Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Jangan Jadikan Harta Lebih Bernilai Daripada Maruah

ANTARA perkara yang perlu dielakkan dalam majlis iaitu jangan berbuat-buat(mengada-ada) dari segi berhias, sebagaimana kesungguhan golongan wanita berhias.

Tidak dilarang berhias bagi golongan lelaki, bahkan digalakkan berhias dalam bentuk berpakaian kemas apabila berhadapan masyarakat. Ia akan dihormati orang ramai lantaran kekemasan dan disiplin dalam mengurus diri.

Perhiasan bagi golongan lelaki tidak sampai ke tahap berdandan golongan wanita, berdandan atau berhias sememangnya sinonim bagi wanita.

Wanita diciptakan oleh Allah swt, untuk menyenangkan dan memekarkan sikap mawaddah di hati para suami.

Jika wanita fizikalnya kurang cantik mudah-mudahan akan lebih menarik apabila berdandan, ia akan lebih menawan pandangan suaminya dan mengekalkan kebahagiaan rumah tangga.

Jangan sesekali golongan lelaki keadaan dirinya berselekeh sebagimana selekehnya hamba abdi, munasabah selekeh bagi golongan hamba abdi sahaya kerana situasi diri sebagai hamba abdi.

Abdi sebagai manusia yang tawanan yang tewas di medan perang, bagi manusia yang bukan hamba abdi tidak wajar berkeadaan selekeh.

Jangan terlalu menekan sahabat apabila hendak menyempurnakan sesuatu hajat, berlapang dada sekiranya sahabat tidak dapat memberi pertolongan. Mungkin dia sedang bermasalah.

Perbuatan menekan atau mendesak, akan menyulitkan interaksi dan boleh menyekat untuk berurusan lagi dengannya. Ini kerana cara demikian sememangnya bercanggah dengan tatasusila persahabatan.

Jangan beri semangat kepada kawan bermatlamat ke arah kezaliman, hal itu terjadi mungkin tidak upaya atau takut melakukan sendiri.

Berhubung dengan kadar harta yang dimiliki, jangan diberi tahu kepada ahli keluarga dan anak-anak, lebih-lebih lagi orang lain.

Ini kerana sekiranya mereka tahu harta milik anda sedikit, boleh menyebabkan seseorang dipandang hina oleh masyarakat.

Sekiranya seseorang itu memiliki banyak harta, jangan diberitahu kepada mereka. Ini kerana kamu tidak akan mampu menyempurnakan segala hajat mereka hingga ke peringkat memuaskan hatinya.

Jagalah kedudukan diri supaya digeruni anggota masyarakat, tetapi tidak sampai ke peringkat kekerasan.

Hendaklah berlembut dalam sebarang tindakan dengan manusia, tetapi jangan sampai dianggap kamu lemah tidak berupaya.

Sebagaimana Nabi s.a.w sentiasa digeruni oleh para sahabatnya, tetapi para sahabat tidak takut menegur atau menanyakan sesuatu jika melihat sesuatu yang luar biasa berlaku kepada Baginda s.a.w.

Ini kerana cara Nabi s.a.w bersahabat menyebabkan orang mudah menegurnya sekalipun peribadinya digeruni.

Apabila seseorang berselisih pendapat dengan sesiapa jua, hendaklah bersifat tenang hati serta bercakap secara sopan dengan mereka.

Selain itu hendaklah sentiasa waspada supaya tidak bertindak kasar. Sebagaimana doa masyhur yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya jangan jadikan aku hina pada pandangan orang atau diperhinakan, hindarkan daripada tergelincir perjalanan atau ada sesuatu yang menyebabkan tergelincir. Hindarkan sesat ataupun ada sesuatu yang menyebabkan tersesat, dan jangan jadikan aku kasar atau orang bertindak kasar terhadapku."

Jika berselisih pendapat dengan seseorang, hendaklah bersungguh memerah fikiran untuk kemukakan segala hujah dan dalilnya.

Dalam sesuatu pertikaian aka wujud pihak yang mendakwa, kewajipan pendakwa mesti kemuka bukti (baiyyinat) yang melebihi tahap munasabah. Pihak yang terdakwa perlu kemuka hujah bagi menyangkal dakwaan.

Sesungguhnya dikenali seseorang itu atas kebenarannya. Yang wajib dipatuhi ialah kebenarannya kerana kebenaran itu hakikatnya daripada Allah swt.

Yang wajar dituruti bukan orangnya, kerana bagaimana gagah sekalipun seseorang itu tidak akan membawa manusia ke syurga. Bahkan jika tiada hujah kebenaran akan ke neraka jua akhirnya.

Selain itu jangan terlalu banyak membuat isyarat tunjuk ke sana sini, juga jangan banyak berpaling ke belakang. Kerana ia akan menghilangkan sifat tenang (waqar) dalam dirinya.

Apabila kemarahan sudah reda apabila berlaku perselisihan, ketika itu barulah seseorang boleh menyambung percakapan.

Ini kerana bercakap ketika kemarahan sedang memuncak, hanya akan mendatangkan natijah yang negatif.

Jika berlaku perselisihan berhubung dengan harta, janganlah meletakkan harta benda lebih mulia daripada air muka dan harga diri (maruah), kerana taraf harta di sisi Tuhan lebih rendah daripada air muka atau maruah.

Sekiranya berlaku perselisihan mengenai harta, jika nilainya tidak begitu besar, wajar diselesaikan cara berlbih kurang berhalal-halalan. Perbalahan jangan sampai meletakkan harta lebih bernilai daripada maruah harga diri.

Yakinlah bahawa harta itu pasti akan kembali kepada pemiliknya sebenar di akhirat kelak.

Betapa aibnya didepan Allah swt dan para rasulNya, serta manusia seluruhnya di Mahsyar kelak menyaksikan manusia terpaksa menyerahkan kembali harta orang yang diambilnya.

Dengan demikian akan tawar hati hendak memiliki harta kepunyaan orang lain, dengan cara yang menyalahi agama dan undang-undang.

Dengan itu perbalahan dapat dihindari dan sifat tamak dapat dicegah.


oleh: Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat