"IKHLAS itu 'khalas'... dalam bahasa Arab ertinya habis, licin licau, sehabuk pun tak ada."
"Ertinya, orang yang ikhlas itu tidak ada sesuatu apa pun dalam hatinya, melainkan Allah. Ia berbuat kerana dan untuk Allah semata," tambah saya lagi.
"Apa kaitannya semua ini dengan masalah saya? Soalnya, saya sangat tertekan dengan isteri saya. Stres saya dibuatnya. Apa sahaja yang saya buat tak kena. Ada -ada sahaja kerenah dan masalahnya. Padahal saya ikhlas."
"Maksud awak orang ikhlas akan stres?" jolok saya perlahan.
"Ya, kekadang kita ikhlas memberi, isteri pula tidak ikhlas menerima. Kalau sama - sama ikhlas kan baik. Tak stres."
RAHSIA KEGAGALAN
"Awak tahu rahsia kegagalan?" tanya saya seolah - olah mengalih arah perbualan. Dia nampak tersentak. Telah dua kali saya cuba 'mengeluarkan'nya daripada kotak pemikiran sedia ada kepada kotak pemikiran yang lain - Think outside the box, kata orang.
"Pelik, selalunya orang lebih tertarik dengan rahsia kejayaan berbanding rahsia kegagalan... "
"Siapa yang tidak tahu rahsia kegagalan tidak akan berjaya," tegas saya. Dia senyum. Tanda setuju.
"Apa dia rahsia kegagalan?" tanyanya. Saya senyum. Pancingan saya mengena. Umpan saya telah 'dimakan'.
"Cuba menyukakan hati semua orang!" jawab saya.
"Kenapa.. salahkah cuma menyukakan hati semua?"
"Tak salah. Tapi sebagai makhluk kita tidak akan mampu. Justeru, siapa yang cuba menyukakan hati semua orang, akan berakhir dengan semua orang tidak akan suka kepadanya."
"Betul tu..kalau saya cuba menyukakan hati isteri, kekadang menyinggung perasaan ibu dan adik beradik saya. Bila saya cuba menyukakan hati adik beradik isteri pula tak suka. Stres. Mana jalan keluarnya?"
"Awak mesti ikhlas!"
"Ya Rabbi, apa ni? Kejap ke sini, kejap ke sana hala perbualan kita ni."
"Taklah... kita kesana untuk kesini," balas saya bermain kata - kata.
Dia senyum. Saya senang sekali dengan senyumannya.
IKHLAS DAN RAHSIA GAGAL
"Apa kaitannya antara ikhlas dan rahsia kegagalan?"
"Orang ikhlas akan berjaya. Orang yang tidak ikhlas akan gagal."
"Mengapa?"
"Orang yang ikhlas hanya ada satu Tuhan untuk dijaga dalam hidupnya. Manakala orang yang tidak ikhlas punya ramai 'tuhan' kecil untuk dijaga."
"Maksud awak, orang yang ikhlas hanya berbuat sesuatu untuk mendapat keredhaan Allah yang satu. Sedangkan orang yang tidak ikhlas berbuat sesuatu untuk mendapat keredhaan ramai manusia."
"Jika kita berbuat sesuatu hanya untuk mendapat keredhaan Allah - insyaAllah, Tuhan akan redha. Itu rahsia kejayaan... " tambah saya.
"Tetapi jika kita cuba menyukakan hati semua orang, semuanya akan benci. Dan itulah punca kegagalan...Kan gitu?"
Saya mengangguk.
"Saya rasa terbelenggu betul dengan sikap isteri dan adik beradik saya sejak kebelakangan ni. Hidup saya serba tak kena. Diluah mati emak, ditelan mati bapa."
"Orang ikhlas itu bebas!" kata saya pendek. Mengingatkan diri saya juga.
"Terus terang... saya akui, saya tidak bebas. Ertinya, saya juga tidak ikhlas."
BUKAN ORANG YANG GAGAL
"Jangan mengeluh begitu. Saya pun sama juga. Tidak bebas sepenuhnya, masih lagi berlatih dan berlatih. Semua orang juga begitu. Yang penting jangan labelkan diri kita dengan label negatif. Kita hanya 'fail' tapi bukan 'failer'."
"Bagaimana nak merdeka... ops nak bebas?"
"Jadi orang yang ikhlas. Jadi hamba Allah. Itulah yang sebenarnya."
"Itu terlalu falsafah. Saya nak yang mudah. Yang boleh diamalkan secara realistik dalam rumahtangga."
"Secara mudah, apa yang Allah tetapkan wajib maka kita lakukan walaupun mungkin isteri kita suka, ibu kita tidak suka. Yang haram kita tinggalkan, walaupun isteri kita tak suka, ibu bapa kita pula yang suka. Yang penting bukan kesukaan manusia, tapi 'kesukaan' Allah."
"Kalau semua mereka tak suka macam mana?" geleceknya licik.
"InsyaAllah, ada manusia yang suka apabila kita disukai Allah."
"Tapi tidak semua kan? Itu problemnya."
CINTA YANG MENYATUKAN
"Hanya manusia yang sukakan Allah akan menyukai manusia lain yang juga sukakan Allah. Cinta yang satu menyatukan manusia."
"Tapi tak semua kan?" ulangnya lagi.
Saya diam. Jelas, penjelasan saya masih tak jelas lagi. Saya terima kelemahan saya. Bukan kerana kelemahannya, tapi kerana kelemahan saya. Saya diam mencari makna dan kata - kata.
"Jika awak diberi pilihan... untuk disukai oleh dua orang manusia. Pertama, manusia yang disukai Allah. Kedua, manusia yang dibenci Allah.. Yang mana awak pilih?" akhirnya saya bersuara.
Jelas, kali ini dia pula terdiam. Alhamdulillah. Dia berfikir dalam. Begitu saya mengharapkan. Saya tidak menganggap perbualan sebagai satu persaingan tetapi lebih sebagai satu perkongsian.
"Tentu saya memilih untuk disukai oleh orang yang disukai Allah." Dia menjawab akhirnya.
"Ya itulah jawapannya. Apa gunanya disukai oleh orang yang dibenci Allah? Sukanya tidak memberi manfaat, bencinya tidak memberi mudarat."
"Ya, kita tidak boleh menyukakan hati semua orang. Kita hanya perlu berusaha untuk menyukakan Allah.. InsyaAllah nanti kita akan disukai dan menyukai orang yang disukai Allah juga. Dan itulah rahsia kejayaan kita."
Demikian terungkainya perbualan kami yang kompleks pada awalnya itu. Mudah - mudahan kami ikhlas dalam perbualan mengenai ikhlas itu! *
oleh: Pahrol Mohammad Juoi
Himpunan hadith, kisah-kisah para sahabat Nabi s.a.w dan renungan untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama...
Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada masa dahulu.
Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.
Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan amalanku
disepanjang hidupku ini.
Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan takutnya daku memikirkan
saat bersendirian di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku
sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.
Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan di akhirat
nanti.
Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan
bimbinganMu pada setiap nafasku.
Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad