Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 2

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 2: IKHLAS ADALAH KESEMPURNAAN NIAT


Jika lidah menyebut "sahaja aku..." itu cuma lafaz pada lidah dan belum lagi dinamakan niat. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat ketika itu.

Lafaz juga digunakan untuk mengingatkan diri sendiri supaya niat dibetulkan. Allah SWT itu Maha Mendengar baik diucapkan di lidah mahupun hanya terdetik di hati sedangkan manusia hanya mampu menganalisa ucapan yang terdengar pada telinga. Sering berlaku sesuatu yang kita dengar dan lihat tidak sama dengan hakikat yang sebenarnya.

Hati,lidah dan perbuatan perlu mencapai satu kesatuan yang luhur barulah amalan itu diterima disisi Allah. Hati yang menjadi raja bagi setiap tindakan akan menentukan seluruh amalan lidah dan perbuatannya.

Firman Allah:

"Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, dengan teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat serta mengeluarkan zakat. Yang demikian itulah agama yang benar"
(Surah al-Bayyinah, ayat 5)



Ikhlas
ialah sesuatu amalan yang tidak ada kongsi matlamat selain daripada Allah dan matlamat Akhirat. Sesuatu amalan yang hendak dilakukan atau yang sedang dilakukan akan melalui sempadan niat yang bercabang-cabang sehinggalah ia tetap pada niat yang lurus dan satu. Tidak ada ruang pada lidah untuk mencari pengaruh luar bagi mengucapkan perkataan "Saya ikhlas".

Ikhlas itu adalah amalan antara kita dengan Allah kerana ia adalah urusan antara makhluk dengan Khaliq(Pencipta) yang Maha Halus pengiraanNya. Hati juga tidak perlu bersedih apabila keikhlasan itu dipertikaikan orang kerana sudah menjadi hakikat yang sebenar bahawa ikhlas itu tetap menjadi rahsia yang hanya mengetahuinya ialah Allah SWT.

Namun begitu setiap yang wujud ada tandanya. Tanda-tanda ikhlas dalam niat dapat dilihat kepada ketahanan seseorang menempuh ujian yang panjang apatah lagi ketika saat genting dan memerlukan pengorbanan dirinya.

Seekor burung nuri boleh mengungkapkan lafaz niat yang tepat tetapi burung tersebut tidak upaya merasai lafaz itu dilubuk hatinya apatah lagi untuk memperjuangkan niat dalam sebuah wadah perjuangan. Inilah yang membezakan kita dengan haiwan maupun haiwan itu boleh diajar berbicara.

Namun begitu lafaz pada lidah juga membantu hati untuk membentuk kebulatan niat kerana niat tidak boleh wujud dalam keadaan bercabang. Niat awal yang bercabang akan menjadi masalah dalam pembentukan kesatuan niat. Ini lebih parah dalam jemaah yang ramai kerana apabila tidak wujudnya kesatuan niat maka tidak wujudnya kesatuan berfikir dan kesatuan tindakan, dan lama keamaan ia akan menghancurkan sesebuah organisasi walaupun sekukuh mana organisasi itu wujud pada masa kini.

Untungnya, niat boleh diluruskan dalam sepanjang perjalanan bersama. Ia memerlukan proses pendidikan yang panjang dan tidak mengalah dengan cabaran. Kesemuanya bertolak dari kesedaran dalam hati.

Kita membaca di dalam doa iftitah:

"Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidup dan matiku kerana Allah, Tuhan Sekelian Alam."


Allah swt memberikan masa yang cukup pada kita untuk menyemak dan membetulkan kembali sebuah niat dan sekiranya niat itu sudah tidak sempurna lagi cepat-cepatlah untuk membetulkannya kembali.

Niat dalam sesuatu usaha itu boleh berubah sesudah wujudnya kejayaan atau kegagalan. Ketahuilah bahawa ujian kesenangan lebih sukar dihadapi daripada ujian kesusahan kerana kesenangan mewujudkan seribu kehendak yang tidak memerlukan alasan atau bantuan dari seseorang. Kesusahan pula memendekkan kehendak agar terbatas hanya untuk keperluan yang mendesak. Kadangkala menjadi orang kaya lebih banyak penderitaannya dibandingkan dengan orang miskin tetapi penderitaannya itu terlindung di sebalik kemewahan zahir seperti rumah, kenderaan, pakaian, pengikut dan lain-lain lagi.

