Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad
Showing posts with label fadhilat quran. Show all posts
Showing posts with label fadhilat quran. Show all posts

HADITH 33 - Hak Al-Quran Atas Kita Ialah Dibaca Sekurang-Kurangnya 2 Kali Setahun

Sesetengah ulama mengeluarkan fatwa bahawa hendaklah mengkhatamkan al-Quran sekali setiap bulan. Yang terlebih baik ialah sekali khatam pada setiap minggu, sebagaimana diriwayatkan mengenai amalan kebanyakan para sahabat r.anhu. Seseorang itu hendaklah memulakan bacaan pada hari Jumaat dan membaca satu Manzil* setiap hari, dengan ini al-Quran dapat dikhatamkan pada hari Khamis dalam masa 7 hari. Kata-kata Imam Abu Hanifah rah. telah dinyatakan sebelum ini, iaitu menjadi hak al-Quran supaya dikhatamkan 2 kali setahun. Oleh kerana itu, janganlah membaca al-Quran kurang daripada 2 kali khatam dalam setahun dalam apa-apa keadaan pun.


Dalam sebuah hadith dinyatakan bahawa jikalau bacaan al-Quran itu disempurnakan pada permulaan hari, malaikat-malaikat mendoakan rahmat bagi pembaca itu untuk sepanjang hari tersebut. Jika bacaan disempurnakan pada permulaan malam, malaikat-malaikat akan mendoakan rahmat baginya sepanjang malam tersebut. Sesetengah ulama mengambil pengajaran daripada hadith ini bahawa pada musim panas bacaan al-Quran hendaklah disempurnakan pada permulaan siang dan pada musim sejuk pada permulaan malam. Dengan cara ini pembaca itu mendapat manfaat doa malaikat bagi jangka masa yang lebih lama.


* Manzil ialah satu bahagian daripada al-Quran yang dibahagi tujuh.

HADITH 3 - Kelebihan Surah Al-Waqi'ah

Hazrat 'Abdulah bin Mas'ud r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,"Sesiapa membaca surah al-Waqi'ah pada setiap malam, kebuluran tidak akan menimpanya untuk selama-lamanya.
'Abdulah bin Mas'ud r.anh selalu menyuruh anak-anak perempuannya membaca surah ini pada setiap malam."
(Hadith riwayat Baihaqi)

Keterangan


Kelebihan-kelebihan surah al-Waqi'ah juga diberitakan dalam beberapa hadith. Ada satu riwayat menyatakan bahawa sesiapa membaca surah al-Hadid, al-Waqi'ah dan ar-Rahman, akan digolongkan sebagai penghuni Jannatul Firdaus. Dalam hadith yang lain dinyatakan bahawa, "Surah al-Waqi'ah ialah surah al-Ghina. Bacalah surah itu dan ajarkanlah kepada anak-anak kamu." Riwayat yang lain menyebut, "Ajarkanlah kepada isteri-isterimu."

Diberitakan bahawa Hazrat 'Aishah r.anha juga telah menekankan kepentingan pembacaan surah ini. Walau bagaimanapun, satu keadaan yang cukup rendah sekiranya kita membaca surah ini hanya untuk mendapat beberapa keping wang. Sebaliknya, jika kita membaca surah ini dengan niat untuk memenuhi kekayaan hati (kepuasan rohani) dan untuk maksud akhirat maka dengan sendirinya keuntungan-keuntungan dunia pun akan datang kepada kita.

HADITH 4 - Kelebihan Surah Al-Mulk




Hazrat Abu Hurairah r.anh meriwayatkan Rasulullah saw bersabda, "Ada satu surah dalam al-quran yang terdiri daripada 30 ayat yang akan memberi syafaat kepada seseorang (pembacanya), sehinggalah dia diampunkan. Surah itu adalah surah Tabara al-Lazi."

(Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Keterangan

Tentang surah Tabarak al-Lazi juga ada satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah ini berada dalam setiap hati orang beriman."

Mengikut satu hadith lagi, seseorang yang membaca surah Tabarak al-Lazi dan 'Alif Lam Mim Sajadah antara solah Maghrib dan Isya' adalah seumpama seseorang yang beribadat sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang membaca kedua-dua surah ini, tujuh puluh pahala akan dituliskan untuknya dan tujuh puluh dosa akan dijauhkan daripadanya. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca surah ini, dituliskan untuknya pahala yang menyamai pahala ibadat pada malam Lailatul-Qadar. (Ini juga disebutkan dalam kitab Mazahirul-Haq.)

Imam Tirmizi rah. meriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma, "Sekumpulan sahabat r.anh telah mendirikan khemah di suatu tempat tanpa mengetahui bahawa disitu terdapat sebuah kubur. Tiba-tiba mereka yang mendirikan khemah itu mendengar seseorang sedang membaca surah Tabarak al-Lazi. Mereka datang dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Baginda saw menerangkan bahawa surah ini akan menjaga pembaca daripada azab Allah swt dan menjamin keselamatan (najat.)" Hazrat Jabir r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah saw tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif Lam Mim Sajadah dan Tabarak al-Lazi.

Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh berkata bahawa satu riwayat telah sampai kepadanya yang mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang selalu membaca surah al-Sajadah. Dia tidak pernah membaca surah lain. Surah itu telah mengembangkan sayapnya ke atas orang itu dan memohon kepada Allah swt, "Wahai Tuhanku, orang ini kerap kali membaca daku." Syafaat daripada surah ini diterima oleh Allah swt maka kerana itu diperintahkan supaya setiap dosanya digantikan dengan pahala. Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga telah meriwayatkan bahawa, "Surah ini akan merayu bagi pihak pembacanya dalam kubur dan berkata, 'Ya Allah, jika aku ini berada dalam kitabMu maka terimalah syafaatku, jika tidak, hapuskanlah sahaja daku daripada kitabMu.' Surah ini akan muncul dalam bentuk seekor burung , mengembangkan sayapnya ke atas mayat itu dan melindungi mayat itu daripada seksaan kubur." Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga berkata bahawa semua kelebihan di atas adalah juga untuk surah Tabarak al-Lazi.

Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh sendiri tidak akan pergi tidur sehinggalah beliau selesai membaca dua surah ini. Hazrat Ta'us rah. berkata, "Kedua-dua surah ini mendatangkan enam puluh ganjaran yang melebihi setiap surah lain dalam al-Quran."

Seksaan dalam kubur bukanlah suatu perkara yang ringan. Setelah meninggal dunia, kubur ialah perhentian pertama yang seseorang itu mesti lalui. Apabila Hazrat 'Uthman r.anh berdiri di atas sebuah kubur, beliau akan menangis dengan hebatnya sehingga janggut beliau dibasahi air mata. Seseorang telah bertanya, "Tuan tidak menangis sebegitu rupa jika disebut tentang syurga atau neraka sebagaimana tuan menangis ketika berada dikubur." Beliau menjawab, "Saya telah mendengar daripada Rasulullah saw bahawa kuburlah tempat persinggahan pertama untuk menuju ke akhirat. Sesiapa terselamat daripada azab kubur, peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Sementara sesiapa yang tidak selamat daripada azab kubur, ujian-ujian yang akan datang lebih sukar lagi. Saya juga mendengar bahawa tidak ada satu keadaan pun yang lebih menggerunkan daripada keadaan yang ada dalam kubur." (Jam'ul Fawaid)

'Ya Allah, peliharalah kami daripada keadaan tersebut dengan kurniaan dan anugerahMu.'