaya tuan rumah tidak terkejut dengan kedatangan kita.

Setelah itu barulah memberi salam (taslim), supaya jiwanya cukup bersedia untuk menerima tetamu.

Dilarang duduk ditempat laluan, kerana menimbulkan kesukaran dan gangguan kepada pengguna laluan. Jika terpaksa berada disitu hendaklah tunaikan adabnya.

Pertama; memalingkan pandangan (ghadhdhul bashar) kepada sesiapa jua yang melaluinya, agar mereka tidak segan silu menempuh laluan tersebut.

Adab kedua; ialah mesti beri pertolongan orang yang teraniaya (dizalimi), misalnya terjadi kemalangan jalanraya.

Tragedi itu melibatkan dua atau beberapa pihak, kelazimannya ada pihak yang teraniaya dalam peristiwa tersebut.

Tolong mereka yang teraniaya sama ada usaha hantar ke rumah sakit untuk menerima rawatan, ataupun tolong untuk buat laporan kepada pihak yang berkenaan dan sebagainya.

Pertolongan seterusnya ialah bersedia jadi saksi di mahkamah sekiranya perlu, supaya dapat terbela pihak yang teraniaya dalam tragedi tersebut. Agar darah tertumpah dan jiwa melayang tidak sia-sia sahaja.

Adab ketiga; ialah memberi pertolongan kepada mereka yang memerlukannya, pelbagai pihak yang memerlukan bantuan.

Contohnya orang kurang upaya hadapi kesukaran untuk menyeberang jalan. Ataupun orang fakir yang tidak cukup duit tambang untuk pulang dan sebagainya.

Berilah pertolongan jika berlaku kesusahan yang pelbagai, sama ada kesulitan kerana menjunjung beban yang berat.

Tunjuk jalan kepada orang yang tersesat, tunjuk sesuatu tempat di mana seseorang itu berhajat untuk pergi ke destinasi tersebut.

Adab keempat; ialah menjawab salam daripada sesiapa jua yang mengucapkan; memberi kepada orang yang meminta jika ada, atau dengan perkataan yang manis (makruf) sekiranya tiada sesuatu yang hendak diberi.

Adab kelima; ialah menganjurkan sesuatu yang makruf, mencegah segala perkara mungkar yang berlaku dijalanan.

Tugas ini berat dan mencabar terutama mencegah kemungkaran, akan menerima reaksi pahit dan manis daripada pelbagai ragam manusia.

Adab keenam; cari tempat yang munasabah jika hendak meludah, tidak meludah ke arah kiblat. Ia suatu tempat paling mulia dalam Islam.

Sudah semestinya tidak meludah merata-rata, kerana ia merupakan perbuatan mencemar alam sekitar. Begitu juga membuang sesuatu semestinya ke dalam tong sampah.

Berhati-hati dan waspada agar tidak bergurau sama ada dengan orang yang bijak berakal fikiran (labib) mahupun terhadap orang yang bebal (safih).

Jika bergurau dengan orang yang hakim mereka mungkin tersinggung, kerana boleh menjejaskan nama dan kehormatan dirinya pada pandangan masyarakat kepadanya, akan menyifatkan diri anda sebagai tidak tahu memilih teman bergurau.

Jika bergurau dengan orang bebal (safih), dia akan anggap dirimu setaraf dengannya, akibatnya peribadimu tidak akan dihormati dan digeruninya lagi.

Sesiapa yang ditimpa bala dalam majlis akibat bergurau dan berseloroh, hendaklah dia menyebut nama Allah swt bertasbih atau istigfar, ketika hendak bangun meninggalkan majlis tersebut.

Berzikir dan beristighfar menunjukkan telah insaf atas kelalaian bergurau senda. Sebagai orang Islam tidak layak lupa sekeliling, lupa matlamat hidup dan dirinya diciptakan oleh Allah swt.

Sebagaimana dijelaskan oleh sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:
"Sesiapa yang berada di suatu majlis banyak bercakap sia-sia (lagha), lalu dia berzikir sebelum meninggalkan majlis:
"Maha Suci Allah serta dengan pujiku kepada-Mu dan aku bersaksi tiada tuhan kecuali Engkau, oleh itu mohon ampuni dosaku. Aku mengaku untuk undur semula bertaubat kepada-Mu."

Mengikut sabda Nabi s.a.w sekiranya membaca doa tersebut sebelum meninggalkan majlis, dosa (kecilnya) akan diampun Allah swt.


oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 3

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 3: NIAT DAN IMAN


Firman Allah:

"Dia mengetahui pandangan mata yang khianat dan apa yang disembunyikan oleh hati. Dan Allah menghukum dengan adil. Manakala sembahan yang mereka sembah selain Allah tidak dapat menghukum dengan sesuatu apapun. Sesungguhnya Allah, Dialah yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat".

(Surah Ghafir, ayat 19-20)

Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran di hati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

Niat juga merupakan suatu pantulan dari cahaya Iman kerana niat itu datang dari hati yang dalam bukan dari kenyataan atau ikrar yang panjang-panjang. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

Jika niat selalu cenderung kepada keburukan petanda bahawa diri dikuasai oleh nafsu kerana nafsu itu sering mengajak kepada kejahatan di samping syaitan yang memikirkan pelbagai kaedah untuk menyesatkan manusia.

Allah swt membekalkan kepada manusia aqal dan iman untuk bertarung dengan kejahatan yang dilakukan oleh orang-orang kafir, orang munafiq, orang-orang Islam yang mempunyai jiwa yang hasad, syaitan dan nafsu.

Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering. Hasad itu ialah menginginkan agar lenyapnya kenikmatan yang dinikmati oleh seseorang dan berpindah kepada dirinya sendiri dengan wujudnya lagi perasaan kedua yang mengharapkan agar orang tersebut ditimpa penderitaan.

Lihatlah apabila terjadinya pembakaran bukit dan hutan pada musim kering. Api akan memakan seluruh ranting dan daun dan mengeluarkan bahang kepanasan yang tinggi. Inilah yang berlaku pada tubuh yang sedang dibakar dengan api hasad sehinggakan wujudnya kegelisahan dan penderitaan batin terus menerus. Apalah padahnya bergembira di atas kesedihan orang lain sedangkan lidah juga terus berbicara melemparkan seranah dusta. Alangkah busuk dan kejinya hati meskipun wajah zahir nampak anggun dan ayu.

Jika ini berlaku, cepat-cepatlah memohon keampunan kepada Allah di atas keburukan hati ini. Belajarlah memahami perasaan orang lain yang juga sama dan serupa kehendaknya. Alah yang Maha Adil telah meletakkan takdir itu dengan keluasan ilmuNya. Allah sahaja yang mengetahui kenapa seseorang itu diberikan kesenangan dan kepada orang lain ditimpa kepayahan hidup. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa keduanya itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

Salah satu amalan yang boleh menghakis perasaan hasad ialah melalui sedekah. Sedekah itu mewujudkan rasa keprihatinan kepada kesusahan orang lain. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu-daya syaitan.

Firman Allah swt:

"Syaitan itu menjanjikan kepada kamu dengan kemiskinan (jika kamu bersedekah) dan menyuruh kamu berbuat yang keji. Dan Allah menjanjikan kepadamu suatu ampunan daripadaNya dan kurnia (jika bersedekah) dan Allah maha luas (kurniaNya) lagi Maha Mengetahui."
(Surah Al-Baqarah, ayat 268)

Kesimpulan:

1. Iman merupakan anugerah Allah yang sangat tinggi. Merasai kebenaran dihati walaupun mata dan pancaindera lain tidak mampu merabanya.

2. Niat yang benar mempunyai stamina yang cukup kuat untuk menempuh gelombang perjuangan yang mencabar dan ia tidak mudah gugur di pertengahan jalan apatah lagi berpatah ke belakang dan mencari jalan menghancurkan kebenaran sama ada bersendirian atau pun berkumpulan.

3. Jagalah hati agar jangan sampai bersarangnya tunas hasad dalam diri kerana hasad akan memusnahkan amalan bagaikan api yang memakan seluruh dedaunan tatkala musim kering.

4. Cukuplah bagi kita meyakini bahawa kesenangan dan kepayahan itu merupakan ujian hidup yang perlu ditempuhi dan kita sendiri tidak tahu yang mana lebih baik di antara keduanya.

5. Sedekah merupakan proses mujahadah hati agar jangan sampai terkena penyakit "takut miskin" kerana penyakit tersebut merupakan tipu daya syaitan.


Wallahualam.

HADITH 33 - Hak Al-Quran Atas Kita Ialah Dibaca Sekurang-Kurangnya 2 Kali Setahun

Sesetengah ulama mengeluarkan fatwa bahawa hendaklah mengkhatamkan al-Quran sekali setiap bulan. Yang terlebih baik ialah sekali khatam pada setiap minggu, sebagaimana diriwayatkan mengenai amalan kebanyakan para sahabat r.anhu. Seseorang itu hendaklah memulakan bacaan pada hari Jumaat dan membaca satu Manzil* setiap hari, dengan ini al-Quran dapat dikhatamkan pada hari Khamis dalam masa 7 hari. Kata-kata Imam Abu Hanifah rah. telah dinyatakan sebelum ini, iaitu menjadi hak al-Quran supaya dikhatamkan 2 kali setahun. Oleh kerana itu, janganlah membaca al-Quran kurang daripada 2 kali khatam dalam setahun dalam apa-apa keadaan pun.


Dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa jikalau bacaan al-Quran itu disempurnakan pada permulaan hari, malaikat-malaikat mendoakan rahmat bagi pembaca itu untuk sepanjang hari tersebut. Jika bacaan disempurnakan pada permulaan malam, malaikat-malaikat akan mendoakan rahmat baginya sepanjang malam tersebut. Sesetengah ulama mengambil pengajaran daripada hadith ini bahawa pada musim panas bacaan al-Quran hendaklah disempurnakan pada permulaan siang dan pada musim sejuk pada permulaan malam. Dengan cara ini pembaca itu mendapat manfaat doa malaikat bagi jangka masa yang lebih lama.


* Manzil ialah satu bahagian daripada al-Quran yang dibahagi tujuh.