Dalam situasi apapun kita perlu melepasi galang ini baik ditakdirkan senang maupun susah. Rezeki itu Allah yang tentukan mengikut kehendakNya yang Maha Mengetahui.

Firman Allah:

"Dan Allah melebihkan sebahagian kamu dari sebahagian yang lain dalam hal rezeki"
(Surah an-Nahl, ayat 71)

Pokoknya rezeki itu tidak menjadikan kita alpa dalam hidup kerana kehidupan itu mengundang kehendaknya yang tak pernah putus-putus.

Firman Allah swt:

"Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingati Allah. Sesiapa melakukan demikian itu, maka mereka adalah orang-orang yang rugi."
(Surah Al-Munafiqun, ayat 9)

Kesimpulan:

1. Lafaz itu merupakan cita-cita untuk melakukan sesuatu, mungkin datang dari hati yang benar-benar ikhlas dan mungkin juga merupakan sebuah azam yang wujud kuat pada ketika itu.

2. Hati, lidah, dan perbuatan perlu mencapai satu kesatuan yang luhur barulah amalan itu diterima di sisi Allah.

3. Allah swt memberikan masa yang cukup pada kita untuk menyemak dan membetulkan kembali sebuah niat dan sekiranya niat itu sudah tidak sempurna lagi cepat-cepatlah untuk membetulkannya kembali.

4. Ketahuilah bahawa ujian kesenangan lebih sukar dihadapi daripada ujian kesusahan kerana kesenangan mewujudkan seribu kehendak yang tidak memerlukan alasan atau bantuan dari seseorang.

5. Rezeki itu Allah yang tentukan mengikut kehendakNya yang Maha Mengetahui.



wallahu'alam.

HADITH 7 - Penghuni Syurga Akan Menyesal Kerana Masa Didunianya YangTelah Berlalu Tanpa Zikrullah

Hazrat Mu'az bin Jabal r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, "Penghuni syurga tidak akan menyesal (dan tidak akan berdukacita mengenai sesuatu apapun) kecuali masa di dunia yang telah berlalu tanpa zikrullah."

[Hadith Riwayat Tobarani]


Keterangan

Setelah memasuki syurga apabila ahli-ahli syurga menyaksikan ganjaran yang banyak seumpama gunung yang diperoleh oleh seseorang kerana sebutan nama Tuhan Yang Maha Suci maka jelas terbayang penyesalan yang tidak terhingga kerana kerugian yang ditanggung akibat kurang berusaha untuk berzikrullah. Namun demikian, terdapat juga hamba-hamba Allah yang bertuah yang tidak suka menghabiskan masa di dunia ini tanpa zikrullah.

Hafiz Ibnu Hajar rah. menulis dalam kitabnya al-Munabbihat bahawa Yahya bin Mu'az ar-razi rah. sering berkata dalam munajatnya,

Ya Allah, malam hari tidak enak kecuali dengan bermunajat denganMu.
Dan siang hari tidak enak kecuali dengan mentaatiMu.
Dan dunia ini tidak enak kecuali dengan menyebut namaMu.
Dan akhirat tidak enak kecuali dengan mendapat keampunanMu.
Dan syurga tidak enak kecuali dengan dapat menyaksikanMu.

Hazrat Sarri rah. berkata,"Aku melihat Jurjani rah. sedang memakan tepung bijirin yang digoreng seperti sagun. Aku bertanya kepadanya, "Engkau memakan tepung ini begitu sahaja?"Beliau menjawab, "Apabila aku mengira masa antara memakan tepung tersebut dan mengunyah roti maka aku mendapati lebihan masa yang digunakan untuk mengunyah roti sama dengan masa yang diambil oleh seseorang untuk membaca subhanallah sebanyak 70 kali. Oleh itu, sejak 40 tahun yang lalu aku telah tinggalkan memakan roti, dan berpada dengan memakan tepung goreng ini sahaja."

Ditulis mengenai Hazrat Mansur bin Muktamar rah. (seorang ulama tasawuf yang masyhur) bahawa selama 40 tahun beliau tidak bercakap dengan sesiapapun selepas Isya'. Ditulis mengenai Hazrat Rabi' bin Haitham rah. bahawa selama 20 tahun beliau menulis pada sehelai kertas segala pertuturan beliau sepanjang hari. Pada waktu malam beliau akan muhasabah dalam hatinya, berapa banyakkah bilangan pertuturan yang perlu dan yang tidak perlu.

HADITH 3 - Kelebihan Surah Al-Waqi'ah

Hazrat 'Abdulah bin Mas'ud r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah pada setiap malam, kebuluran tidak akan menimpanya untuk selama-lamanya.
'Abdulah bin Mas'ud r.anh selalu menyuruh anak-anak perempuannya membaca surah ini pada setiap malam."
(Hadith riwayat Baihaqi)

Keterangan


Kelebihan-kelebihan surah al-Waqi'ah juga diberitakan dalam beberapa hadith. Ada satu riwayat menyatakan bahawa sesiapa membaca surah al-Hadid, al-Waqi'ah dan ar-Rahman, akan digolongkan sebagai penghuni Jannatul Firdaus. Dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa, "Surah al-Waqi'ah ialah surah al-Ghina. Bacalah surah itu dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu." Riwayat yang lain menyebut, "Ajarkanlah kepada isteri-isterimu."

Diberitakan bahawa Hazrat 'Aishah r.anha juga telah menekankan kepentingan pembacaan surah ini. Walau bagaimanapun, satu keadaan yang cukup rendah sekiranya kita membaca surah ini hanya untuk mendapat beberapa keping wang. Sebaliknya, jika kita membaca surah ini dengan niat untuk memenuhi kekayaan hati (kepuasan rohani) dan untuk maksud akhirat maka dengan sendirinya keuntungan-keuntungan dunia pun akan datang kepada kita.

HADITH 2 - Amalan Secara Berterusan Untuk Sepanjang Hidup

Diriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin Busr r.anh bahawa sesungguhnya seorang lelaki ,"Ya Rasulullah, pengetahuan hukum-hukum syariah Islam telah banyak bagiku, beritahulah kepadaku sesuatu yang dapat aku mengamalkannya secara berterusan sepanjang hidupku." Baginda s.a.w bersabda, "Hendaklah lidahmu senantiasa basah dengan zikrullah"

(Hadith Riwayat Ibnu Abi Syaibah,Ahmad dan lain-lain)

Dalam hadith yang lain, Hazrat Mu'az r.anh berkata bahawa pembicaraan yang terakhir antara Baginda s.a.w dengan aku ketika aku berpisah dengan Baginda s.a.w ialah aku bertanya,"Amalan manakah yang amat disukai oleh Allah swt?" Baginda s.a.w bersabda bahawa hendaklah kamu meninggal dunia dalam keadaan lidah kamu basah dengan berzikir kepada Allah.


Keterangan


Semasa berpisah bermaksud ketika Baginda s.a.w mengutus Hazrat Mu'az r.anh selaku gabenor ke Yaman untuk menyampaikan dakwah dan taklim di sana. Pada waktu Hazrat Mu'az r.anh hendak berangkat, Baginda s.a.w memberikan beberapa nasihat kepada beliau. Beliau juga mengemukakan beberapa pertanyaan kepada Baginda s.a.w.

Maksud 'hukum-hukum syariat telah banyak' ialah bahawa setiap perintah mestilah dipatuhi dan dilaksanakan, tetapi bagi mewujudkan kesempurnaan dalam melaksanakan setiap perintah dan sentiasa menyibukkan diri dengan perintah-perintah itu adalah sukar. Oleh itu, beritahulah kepadaku satu amalan yang paling penting supaya dapat aku berpegang dengan kukuh dan mengamalkan amalan itu pada setiap masa,tempat,ketika berjalan ke sana ke mari,ketika duduk dan bangun.

Dalam sebuah hadith Baginda s.a.w bersabda,"Sesiapa yang mendapat empat perkara, nescaya dia akan memperoleh segala kebaikan didunia dan akhirat.

Pertama,lidah yang sentiasa sibuk dengan berzikir.

Kedua, hati yang sentiasa sibuk dengan bersyukur.

Ketiga, anggota tubuh badan yang sentiasa sabar menahan segala penderitaan.

Keempat, isteri yang tidak mengkhianati maruah dirinya dan harta benda suaminya.

Mengkhianati maruah maknanya mengerjakan sesuatu yang buruk. Maksud 'lidah yang basah' yang diberitahu oleh kebanyakan ulama ialah lidah yang banyak menyebut sesuatu. Ini adalah merupakan simpulan bahasa yang digunakan secara umum.

Dinyatakan dalam sebuah hadith bahawa tanda mencintai Allah ialah mencintai zikirNya dan tanda membenci Allah ialah membenci zikirNya.

Hazrat Abu Darda r.anh berkata bahawa orang yang lidahnya senantiasa basah kerana sibuk berzikrullah akan memasuki syurga sambil tersenyum-senyum.