Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 12

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 12: PELBAGAI MACAM NIAT

Lintasan Hati


Lintasan hati bukan niat sementara niat itu berlaku apabila telah ada satu kebulatan hati(qasad) untuk melaksanakannya. Di dalam membicarakan kes qisas iaitu orang yang membunuh wajib dibunuh balas kecuali jika berlakunya pembunuhan itu tanpa niat hanya dikenakan hukum "diat" sahaja. (rujuk dalam bab al-Qatlu al-Khata')

Lintasan hati boleh jadi datang dari "dhamir" manusia yang benar ataupun boleh berlaku dengan gangguan syaitan. Dhamir manusia yang bersih dan sering dibersihkan dari segala sifat mazmumah merupakan lantunan dari fitrah manusia yang bersih.

Hati itu dari fitrah yang bersih dan sangat peka dengan sebarang kesalahan. Namun begitu pada saat kesalahan itu berulang kepekaannya menjadi kurang dan hati sudah tidak dapat lagi pantunan fitrahnya yang bersih.

Umpama seorang pencuri yang mencuri buat pertama kalinya terasa sangat bersalah tetapi lama kelamaan bila sudah terbiasa dengan kerja mencuri ia tidak lagi merasai apa-apa penyesalan dalam dirinya melainkan timbul keinginan kedua bagi terus melakukan maksiat tersebut.

Dalam keadaan ini lintasan hatinya bukan dari dhamir yang bersih tetapi merupakan bisikan dari syaitan dan nafsu yang mengajak kepada keburukan.

Banyakkan membaca doa perlindungan jika wujudnya lintasan hati yang buruk kerana dibimbangi membawa kepada prasangka.


Nazar

Nazar merupakan ucapan yang mewajibkan amalan sunat ke atas dirinya. Hukumnya wajib dilaksanakan dan mana-mana nazar yang tidak boleh dilakukan wajib padanya membayar kafarah atas nazarnya itu.

Membayar kafarah itu ialah:
- memberi makan kepada 10 orang miskin atau
- memberi pakaian kepada 10 orang miskin
- jika tidak kuasa, wajib berpuasa 3 hari berturut-turut.

Bapa saya berkata "Aku berniat untuk mengadakan kenduri menyembelih kambing sekiranya padi tahun ini menjadi". Ucapan itu sebenarnya telah menjadi sebuah nazar dan wajib dilaksanakan jika benar-benar berlaku seperti apa yang diharapkan itu.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur engkar sesungguhnya azabKu amatlah keras"
(Surah Ibrahim, ayat 7)

Seorang ibu telah dinasihati oleh doktor untuk menggugurkan kandungannya akibat jangkitan rubella kerana rubella tersebut boleh menyebabkan kecacatan janin pada anak yang bakal dilahirkan. Si ibu bernazar "Jika anakku dilahirkan sempurna, aku akan pakaikan emas padanya". Dengan takdir Allah SWT, anak tersebut dilahirkan dalam keadaan normal lagi comel tetapi seorang lelaki. Jadi bagaimana hukumnya memakaikan emas pada seorang anak lelaki? Hukumnya wajib membatalkan nazarnya dan membayar kafarah atas nazar tersebut.


Himpunan Niat

Walaupun dikatakan terdapat banyak tujuan atau niat dalam sesuatu amalan namun ia masih lagi tidak terkeluar daripada "kerana Allah" selagi niat itu untuk kebajikan. Berniaga kerana Allah SWT juga boleh disabitkan dengan tujuan untuk mencari rezeki yang halal, berniaga kerana mengikut As-Sunnah, berniaga kerana mahu mengumpulkan harta buat mengerjakan haji, berniaga kerana mahukan pendapatan bagi menampung pengajian anak-anak dan lain-lain lagi. Kesemuanya itu masih tidak menyimpang dari niat yang benar iaitu "kerana Allah".

Niat yang banyak ini masih tidak menjejaskan keikhlasannya dan ini berbeza dengan orang yang berniaga kerana mahukan habuan di dunia semata-mata seperti pujian dan sanjungan manusia. Hidup sebagai seorang penganggur dan mengharapkan bantuan orang lain bukan dari ajaran Islam. Islam mengajar ummatnya merebut segala nikmat yang ada di dunia dari terjatuh ke tangan golongan kafir. Jika kekuasaan itu berada kepada golongan kafir mereka akan menjadikan dunia ini sebagai tempat berbunuhan dan penindasan tetapi jika dunia ini ditadbir oleh muslim yang benar ugamanya, keadilan akan merata dan ditegakkan. Oleh sebab itu pada zaman keagungan Islam, kaum kafir memilih untuk hidup di bawah naungan Islam dari bangsa mereka sendiri.

Oleh sebab itu wajib pada kita untuk terus mengharapkan akan wujudnya sebuah Daulah Islamiah yang mengamalkan Islam seratus peratus. Islam yang diambil contoh dari pentadbiran Rasulullah SAW kerana inilah sahaja jalan yang Allah redha di dunia dan di akhirat.


Apakah "Usalli" Itu Niat

Oleh kerana hal ini sering dibahaskan maka saya cuba rungkaikan agar menjadi mudah perbincangan. Usalli itu bukanlah niat, dia adalah lafaz di luar solat. Adakah ia dibolehkan?

Sebelum menjawabnya saya kena bertanya anda terlebih dahulu kerana Rasulullah SAW menjawab dengan melihat aqal orang yang bertanya. Jika anda mahu belajar membaca Al-Quran sudah tentu awalnya perlu mempelajari Qiraati dan kalau tidak menggunakan Qiraati, boleh gunakan Iqra' atau Muqaddam. Namun begitu apabila anda sudah boleh membaca Al-Quran, Qiraati tidak perlu dibaca lagi.

Saya tidak mahu membicarakan persoalan ini samada anda menyatakan ia khilaf atau bida'ah. Perkara yang dituntut dalam solat ialah niat dengan hati yang penuh dengan kesedaran bukannya kealpaan. Kita terus berpecah tentang usalli tetapi tidak ada tindakan pada orang yang tidak solat.

Ramai angkatan muda yang tidak tahu membaca Al-Quran. Siapa yang hendak betulkan mereka. Gejala rempit, dadah, syabu, pelacuran adalah antara gejala sosial yang sedang melanda generasi muda hari ini.Ini lebih afdal kita perangi disamping kerja utama ialah membetulkan kembali aqidah yang telah lama goyah.

Salah satu penyelewengan aqidah yang sangat parah ialah tidak percaya atau memandang rendah dengan hukum Allah SWT. Lantaran itu, hidup mereka tidak ada perjuangan bagi menegakkan hukum Allah SWT di timur dan barat dan ingin melihat kembali daulah Islam tertegak dengan jayanya.

Bagaimana hendak mengembalikan kesedaran ini sedangkan Islam itu terhimpit di tengah kejahilan ummat dan kelesuan ulamak. Ulamak lebih suka memilih kerja yang tidak memberatkan bahu memikul kerana kerja-kerja Islam memerlukan sejumlah perngorbanan yang tidak boleh dihitung.

Walaupun hari ini semua sempadan ugama telah diserang namun mata masih mampu lena tanpa wujudnya kerisauan memikirkan hal ini. Hari ini bukannya masa untuk masuk ke gua dan juga bukan masa untuk terus berhiba lantaran Rasul sudah tiada tetapi inilah zaman yang datang meminta baiah setia demi sebuah kedaulatan untuk ditegakkan.


Kejahatan Dengan Niat

Hasad dengki ialah perasaan yang mahu melihat kelebihan yang diberikan Allah pada seseorang itu lenyap dan diganti dengan kesusahan dan dia mengharap nikmat itu diberikan kepadanya.

Orang jenis ini tidak tahu mensyukuri nikmat yang ada dalam tangannya melainkan mahu menggalas gunung emas di atas belakang. Niat yang jahat ini juga kadangkala menjadi penyakit 'ain yang terpancar pada mata seseorang. Pandangan matanya mengandungi racun yang boleh menyakiti tubuh badan manusia secara fizikal.

Rasulullah SAW mengajar doa bagaimana untuk melindungi diri daripada penyakit yang disebabkan oleh mata ini. Inilah kesan dari keracunan hati yang ada penyakit lalu Allah tambah lagi penyakit padanya. Allah menjanjikan tempat balasan di dalam azabnya yang maha pedih.


Niat Untuk Mempelajari Sihir

Sihir itu boleh menyebabkan syirik dan hukumnya wajib dibunuh. Oleh itu jangan ada sedikit ruang di hati untuk mempelajari ilmu-ilmu yang boleh menyebabkan terkeluarnya dari ugama. Mencari kemegahan di dunia dengan cara ini bukannya dituntut malah sangat terkeji. Sihir akan membawa kepada kemelaratan hidup.

Sihir merupakan amalan syaitan yang hanya akan berlaku dengan izin Allah SWT. Umpama pembunuh upahan yang hanya boleh melakukan misinya dengan izin Allah SWT. Jika tidak bertepatan dengan takdir disisi Allah SWT tujuan itu akan gagal. Jadi kuasa pemutusnya datang dari kuasa yang satu iaitu Allah SWT Yang Maha Gagah Perkasa.

Tidak berubah qada itu melainkan dengan doa maka kekuatan doa mampu mengubah takdir. Berdoalah dengan doa yang telah diajar oleh Rasulullah SAW bukannya dengan doa yang tidak diketahui sumbernya.

Sekali-kali jangan merasakan ada kuasa lain yang lebih kuat daripada kuasa Allah SWT kerana selain dari Allah SWT semuanya makhluk. Makhluk hanya boleh melakukan mengikut kuasa yang sangat terbatas. Jika seseorang itu mati dibunuh bererti sudah dalam suratan takdir Allah SWT dia akan mati terbunuh.


Seni Untuk Seni

Seni untuk lukisan, seni muzik, seni kemahiran dan apa jua kesenian tidak boleh berhenti niat hanya untuk kesenian itu semata-mata. Niat menceburkan diri dalam apa jua jurusan hidup mestilah bermatlamatkan pengabdian kepada Allah SWT. Perlaksanaanya juga perlu mengikuti syariat.

Kedapatan ramai artis yang pergi mengerjakan haji dan umrah hasil dari wang seni lakonan yang melanggar hukum-hukum Allah SWT. Sayugia diingatkan bahawa tidak diterima ibadah yang dilakukan dari wang maksiat kerana yang haq dan batil tetap tidak bercampur. Oleh sebab itu jika anda telah bersedia untuk mengerjakan ibadah haji maupun umrah, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah pembersihan ke atas harta.

Sepertimana perjalanan anda menuju ke Makkah begitulah juga anda perlu berjalan menuju Allah SWT. Jangan membawa bekalan yang haram untuk menjadi tetamu Allah SWT. Segala kedurhakaan yang telah dilakukan akan dikembali dengan kehinaan didunia dan kehinaan diakhirat.

Anda telah menyaksikan kesudahan buruk kepada mereka yang menjadikan ugama sebagai bahan lakonan dan sandiwara. Hakikat sebuah lakonan tidak lebih dari cahaya yang dipancarkan dan apabila cahaya padam maka tamatlah sebuah lakonan.

Tulislah apa sahaja yang anda ingin tuliskan tetapi ingat bahawa setiap tulisan itu akan menjadi bukti pendakwaan di akhirat kelak. Lebih menakutkan apabila tulisan itu diterima sebagai suatu pegangan walaupun bercanggah dengan hadis Nabi SAW.

Pemberita yang menulis cerita sensasi antara manusia yang paling berat persoalannya di akhirat kerana mereka kerapkali membuka aib orang lain untuk sebuah nilai ekonomi. Pesanan ringkas 'sms' juga akan menjadi bukti di hadapan Allah SWT yang sangat halus penghisabanNya.


Niat Untuk Bangsa

Islam dibangunkan bukan untuk sesuatu bangsa tetapi untuk semua bangsa. Ketika saya berada di Makasar Indonesia salah satu isu yang ditanyakan ialah tentang ambalat/krisis sempadan Malaysia dan Indonesia yang dikatakan boleh mencetuskan peperangan saudara.

Aduhai saudaraku seugama, janganlah semangat jahiliah sebelum kedatangan Rasul menjadi pemicu perpecahan antara kita. Kita dipertemukan dalam syahadatain yang sama, yang tidak membezakan suku, bangsa dan warna kulit. Nabi SAW menolak orang yang hanya menjadikan bangsa sebagai dasar perjuangan.

Memperjuangkan bangsa disini bermaksud meletakkan keutamaan bangsa melebihi daripada keadilan. Oleh sebab itulah niat sesuatu perjuangan itu mestilah Islam bukan bangsa Cina, India, atau Melayu. Bila ugama terpelihara maka akan berlakulah keadilan untuk semua bangsa.


Kesimpulan:

1. Lintasan hati boleh jadi datang dari "dhamir" manusia yang benar ataupu boleh berlaku dengan gangguan syaitan.

2. Banyakkan membaca doa perlindungan jika wujudnya lintasan hati yang buruk kerana dibimbangi membawa kepada prasangka.

3. Nazar merupakan ucapan yang mewajibkan amalan sunat ke atas dirinya. Hukumnya wajib dilaksanakan dan mana-mana nazar yang tidak boleh dilakukan wajib padanya membayar kafarah atas nazarnya itu.

4. Islam mengajar ummatnya merebut segala nikmat yang ada didunia dari terjatuh ke tangan golongan kafir.

5. Salah satu penyelewengan aqidah yang sangat parah ialah tidak percaya atau memandang rendah dengan hukum Allah SWT. Lantaran itu, hidup mereka tidak ada perjuangan bagi menegakkan hukum Allah SWT di timur dan barat dan ingin melihat kembali daulah Islam tertegak dengan jayanya.

6. Niat yang jahat kadangkala menjadi penyakit 'ain yang terpancar kepada mata seseorang. Pandangan matanya mengandungi racun yang boleh menyakiti tubuh badan manusia secara fizikal.

7. Tidak berubah qada itu melainkan dengan doa maka doa mampu mengubah takdir.

8. Sekali-kali jangan merasakan ada kuasa yang lain yang lebih kuat daripada kuasa Allah SWT kerana selain dari Allah SWT semuanya makhluk.

9. Niat menceburkan diri dalam apa jua urusan hidup mestilah bermatlamatkan pengabdian kepada Allah SWT. Perlaksanaannya juga perlu mengikuti syariat.

10. Islam dibangunkan bukan untuk sesuatu bangsa tetapi untuk semua bangsa. Oleh sebab itulah niat sesuatu perjuangan itu mestilah Islam bukan bangsa Cina, India atau Melayu.

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 11

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 11: NIAT BERUBAH DAN YANG TIDAK KESAMPAIAN

Niat Berubah


Hati itu mudah berbolak balik di antara kejahatan dan kebaikan. Begitu juga niat perlu diikat dengan sebuah kesedaran yang tinggi bahawa "negeri akhirat itu lebih baik dan kekal" dengan cepat sekali.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk terus berdoa agar hati itu tetap dan istiqamah dengan doa:

"Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas ugama Engkau."

Cepat-cepatlah kita istighfar jika wujudnya perasaan ingin melakukan kejahatan. Inilah natijah daripada kalimah syahadah iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi dari segala-galanya dan Allah itu menjadi matlamat kehidupan.

Oleh sebab itu teruskan dengan cita-cita baik yang wujud pada hati dan sekali-kali jangan berpaling padanya. Syaitan juga akan membisikkan seribu rasa pada hati agar kemurnian niat tercemar. Manusia yang jahat turut memberikan sumbangan fikiran jahat untuk mengubah matlamat perjuangan. Namun begitu hanya manusia yang ikhlas sahaja yang mampu meneruskan niat tanpa sebarang perubahan.

