Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 10

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 10: PAHALA DAN DOSA MENGIKUT NIAT

Masuk Neraka Kerana Niat


Dua orang sesama muslim saling berbunuhan, yang membunuh dan yang kena bunuh kedua-duanya masuk neraka. Sahabat bertanya kenapa orang yang terbunuh juga masuk neraka sedangkan dia dibunuh. Rasulullah SAW menjelaskan kerana dia juga mempunyai niat untuk membunuh. Inilah yang dikatakan niat boleh menentukan kesudahan hidup manusia. Niat dihati mesti dilihat dan disemak pada setiap masa. Batalkanlah niat yang buruk jika ia wujud dan teruskan amalan baik yang hendak dilakukannya itu. Jangan sampai terkena penyakit was-was yang akan menjadikan hati itu hilang keyakinan diri.

Perlu juga diingatkan kadang-kadang seseorang itu meninggalkan sesuatu amalan kerana takut berlakunya riyak padahal itulah yang sebenarnya adalah riyak. Ketika sseorang itu berfikir untuk memilih solat dirumah dari berjamaah bagi mengelakkan riyak sebenarnya dia telah melakukan riyak.
Riyak ialah gerak atau diam yang dilakukan bukan kerana Allah. Fikiran negatif itu akan menjadikan masjid kosong akibat takutkan riyak.

Syariat tetap dipelihara walaupun muncul lintasan hati yang cuba mengganggu amalan atas nama keikhlasan tetapi berpeganglah dengan sunnah Nabi SAW.

Ada orang memandang perbuatan menjilat jari selepas makan satu kehinaan. Ia memandang rendah dan amalan itu dianggap tidak beradab sedangkan inilah cara Rasulullah SAW menghadapi makanan. Mereka juga sama seperti kaum Jahiliah yang sering menyindir cara Nabi SAW makan dan duduk dengan orang ramai. Bukan cara Nabi SAW, makan dengan keadaan sombong dan berlagak menjadi tuan kerana Nabi SAW membawa ajaran bahawa rezeki itu adalah datang dari Allah SWT dan kita hanyalah seorang hamba.

Firman Allah SWT:
Dan apa-apa nikmat yang ada pada kamu maka ia daripada Allah..
(Surah al-Nahl, ayat 53)

Kain sutra diharamkan kepada kaum lelaki dan emas juga diharamkan dari dijadikan bejana minuman bagi mengikis rasa sombong walaupun dirinya mampu membeli kedua-duanya.


Dibangunkan Mengikut Niat

Kematian total tahun 2006 akibat Tsunami masih lagi kelihatan dalam bayangan kita dan amat mengerikan. Mayat yang terapung di atas air sama sahaja dengan kayu-kayu hanyut, membusuk dan tidak mampu dikenali satu persatu. Ada juga mayat yang ditemui dalam keadaan sujud, masih dalam pakaian sembahyang dan tidak kurang juga dalam keadaan yang sangat tragis.

Siapa jua tidak mampu untuk memperkatakan tentang asbab kejadian melainkan merenung sebuah hikmah dari Tuhan. Orang yang baik dan orang yang durhaka sama sahaja terapung-apung di permukaan air menemui jalan kematian yang sama. Tidak ada kemuliaan bagi yang berpangkat dan berharta dan tidak ada kehinaan pada yang miskin melata. Janji Tuhan yang pasti "setiap yang bernyawa pasti akan merasai mati".

Sesuatu yang membezakan ialah tentang kebangkitan di hari esok kerana kebangkitan itu mengikut niat dan amalan. Cara mati yang sama tetapi cara bertemu Allah SWT yang berbeza. Orang yang soleh meskipun menerima takdir berupa keburukan tetap menjadi jalan untuk penghapusan dosa-dosa yang lalu kerana Allah SWT mahu memberikan sesuatu yang lebih baik dan lebih kekal iaitu akhirat. Bala, bila sudah menghampiri sesebuah negeri, semua golongan akan merasainya baik orang soleh maupun toleh.

Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan jalan untuk menghindari bala setempat dan hal ini perlu difahami. Sejuta polis dan seribu undang-undang tidak akan mampu mengawal aktiviti manusia. Jika ini dilaksanakan akan wujudnya jaringan masyarakat yang kuat dan bertanggungjawab bagi pembentukan negara yang aman sejahtera.


Kesimpulan:

1. Niat boleh menentukan kesudahan hidup manusia.

2. Batalkanlah niat yang buruk jika ia wujud dan teruskan amalan baik yang hendak dilakukannya itu.

3. Riyak ialah gerak atau diam yang dilakukan bukan kerana Allah.

4. Siapa jua tidak mampu untuk memperkatakan tentang asbab kejadian melainkan merenung sebuah hikmah dari Tuhan.

5. "Setiap yang bernyawa akan merasai mati". Yang membezakan seseorang dengan yang lainnya ialah kebangkitan di hari esok kerana kebangkitan itu mengikut niat dan amalan. Cara mati yang sama tetapi cara bertemu Allah SWT yang berbeza.

6. Amar ma'ruf dan nahi mungkar merupakan jalan untuk menghindari bala setempat dan hal ini perlu difahami. Sejuta polis dan seribu undang-undang tidak akan mampu mengawal aktiviti manusia.