Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Bermula di Satu Pengakhiran..

Entah kenapa, dihari lahir ini hatiku sayu sekali. Ucapan tahniah dan hadiah yang melimpah, tidak dapat mengusir segala kesepian yang menjengah. Hati terpasung oleh kata - kata yang pernah diucapkan oleh Sayidina Ali :

"Manusia semua tidur, apabila mati baru mereka terjaga."

Kata - kata itu menusuk ke lubuk hati. Merobek - robek sisa kegembiraan yang masih ada. Apakah aku masih tidur? Ah, tidur yang sangat panjang kalau begitu.Teringat pula kata Imam Ghazali:

"Ada manusia yang sedang ketawa ria, sedangkan kain kafannya sedang dirobek - robekkan."

Ya, esok ulang tahun kelahiranku. Sudah separuh abad aku bernaung dibawah langit-Mu ya Allah. Belum pun aku terasa menjadi hamba -Mu yang sebenar. Masih berpura - pura. Alangkah alpa dan berdosanya aku. Apakah sisa umurku masih panjang? Atau hanya seketika lagi. Aku tidak pasti. Ketika ramai teman mengucapkan selamat panjang umur, hakikatnya umurku semakin pendek. Bukankah tarikh mati setiap insan sudah ditetapkan? Dan hari ini, esok dan lusa aku menapak lagi.. semakin hampir pada tarikh kematian yang dijanjikan. Duhai, tertipunya aku ketika menerima ucapan selamat hari jadi.. selamat pulakah hari matiku?

'Siapalah aku' Aku belum bersedia untuk bertemu dengan-Mu ya Allah. Walaupun aku tahu, siapalah aku untuk menyatakan tidak dan tunggu. Ya Allah.. segala kekuatan hanya pada-Mu jua. Kau yang Maha Tahu apa yang terbaik untukku. Aku merayu pada-Mu ya Allah, pada tarikh ini. Untuk mengemis keampunan-Mu dengan tangan yang berdosa, dengan hati yang tercela. Jika tidak mengenangkan yang Engkau Maha Pengampun, aku tidak akan datang ya Allah. Rasa malu dan hina untuk meminta. Apakah aku diterima?

Ya Allah, dihari ini, kupinta dileraikan kusut fikirku. Mohon dijinakkan nafsu liarku. Tenangkanlah gelojak hati ini. Wahai yang Maha Adil, kutiplah aku untuk menumpang sekalipun dipinggiran rahmat-Mu. Walau sering aku lupa, tetapi aku sentisa mendamba. Entah mengapa gelombang rasa ini sering datang dan pergi. Gelombang mujahadah ini tidak pernah tenang. Jangankan mutmainnah, malah amarah pula yang sering melanda. Kekadang aku sendiri bertanya, akukah aku ini? Terasa diri bersalin dua, tiga dan.. Ya Allah, jauhkan aku dari topeng munafik yang menipu-daya ini.

Tak mampu menangis. Aku bukan Hanzalah yang mencurigai dirinya munafik walau takwanya melimpah. Bukan juga Umar Al-Khattab, yang tega memukul diri walaupun sedikit berdosa. Pun bukan seumpama Rabiatul Adawiyah yang sentiasa berkata:

"Sesungguhnya istighfarku memerlukan satu istighfar lagi."

Aku juga tidak mampu menangis kerana dosa... Hatiku keras amat. Kucuba menangis dengan rasa kesal. Tapi gagal. Mengapa aku tidak mahu menangis kerana gagal menangis.

Ya Allah, kerasnya hatiku ini. Mohon dilembutkan. Atau mohon aku diberi 'hati' yang lain. Hati yang ada ini bagaikan sudah mati, ya Allah.

Aku kembara telah jauh. Namun kolam hatiku kian keruh. Beban tambah berat, diriku kian penat. Urusan kian payah. Jiwa semakin gundah. Justeru, mudah-mudahan dihari lahirku ini aku akan 'dilahirkan' semula. Lahir sebagai insan yang sentiasa mengingati-Mu. Yang mampu hidup antara kekangan takut dan lingkungan harap. Takut, kalau - kalau dimurkai. Harap, minta - minta diampuni.

Hidup menanti mati. Buat sahabat, teman dan kenalan... terima kasih atas ingatan kalian. Pada yang jauh, maafkan aku kerana gagal mendekat. Pada yang hampir, maaf kerana tidak pandai membelai. Akhirnya terimalah secebis kata ini (mungkin ini pun masih dari terowong jiwaku yang gelap - gelita.)
Pesanku:

"Marilah kita hidup..
seperti orang yang menanti mati
kerana ingat mati itu
akan mengecilkan segala derita
akan mencairkan segala alpa
kiranya inilah detik terakhir
marilah kita mulakan semula
walau yang masih tersisa
hanya sedetik cuma..
itu lebih bermakna!"


Permulaan yang baik? Ah, kata pujangga, kita akan temui semula sesuatu ditempat kita kehilangannya. Dan sesuatu pengakhiran kekadang membawa kita kepada suatu permulaan yang lebih baik. Ah, teringat pula ungkapan dalam bahasa inggeris yang pernah menjadi hiasan meja sewaktu belajar dulu:

" In life, what sometimes appears to be the end is really a new beginning... "

Mudah - mudahan. Ini permulaan yang baik. Amin ya Allah! *


oleh: Pahrol Mohammad Juoi