Walaupun sekuat mana serangan luar untuk menggoyahkan niat namun keikhlasan juga akan muncul sebagai pemenangnya. Khalid bin Al-Walid yang dilucutkan daripada menjadi general perang tetap menerima kepimpinan anak muda dibawahnya. Ia berkata "Khalid berperang bukan kerana Umar". Berbahagialah mereka yang memiliki keikhlasan seperti Khalid, tetap berkhidmat walaupun manusia tidak memandang tinggi padanya. Perasaan ingin menunjukkan kelebihan diri akan menjadi gangguan pada niat. Oleh itu perkara pertama sebelum melakukan sebarang kerja ialah membersihkan hati dari memiliki sebarang kehendak selain dari mencari keredhaan Ilahi. Amin.

Niat Tidak Kesampaian

Allah tidak bertanya kepada natijah tetapi Allah bertanya kepada niat dan usaha yang telah kita lakukan. Kita berusaha siang dan malam akan dinilai oleh Allah walaupun tidak ada kejayaannya. Nabi Nuh a.s berdakwah 950 tahun tetapi bilangan pengikutnya sangat kecil. Masalahnya bukan kepada penilaian berjaya atau gagal tetapi Allah SWT melihat kepada sejauh mana usaha gigih yang dilakukan untuk perjuangan itu.

Jangan bersedih dengan niat yang tidak berkesampaian tetapi lihatlah bahawa kita semua ditentukan dengan takdir yang telah siap tertulis. Bumi Palestin itu akan dibebaskan oleh seseorang dan takdirnya manusia tersebut ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Benarlah kata sabda Rasulullah SAW.

Jika anda pada ketika itu menjadi mujahid dan berperang di jalan Allah tetapi tidak diberikan kemenangan syukurlah kerana kemenangan itu ialah apabila anda istiqamah dan tidak lari dari medan perang.

Kesimpulan:

1. Hati itu mudah berbolak balik di antara kejahatan dan kebaikan. Begitu juga niat perlu diikat dengan sebuah kesedaran yang tinggi bahawa "negeri akhirat itu lebih baik dan kekal" dengan cepat sekali.

2. Cepat-cepatlah kita istighfar jika wujudnya perasaan ingin melakukan kejahatan.

3. Teruskan dengan cita-cita baik yang wujud pada hati dan sekali-kali jangan berpaling daripadanya.

4. Walaupun sekuat mana serangan luar untuk menggoyahkan niat namun keikhlasan juga akan muncul sebagai pemenangnya.

5. Allah tidak bertanya kepada natijah tetapi Allah bertanya kepada niat dan usaha yang telah kita lakukan.

6. Jangan bersedih dengan niat yang tidak berkesampaian tetapi lihatlah bahawa kita semua ditentukan dengan takdir yang telah siap tertulis.

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 10

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 10: PAHALA DAN DOSA MENGIKUT NIAT

Masuk Neraka Kerana Niat


Dua orang sesama muslim saling berbunuhan, yang membunuh dan yang kena bunuh kedua-duanya masuk neraka. Sahabat bertanya kenapa orang yang terbunuh juga masuk neraka sedangkan dia dibunuh. Rasulullah SAW menjelaskan kerana dia juga mempunyai niat untuk membunuh. Inilah yang dikatakan niat boleh menentukan kesudahan hidup manusia. Niat dihati mesti dilihat dan disemak pada setiap masa. Batalkanlah niat yang buruk jika ia wujud dan teruskan amalan baik yang hendak dilakukannya itu. Jangan sampai terkena penyakit was-was yang akan menjadikan hati itu hilang keyakinan diri.

Perlu juga diingatkan kadang-kadang seseorang itu meninggalkan sesuatu amalan kerana takut berlakunya riyak padahal itulah yang sebenarnya adalah riyak. Ketika sseorang itu berfikir untuk memilih solat dirumah dari berjamaah bagi mengelakkan riyak sebenarnya dia telah melakukan riyak.
Riyak ialah gerak atau diam yang dilakukan bukan kerana Allah. Fikiran negatif itu akan menjadikan masjid kosong akibat takutkan riyak.

Syariat tetap dipelihara walaupun muncul lintasan hati yang cuba mengganggu amalan atas nama keikhlasan tetapi berpeganglah dengan sunnah Nabi SAW.

Ada orang memandang perbuatan menjilat jari selepas makan satu kehinaan. Ia memandang rendah dan amalan itu dianggap tidak beradab sedangkan inilah cara Rasulullah SAW menghadapi makanan. Mereka juga sama seperti kaum Jahiliah yang sering menyindir cara Nabi SAW makan dan duduk dengan orang ramai. Bukan cara Nabi SAW, makan dengan keadaan sombong dan berlagak menjadi tuan kerana Nabi SAW membawa ajaran bahawa rezeki itu adalah datang dari Allah SWT dan kita hanyalah seorang hamba.

Firman Allah SWT:
Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka ia daripada Allah..
(Surah al-Nahl, ayat 53)

Kain sutra diharamkan kepada kaum lelaki dan emas juga diharamkan dari dijadikan bejana minuman bagi mengikis rasa sombong walaupun dirinya mampu membeli kedua-duanya.


Dibangunkan Mengikut Niat

Kematian total tahun 2006 akibat Tsunami masih lagi kelihatan dalam bayangan kita dan amat mengerikan. Mayat yang terapung di atas air sama sahaja dengan kayu-kayu hanyut, membusuk dan tidak mampu dikenali satu persatu. Ada juga mayat yang ditemui dalam keadaan sujud, masih dalam pakaian sembahyang dan tidak kurang juga dalam keadaan yang sangat tragis.

Siapa jua tidak mampu untuk memperkatakan tentang asbab kejadian melainkan merenung sebuah hikmah dari Tuhan. Orang yang baik dan orang yang durhaka sama sahaja terapung-apung di permukaan air menemui jalan kematian yang sama. Tidak ada kemuliaan bagi yang berpangkat dan berharta dan tidak ada kehinaan pada yang miskin melata. Janji Tuhan yang pasti "setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati".

Sesuatu yang membezakan ialah tentang kebangkitan di hari esok kerana kebangkitan itu mengikut niat dan amalan. Cara mati yang sama tetapi cara bertemu Allah SWT yang berbeza. Orang yang soleh meskipun menerima takdir berupa keburukan tetap menjadi jalan untuk penghapusan dosa-dosa yang lalu kerana Allah SWT mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dan lebih kekal iaitu akhirat. Bala, bila sudah menghampiri sesebuah negeri, semua golongan akan merasainya baik orang soleh maupun toleh.

Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan jalan untuk menghindari bala setempat dan hal ini perlu difahami. Sejuta polis dan seribu undang-undang tidak akan mampu mengawal aktiviti manusia. Jika ini dilaksanakan akan wujudnya jaringan masyarakat yang kuat dan bertanggungjawab bagi pembentukan negara yang aman sejahtera.


Kesimpulan:

1. Niat boleh menentukan kesudahan hidup manusia.

2. Batalkanlah niat yang buruk jika ia wujud dan teruskan amalan baik yang hendak dilakukannya itu.

3. Riyak ialah gerak atau diam yang dilakukan bukan kerana Allah.

4. Siapa jua tidak mampu untuk memperkatakan tentang asbab kejadian melainkan merenung sebuah hikmah dari Tuhan.

5. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati". Yang membezakan seseorang dengan yang lainnya ialah kebangkitan di hari esok kerana kebangkitan itu mengikut niat dan amalan. Cara mati yang sama tetapi cara bertemu Allah SWT yang berbeza.

6. Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan jalan untuk menghindari bala setempat dan hal ini perlu difahami. Sejuta polis dan seribu undang-undang tidak akan mampu mengawal aktiviti manusia.