Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 1

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 1:NIAT BUKAN LAFAZ


Niat merupakan bicara hati bukannya bicara lidah. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari. Oleh itu cermatilah bahasa hati agar dia sentiasa benar-benar lurus seiring dengan perkataan dan perbuatan.

Tubuh badan pula menterjemah niat di hati dan syaitan pula sedaya upaya menyesatkan seseorang itu bermula dengan niatnya. Allah SWT menyediakan petunjuk AL-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

Sabda Nabi s.a.w:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku. Kedua-dua tidak akan berpisah hinggalah keduanya mendatangiku di al-Haudh."

(Diriwayat dari Abu Hurairah r.a)


Kita dipertemukan atas pegangan ini bukan terikut dengan pelbagai falsafah -falsafah moden dan lama yang cuba mengeluarkan kita dari kemurnian beragama. Pendapat-pendapat yang lemah dari sebahagian ulamak diangkat untuk menidakkan ketulenan pegangan. Misalnya tentang "wafaq" yang mengambil kiraan bintang (nujum) untuk tujuan sesuatu hajat, masih lagi ada pihak yang mahu mempertahankannya walaupun terdapat hadis soleh menolaknya.

Perbicaraan tentang wafaq diperluaskan bagi mencari celah untuk membolehkan sedangkan jumhur ulamak, malah hampir keseluruhan ulamak menolaknya. Sejauh mana manfaatnya wafaq dalam menentukan sesuatu hajat melainkan mereka dengan sedikit kelebihan yang dimunculkan oleh golongan jin.

Inilah persimpangan pertama hasil dari niat seseorang dalam melakukan sesuatu ketaatan. Letakkanlah kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti. Beruntunglah Uwais Al Qarni yang namanya tidak disebut dibumi tetapi dikenali dikalangan penduduk di langit.

Kesimpulan

1. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari.

2. Allah swt menyediakan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat
lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

3. Letakkanlah niat kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti.