Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Barat Serang Islam Dalam Isu Wanita

ISU wanita sering dijadikan isu murahan oleh Barat untuk menyerang Islam. Sejak daripada dahulu, mereka secara terang terangan menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong wanita dalam banyak aspek kehidupan.

Mereka berusaha mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperlekeh dan merendahkan martabat wanita. Mereka sering menonjolkan 'tokoh wanita' idaman mereka sendiri sebagai wadah untuk menyerang ajaran Islam.

Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Nobel 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan 'memperbetul' ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita.

Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan 'Sisters in Islam' begitu ghairah memuji Zainah Anwar daripada SIS itu - "Zainah Anwar is s good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women's rights".

"To many muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible" ('Sisters take in on scholars in battle for Islam', Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005)

Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam - dalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka mencairkan ajaran Islam agar Islam dapat di'liberal'kan.

Barat yang amat benci kepada Islam sejak dulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Sejak dari kesedaran ini, mereka mula mengkaji kekuatan Islam dimana akhirnya mereka mendapati bahawa perlu dilakukan serangan ke atas umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri.

Antaranya, 3 aspek utama yang sering dijadikan 'lubuk' serangan oleh para orientalis Barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu jihad, poligami, dan emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya ke atas Islam, sering menggunakan 3 sendi utama - demokrasi, isu wanita dan akauntabiliti pemerintah umat Islam.

Dalam serangan-serangan ini, isu wanitalah yang paling banyak memberi kesan ke atas umat Islam sehinggakan kaum wanita yang terpengaruh dengan pemikiran Barat ini secara sedar atau tidak telah menjadi proksi Barat dalam 'perjuangan' mereka.

Dalam sebuah penulisan yang bertajuk "Afghanistan's Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam" penulis artikel ini telah mengulas penghukuman rejam seorang wanita yang bernama Amina sebagai penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam.

Penulis, dalam mengakhiri tulisannya mengatakan "Unlike the legal system in the West which protects the rights of women, Amina's life was subordinated to the needs of the community" (Tidak seperti sistem perundangan di Barat yang melindungi hak asasi wanita, nyawa Amina terletak dibawah kehendak masyarakatnya.) Dan 'kehendak masyarakat' ini membawa maksud keinginan masyarakat untuk berhukum dengan Islam.

Itulah sikap Barat terhadap Islam - mereka menilai bahawa ideologi merekalah yang terbaik, tetapi pada hakikatnya mereka ini tidak ubah seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul.

Marilah kita lontarkan pandangan kita kepada negara kapitalis Barat yang begitu bangga dengan idea kebebasan dan penjagaan hak wanita, yang dijadikan kiblat oleh pejuang 'kebebasan'.

Marilah kita merenung...adakah mereka dan sistem mereka layak digunakan untuk menjaga akal, harta, nyawa, keturunan, keamanan, agama dan semua yang dipandang tinggi oleh manusia... atau sebaliknya?

Nabi Ibrahim Teladan Semangat Cekal, Sabar

Sesungguhnya selawat ialah memohon rahmat yang begitu banyak dimiliki oleh Nabi s.a.w sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud: "Dan Kami tidak mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam."
(Surah al-Anbiya ayat 107)

Nabi s.a.w menjadi punca rahmat kepada semesta alam, kemudian orang beriman diajar supaya memohon agar memperbanyakkan lagi rahmat kepada Nabi s.a.w. Tidak memadaikah rahmat yang ada pada Rasulullah s.a.w itu?

Justeru tiada manusia yang merasa cukup bahkan jika ditanya nabi s.a.w. sendiri pun tidak merasa cukup dengan rahmat yang Allah swt kurniakan.

Jika ada yang merasa cukup dengan rahmat yang diterimanya, nyatalah akal fikiran manusia itu kurang waras.

Bagi Nabi s.a.w seorang nabi yang benar-benar arif dan mendalam makrifatnya mengenai Allah swt, sebanyak mana rahmat yang dikurniakan padanya maka sebanyak itu pula baginda menghendaki berlipat kali ganda.

Dan baginda berharap umatnya berdoa, agar dikurniakan rahmat Allah swt lagi. Anjuran berselawat bertujuan supaya umatnya sentiasa sayang padanya.

Apa ertinya berdoa agar Nabi s.a.w dikurniakan rahmat lagi jika Nabi s.a.w itu bukan daripada orang yang disayangi? Jika tidak sayang kepada Nabi s.a.w nyatalah dia bukan umat Nabi berkenaan.

Bukti sayang ialah sentiasa berselawat agar Allah swt tambah lagi rahmat kepada Nabi yang disayangi, malah Nabi menganjurkan dirinya lebih disayangi sebagaimana sabdanya yang bermaksud: "Kamu tidak menjadi mukmin sehingga aku lebih disayangi berbanding ibu bapamu, anakmu, dan sayang kepada barang lain sepenuh dunia."

Selagi benda lain lebih disayangi daripada Nabi s.a.w bererti tidak beriman, mereka yang merasa diri mukmin itu hanya perasaan sahaja, pada hakikatnya tidak mukmin.

Berselawat kepada Nabi s.a.w adalah tanda sayang kepadanya. Diminta lebih sayang kepada Nabi berbanding ibu bapa, kerana ibu bapa hanya tolong pelihara setakat didunia sahaja. Kehidupan manusia berterusan hingga ke alam kubur dan seterusnya akhirat.

Yang boleh menolong ketika itu hanya Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi untuk mendapat pertolongannya seseorang itu mesti patuh kepada ajarannya ketika hidup didunia.

Jika didunia derhaka kepadanya, setelah berada di alam barzakh tidak mungkin boleh berkira dengannya, kerana alam barzakh sudah masuk alam pembalasan.

Keselamatan manusia di alam barzakh dan juga padang mahsyar, bergantung bulat-bulat kepada syafaat Nabi s.a.w, disini lebihnya Nabi Muhammad s.a.w berbanding dengan ibu bapa kita.

Ibu bapa hanya boleh mengiringi kita setakat ke kubur sahaja. Selepas itu mereka pulang ke rumah dalam keadaan kita terbaring seorang diri dalam kubur.

Nabi Muhammad s.a.w ajar umatnya didunia ini tentang akidah dan syariat Islam, kesan kepada ajaran itu akan sejahtera di alam kubur dan seterusnya akhirat.

Manakala diakhirat Allah swt beri seperkara lagi yang dinamakan syafaat, sesungguhnya syafaat Nabi s.a.w akan sampai kepada kita sekiranya di dunia benar-benar mentaati ajaran syariatnya.

Kemudian kita mohon supaya Allah swt beri rahmat kepada Nabi s.a.w dan ahli keluarganya sama seperti rahmat yang Allah swt kurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.

Apakah kaitannya hingga Nabi Ibrahim a.s dijadikan sandaran dan ukuran dari segi rahmat Allah swt?

Nabi Ibrahim a.s terkehadapan dari segi kecekalan dan kesabaran dikalangan para nabi, misalnya syariat korban yang berpunca kecekalan Ibrahim yang diperintahkan supaya menyembelih satu-satunya putera kesayangannya.

Hanya berdasarkan arahan dari sebuah mimpi sebagaimana firmanNya yang bermaksud: "Tatkala keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipisnya, (nyatalah kesabaran keduanya). Dan Kami panggillah dia, "Hai Ibrahim, sesungguhnya kamu telah membenarkan mimpi itu," sesungguhnya demikianlah Kami memberi balasan kepada orang berbuat baik."

"Sesungguhnya ini benar-benar suatu ujian yang nyata." (Surah As-Soffat ayat 103-106)

Berdasarkan ayat di atas itu ternyata Nabi Ibrahim bersungguh melaksanakan arahan Allah swt yang sangat berat itu, walaupun ia arahan Allah swt sekadar melalui mimpi.

Tetapi Nabi Ibrahim yakin bahawa mimpi itu adalah perintah Allah swt yang diimaninya, dengan kesungguhan itu Nabi Ibrahim melepasi ujian yang berat itu. Hingga sembelihan telah diganti oleh Allah swt dengan seekor haiwan.

Ibadah korban bersumberkan peristiwa kecekalan Nabi Ibrahim yang menjadi syariat Nabi Muhammad s.a.w.

Oleh yang demikian apabila melakukan ibadah korban, jangan semata-mata hanya melihat darah yang tumpah daripada sembelihan haiwan korban itu. Sebaliknya peri hidup kembali ke sejarah Nabi Ibrahim a.s sebagai insan yang paling setia, cekal, dan sabar menghadapi ujian Allah swt.

Mudah-mudahan kesetiaan dan kecekalan Nabi Ibrahim a.s akan menjangkit kepada sebagai umat Muhammad s.a.w. Sekurang-kurangnya setiap tibanya Hari Raya Korban.

Mengingati peristiwa hebat itu setiap kali kita melakukan korban, atau ketika menikmati hidangan daging yang dikorbankan orang lain.

Perturunkan semangat kecekalan dan kesabaran menghadapi ujian Allah swt, yang ada pada datuk kita Nabi Ibrahim a.s.


oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat