Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 11

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 11: NIAT BERUBAH DAN YANG TIDAK KESAMPAIAN

Niat Berubah


Hati itu mudah berbolak balik di antara kejahatan dan kebaikan. Begitu juga niat perlu diikat dengan sebuah kesedaran yang tinggi bahawa "negeri akhirat itu lebih baik dan kekal" dengan cepat sekali.

Rasulullah SAW mengajar kita untuk terus berdoa agar hati itu tetap dan istiqamah dengan doa:

"Wahai Tuhan yang berkuasa membolak-balikkan hati-hati, tetapkanlah hatiku di atas ugama Engkau."

Cepat-cepatlah kita istighfar jika wujudnya perasaan ingin melakukan kejahatan. Inilah natijah daripada kalimah syahadah iaitu mencintai Allah dan Rasul melebihi dari segala-galanya dan Allah itu menjadi matlamat kehidupan.

Oleh sebab itu teruskan dengan cita-cita baik yang wujud pada hati dan sekali-kali jangan berpaling padanya. Syaitan juga akan membisikkan seribu rasa pada hati agar kemurnian niat tercemar. Manusia yang jahat turut memberikan sumbangan fikiran jahat untuk mengubah matlamat perjuangan. Namun begitu hanya manusia yang ikhlas sahaja yang mampu meneruskan niat tanpa sebarang perubahan.

Walaupun sekuat mana serangan luar untuk menggoyahkan niat namun keikhlasan juga akan muncul sebagai pemenangnya. Khalid bin Al-Walid yang dilucutkan daripada menjadi general perang tetap menerima kepimpinan anak muda dibawahnya. Ia berkata "Khalid berperang bukan kerana Umar". Berbahagialah mereka yang memiliki keikhlasan seperti Khalid, tetap berkhidmat walaupun manusia tidak memandang tinggi padanya. Perasaan ingin menunjukkan kelebihan diri akan menjadi gangguan pada niat. Oleh itu perkara pertama sebelum melakukan sebarang kerja ialah membersihkan hati dari memiliki sebarang kehendak selain dari mencari keredhaan Ilahi. Amin.

Niat Tidak Kesampaian

Allah tidak bertanya kepada natijah tetapi Allah bertanya kepada niat dan usaha yang telah kita lakukan. Kita berusaha siang dan malam akan dinilai oleh Allah walaupun tidak ada kejayaannya. Nabi Nuh a.s berdakwah 950 tahun tetapi bilangan pengikutnya sangat kecil. Masalahnya bukan kepada penilaian berjaya atau gagal tetapi Allah SWT melihat kepada sejauh mana usaha gigih yang dilakukan untuk perjuangan itu.

Jangan bersedih dengan niat yang tidak berkesampaian tetapi lihatlah bahawa kita semua ditentukan dengan takdir yang telah siap tertulis. Bumi Palestin itu akan dibebaskan oleh seseorang dan takdirnya manusia tersebut ialah Salahuddin Al-Ayyubi. Benarlah kata sabda Rasulullah SAW.

Jika anda pada ketika itu menjadi mujahid dan berperang di jalan Allah tetapi tidak diberikan kemenangan syukurlah kerana kemenangan itu ialah apabila anda istiqamah dan tidak lari dari medan perang.

Kesimpulan:

1. Hati itu mudah berbolak balik di antara kejahatan dan kebaikan. Begitu juga niat perlu diikat dengan sebuah kesedaran yang tinggi bahawa "negeri akhirat itu lebih baik dan kekal" dengan cepat sekali.

2. Cepat-cepatlah kita istighfar jika wujudnya perasaan ingin melakukan kejahatan.

3. Teruskan dengan cita-cita baik yang wujud pada hati dan sekali-kali jangan berpaling daripadanya.

4. Walaupun sekuat mana serangan luar untuk menggoyahkan niat namun keikhlasan juga akan muncul sebagai pemenangnya.

5. Allah tidak bertanya kepada natijah tetapi Allah bertanya kepada niat dan usaha yang telah kita lakukan.

6. Jangan bersedih dengan niat yang tidak berkesampaian tetapi lihatlah bahawa kita semua ditentukan dengan takdir yang telah siap tertulis.