
Hazrat Abu Hurairah r.anh meriwayatkan Rasulullah saw bersabda, "Ada satu surah dalam al-quran yang terdiri daripada 30 ayat yang akan memberi syafaat kepada seseorang (pembacanya), sehinggalah dia diampunkan. Surah itu adalah surah Tabara al-Lazi."
(Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban dalam sahihnya)
Keterangan
Tentang surah Tabarak al-Lazi juga ada satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah ini berada dalam setiap hati orang beriman."
Mengikut satu hadith lagi, seseorang yang membaca surah Tabarak al-Lazi dan 'Alif Lam Mim Sajadah antara solah Maghrib dan Isya' adalah seumpama seseorang yang beribadat sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang membaca kedua-dua surah ini, tujuh puluh pahala akan dituliskan untuknya dan tujuh puluh dosa akan dijauhkan daripadanya. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca surah ini, dituliskan untuknya pahala yang menyamai pahala ibadat pada malam Lailatul-Qadar. (Ini juga disebutkan dalam kitab Mazahirul-Haq.)
Imam Tirmizi rah. meriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma, "Sekumpulan sahabat r.anh telah mendirikan khemah di suatu tempat tanpa mengetahui bahawa disitu terdapat sebuah kubur. Tiba-tiba mereka yang mendirikan khemah itu mendengar seseorang sedang membaca surah Tabarak al-Lazi. Mereka datang dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Baginda saw menerangkan bahawa surah ini akan menjaga pembaca daripada azab Allah swt dan menjamin keselamatan (najat.)" Hazrat Jabir r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah saw tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif Lam Mim Sajadah dan Tabarak al-Lazi.
Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh berkata bahawa satu riwayat telah sampai kepadanya yang mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang selalu membaca surah al-Sajadah. Dia tidak pernah membaca surah lain. Surah itu telah mengembangkan sayapnya ke atas orang itu dan memohon kepada Allah swt, "Wahai Tuhanku, orang ini kerap kali membaca daku." Syafaat daripada surah ini diterima oleh Allah swt maka kerana itu diperintahkan supaya setiap dosanya digantikan dengan pahala. Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga telah meriwayatkan bahawa, "Surah ini akan merayu bagi pihak pembacanya dalam kubur dan berkata, 'Ya Allah, jika aku ini berada dalam kitabMu maka terimalah syafaatku, jika tidak, hapuskanlah sahaja daku daripada kitabMu.' Surah ini akan muncul dalam bentuk seekor burung , mengembangkan sayapnya ke atas mayat itu dan melindungi mayat itu daripada seksaan kubur." Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga berkata bahawa semua kelebihan di atas adalah juga untuk surah Tabarak al-Lazi.
Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh sendiri tidak akan pergi tidur sehinggalah beliau selesai membaca dua surah ini. Hazrat Ta'us rah. berkata, "Kedua-dua surah ini mendatangkan enam puluh ganjaran yang melebihi setiap surah lain dalam al-Quran."
Seksaan dalam kubur bukanlah suatu perkara yang ringan. Setelah meninggal dunia, kubur ialah perhentian pertama yang seseorang itu mesti lalui. Apabila Hazrat 'Uthman r.anh berdiri di atas sebuah kubur, beliau akan menangis dengan hebatnya sehingga janggut beliau dibasahi air mata. Seseorang telah bertanya, "Tuan tidak menangis sebegitu rupa jika disebut tentang syurga atau neraka sebagaimana tuan menangis ketika berada dikubur." Beliau menjawab, "Saya telah mendengar daripada Rasulullah saw bahawa kuburlah tempat persinggahan pertama untuk menuju ke akhirat. Sesiapa terselamat daripada azab kubur, peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Sementara sesiapa yang tidak selamat daripada azab kubur, ujian-ujian yang akan datang lebih sukar lagi. Saya juga mendengar bahawa tidak ada satu keadaan pun yang lebih menggerunkan daripada keadaan yang ada dalam kubur." (Jam'ul Fawaid)
'Ya Allah, peliharalah kami daripada keadaan tersebut dengan kurniaan dan anugerahMu.'