Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 1

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 1:NIAT BUKAN LAFAZ


Niat merupakan bicara hati bukannya bicara lidah. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari. Oleh itu cermatilah bahasa hati agar dia sentiasa benar-benar lurus seiring dengan perkataan dan perbuatan.

Tubuh badan pula menterjemah niat di hati dan syaitan pula sedaya upaya menyesatkan seseorang itu bermula dengan niatnya. Allah SWT menyediakan petunjuk AL-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

Sabda Nabi s.a.w:
"Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu sekali-kali tidak akan sesat selagi kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu Kitab Allah dan sunnahku. Kedua-dua tidak akan berpisah hinggalah keduanya mendatangiku di al-Haudh."

(Diriwayat dari Abu Hurairah r.a)


Kita dipertemukan atas pegangan ini bukan terikut dengan pelbagai falsafah -falsafah moden dan lama yang cuba mengeluarkan kita dari kemurnian beragama. Pendapat-pendapat yang lemah dari sebahagian ulamak diangkat untuk menidakkan ketulenan pegangan. Misalnya tentang "wafaq" yang mengambil kiraan bintang (nujum) untuk tujuan sesuatu hajat, masih lagi ada pihak yang mahu mempertahankannya walaupun terdapat hadis soleh menolaknya.

Perbicaraan tentang wafaq diperluaskan bagi mencari celah untuk membolehkan sedangkan jumhur ulamak, malah hampir keseluruhan ulamak menolaknya. Sejauh mana manfaatnya wafaq dalam menentukan sesuatu hajat melainkan mereka dengan sedikit kelebihan yang dimunculkan oleh golongan jin.

Inilah persimpangan pertama hasil dari niat seseorang dalam melakukan sesuatu ketaatan. Letakkanlah kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti. Beruntunglah Uwais Al Qarni yang namanya tidak disebut dibumi tetapi dikenali dikalangan penduduk di langit.

Kesimpulan

1. Niat itu mendatang dalam setiap pergerakan walaupun mungkin tanpa disedari.

2. Allah swt menyediakan petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah di setiap persimpangan sebagai rahmat
lagi menyelamatkan selagi mana petunjuk itu dituruti tanpa ada keraguan di hati.

3. Letakkanlah niat kerana mengharapkan keredhaan Ilahi bukan untuk mencari sedikit populariti.

HATI BESAR vs HATI KECIL


.... Sering berlaku, hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri!

Malam itu aku seolah-olah kembara dalam satu perjalanan yang sunyi. Terlalu sunyi, sehingga degup hati pun dapat dirasakan. Nafas dihela perlahan-lahan. Mencari makna pencapaian dan kejayaan. Apakah aku telah berjaya? Kata bijak pandai, ini soal yang tidak relevan.

Justeru menurut mereka, orang yang berjaya tidak sempat bertanya adakah aku berjaya, sepertimana orang yang bahagia tidak akan bertanya apakah aku bahagia?


Pedulikan kajian dan ungkapan sarjana. Aku kendalikan hidupku sendiri dan bebas memberi erti dan makna tanpa terikat dengan tesis dan hipotesis. Aku bebas menjadi raja pada diri sendiri selagi terus tunduk sebagai hamba Ilahi.

Di mana ukuran kejayaanku?

Dibisikkan pada hati, kejayaan itu apabila kau mencapai tujuan dalam hidupmu.

Lalu apakah tujuan hidup itu? Ini soalan asas yang sejak dahulu diberitahu bahawa tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada Allah. Ah, mudahnya. Tetapi tidak semudah itu apabila istilah ibadah itu hendak 'ditulis' dalam kehidupan.

Sering sekali tujuan dibayangi keperluan, hingga alat bertukar menjadi matlamat apabila memburu nikmat hingga terlupa Pemberi nikmat.


Tujuan itu pertama dan utama. Keperluan itu hanya perkara kedua yang datang selepasnya. Tujuan itu mengabdikan diri kepada Allah seluruhnya. Keperluan itu ialah makanan, pakaian, kediaman, kenderaan dan harta. Tujuan itu ialah rasa kehambaan - takut, cinta, harap, taat - seorang hamba kepada Allah. Keperluan itu ialah harta, pakaian , kenderaan dan segala miliknya yang wajib dijadikan alat mencapai tujuan.

Ah, malang sekali jika aku merasakan kejayaan itu hanya apabila tercapainya keperluan. Padahal, hati dan diri masih jauh daripada berjinak-jinak dengan Allah. Jiwa masih liar. Nafsu masih buas. Dan tanpa disedari sering juga keperluan menjadi tujuan. Cinta Allah tersisih, takutkan Allah terpinggir, hanya kerana keperluan yang dicari tanpa henti atau yang telah melimpah tanpa batas.


Dan lebih aneh apabila ukuran kejayaan tertukar tanpa sedar. Kita mengukur ertinya pada neraca keperluan, bukan tujuan. Aku lebih berjaya apabila harta, rumah, dan kenderaanku mewah dan bertambah. Padahal di neraca tujuan, timbangan cinta, takut dan harapmu kepada Allah kian ringan.

Kekadang pandai pula syaitan berkias kata, berkilas rasa...katanya, kau mencari segala kerana Allah jua.

Jika benar harta dan milikmu itu kerana Allah jua, bagaimana rasa hatimu ketika mencari, mengurus, dan mentadbirnya? Apakah segala-galanya diurus tadbir dengan rasa takut, cinta dan mengharap keampunanNya? Bagaimana pula dengan solatmu, apakah kian khusyuk? Bagaimana dengan puasamu, apakah sudah soleh? Bagaimana dengan hajimu, apakah sudah mabrur? Bagaimana dengan mazmumahmu, sudahkah lebur?

Hati 'besarmu' boleh menipu, wahai diri... tetapi hati 'kecilmu' tidak mampu menipu. Hati kecilmu sentiasa tidak rela dan tega untuk menipu diri sendiri! Dialah yang paling terseksa apabila kau mengukur kejayaan berdasarkan keperluan, bukan tujuan!


Malam kian larut. Mata tidak mahu tidur diheret dalam kembara hati yang bersimpang siur. Apakah destinasiku saat ini? Apakah tujuan atau keperluan? Kembara hatiku terus melangkaui dinihari.. Hati besar dan hati kecil terus berebut untuk mengendali kemudi diri! *

Oleh: Pahrol Muhammad Juoi

Jadilah Seorang RAJA!

"Berapa lama awak dalam bidang ini?" Begitu kadang-kadang anda ditanyakan orang. Kemudian yang bertanya akan membandingkan pencapaian itu dengan pencapaian si polan itu, si polan ini.

Silap-silap anda akan terasa kerdil apabila si penanya akan meletakkan 'orang besar' dalam bidang tersebut sebagai penanda aras kecapaian. Aduh, terasa anda masih jauh. Anda masih merangkak ketika orang lain telah berjalan, berlari dan melompat.

Anda kalah, kalau jika sebaik sahaja perbualan itu tamat, anda mula merasakan, oh, malangnya nasibku!

"Berapa ramai anak di universiti?" Sebaik sahaja anda menjawabnya, si penanya akan bertanya, "Dalam bidang apa? Perubatan, Kejuruteraan, Farmasi?"

Jika anak anda berada di bidang-bidang lain, yang tidak dianggap 'prestij', si penanya akan menerangkan betapa 'rendahnya' nilai profesion anak anda itu jika bidang pengajiannya 'biasa-biasa' sahaja. Jika tidak berhati-hati, rasa rendah diri akan tersuntik tanpa disedari. Alangkah bertuahnya dia, alangkah ruginya aku...


Pak Lawak Yang Berasa Besar

Itu belum lagi anda bertemu dengan pak lawak yang berasa besar hanya kerana punya kenalan di kalangan 'orang-orang besar'. Anda seperti hendak ketawa apabila dia bercerita tentang Tan Sri itu, Puan Seri ini, Datuk itu, Datin itu, yang kononnya sangat akrab dengannya.

Padahal dia hakikatnya hanya 'pecacai' sahaja kepada orang besar yang diuar-uarkannya itu. Keinginannya menjadi besar menyebabkan dia 'kecil' apabila hilang harga diri dan suara hati sendiri ketika bergaul dengan 'orang besar'nya.

Angguk-angguk, tunduk-tunduk...Ya,Datuk!, Ha! Tan Sri!

Perkara-perkara yang saya sebutkan di atas mengingatkan saya kepada perbualan bersama Mat (bukan nama sebenar), seorang sahabat yang sangat akrab dengan saya.

"Bagaimana rasanya apabila tidak dihargai?" tanya Mat. Nadanya sedih.

"Mengapa?" tanya saya simpati.

"Mereka masih melihat jawatan, harta dan nama."

"Kau tidak perlu penghargaan mereka yang seperti itu."

Dia merenung jauh.

"Kalau kita dihargai kerana berpangkat, berharta dan bernama, penghargaan itu hakikatnya bukan untuk kita tetapi untuk pangkat, harta dan nama."

"Tetapi aku sedih...Setelah sekian banyak yang aku lakukan."

Kita Berharga Tanpa Penghargaan

"Jangan mengharap terima kasih, Mat. Nanti kita sakit jiwa. Hakikatnya, majoriti manusia yang hidup didunia ini tidak pandai berterima kasih.

Jika kepada Allah pun hanya sedikit manusia yang mampu bersyukur, inikan pula sesama manusia," kata saya seakan memujuk.

"Aku sedih, itu sahaja..."

"Lupakan Mat. Aku kenal kau sejak dulu. Kau tak perlukan penghargaan kerana kau sememangnya berharga. Kata bijak pandai, jangan sedih kalau kita tidak dihargai tetapi sedihlah jika benar-benar kita tidak berharga."

Mat mendongakkan mukanya yang sejak tadi tunduk.

"Apa maksud kau?"

Melihat Mat mula tenang, saya mula bercerita. Ada dua cerita, secara santai saya mula bercerita:

Pertama, cerita tentang Nasiruddin seorang sufi yang ketika dia masuk ke sebuah kampung, seluruh kampung mengalu-alukan kedatangannya.

"Selamat datang ulama, selamat datang orang alim... Ajarkan kami, ajarkan kami," sorak penduduk kampung.

"Mengapa kamu semua merasakan aku seorang alim?"

"Kerana serban besar yang tuan pakai."

Nasiruddin pun membuka serbannya dan dipakaikan ke kepala keldai yang ditunggangnya.

"Nah, sekarang kau semua belajar daripada keldaiku. Dia alim sekarang, kerana telah memakai serban besar!"

Menghargai Diri Sendiri

Mat ketawa mendengar cerita saya.

"Kau tahu, Nasiruddin tetap Nasiruddin walaupun tanpa serbannya. Yang lebih penting ialah diri kita, bukan pakaian, gelaran, dan harta yang kita miliki. Dan kita sebenarnya tidak perlu penghargaan orang asalkan kita pandai menghargai diri kita sendiri."

"Betul ke?"

"Ini hasil kajian pakar psikologi, Mat... Menurut mereka, penilaian kita terhadap diri sendiri jauh lebih penting berbanding penilaian orang lain terhadap kita."

"Jadi, jangan sampai penilaian orang lain mempengaruhi penilaian kita terhadap diri kita sendiri, begitu maksud kau?"

"Kau lebih tahu, Mat. Lagipun apa gunanya penghargaan daripada orang yang sebegitu. Hidup terlalu singkat untuk kita berikan masa bagi mereka yang semacam itu."

Cerita kedua: Seorang bijak pandai dijemput ke satu majlis jamuan. Dengan pakaian yang sangat sederhana, bijak pandai itu pun pergi ke sana. Malangnya, setibanya di majlis itu, dia tidak dijemput langsung untuk makan. Tuan rumah mengutamakan orang-orang kenamaan yang lain. Si bijak pandai pulang kerumahnya lalu menukar pakaian yang mahal dan gemerlapan lalu pergi semula ke majlis tersebut.

Kali ini dia disambut dengan mesra dan dihidangkan makanan yang lazat. Si bijak pandai lantas menuangkan lauk-pauk dan makanan yang terhidang ke pakaiannya.

"Mengapa?" Tanya orang ramai. Si bijak pandai menjawab, "Tuan rumah hendak menjamu pakaianku, bukan diriku."


Hidup Satu Perkongsian


Sekali lagi Mat ketawa.

"Mat, orang pandai kenal orang bodoh. Tapi orang bodoh tak kenal orang pandai. Life is to 'complete' not to 'compete'- hidup bukan satu pertandingan, tetapi satu perkongsian. Tinggalkan mereka yang asyik nak bertanding dengan harta, nama dan jawatan. Kita teruskan dengan perkongsian ilmu, iman dan kebajikan. Yang penting ikhlas. Memberi bukan untuk menerima. Berjuang bukan kerana nama!"

Kemudian, giliran Mat pula bercerita - betapa ramai anak yang begitu 'admire' dengan ibu mithali yang dinobatkan oleh pihak itu dan ini sehingga mengecilkan jasa ibu sendiri. Kononnya , ibu mithali itulah yang lebih baik daripada ibu mereka sendiri. Dan betapa ramai pula yang mengimpikan anak seperti mereka yang dianugerahkan 'Pelajar Cemerlang' dan sebagainya...hingga merasakan anak sendiri kurang 'harganya'.

"Apa pesan awak untuk anak dan ibu seperti itu?"

"Aku katakan, ibu kita mungkin bukan ibu terbaik...tetapi sebagai anaknya, kita mesti nampak di mana kebaikan ibu kita sendiri."

"Tepat, Mat. Begitulah juga dengan diri sendiri. Kita ini bukan orang terbaik, tetapi kita mesti menghargai 'kelebihan' atau 'kebaikan' kita sendiri. Kita akan memajukan diri kita ke tahap maksimum selaras dengan kelebihan itu."

"Ertinya kita bertanding dengan diri sendiri?"

"Betul tu, bertanding dengan diri sendiri, berkongsi dengan orang yang lain."

Oh, alangkah tenangnya diri jika berpegang pada prinsip sendiri daripada terpaksa hidup bermuka-muka dengan topeng yang dipakai oleh kepura-puraan manusia...hanya untuk mencari nama, harta dan jawatan. Saya teringat cerita seorang raja bertanya kepada seorang petani miskin, "Siapa kamu?"

"Saya Raja," jawab petani.

"Raja?"

"Ya, Raja pada diri saya sendiri!"

Manusia Tidak Lekang Daripada Ujian

Dalam Al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu Muslim, samada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber makanan, harta benda, ujian dalam kehidupan adalah untuk Allah ketahui siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang paling bertakwa kepadaNya.

Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. Allah SWT tidak memberi mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan memohon kepadaNya melalui solat dan sabar.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 45 bermaksud, ”Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat, melainkan kepada orang-orang yang khusyuk.”

Dalam ayat 153 pula, Allah menjelaskan maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.”

Kedua-dua ayat di atas, memberi penjelasan bahawa Allah SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujianNya ialah dengan banyak bersabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh memohon kepadaNya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita bila-bila masa.

Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada Allah SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan Allah sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada Allah, dan sabar itu pula boleh dikategorikan sebagai berikut:

1.Sabar dalam melaksanakan perintah Allah dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepadaNya

2.Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahanNya dengan penuh rasa tanggungjawab

3.Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua

4.Sabar ketika berhadapan dengan maksiat

5.Sabar terhadap ketentuan dan musibah

Apabila dilihat kepada sirah para anbiya tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh Allah, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Para Anbiya adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh Allah, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama).”

Sehubungan itu, Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur menerusi tulisannya, 'Bekalan Kepada Para Da'ie ' ada menyatakan bahawa mana-mana individu atau jemaah tertentu yang memperjuangkan Islam, jika tidak melalui proses ujian, maka ia masih belum boleh dikatakan berjaya dalam dakwahnya.


Beberapa Perkara Yang Berkaitan Dengan Ujian

1.Bahawa Allah SWT menjadikan ujian sebagai sunnahNya, supaya Dia mengetahui dikalangan hambaNya yang jujur dan mana yang berdusta, mana yang benar-benar beriman dan mana yang munafik. Jika sekiranya semua perkara itu mudah dan penuh kesenangan, nescaya semua orang akan mengaku bahawa dia adalah seorang yang jujur, benar, dan beriman. Akan tetapi, Allah mengetahu orang-orang yang benar-benar jujur dan orang yang melaksanakan solat 5 waktu.

2.Antara pelajaran yang dapat diambil daripada setiap ujian, iaitu membersihkan Dalam Al-Quran, ada dijelaskan beberapa bentuk ujian yang mesti dilalui oleh setiap individu Muslim, samada ia berbentuk ujian kebuluran, ketakutan, ujian dengan sedikit sumber makanan, harta benda, ujian dalam kehidupan adalah untuk Allah ketahui siapakah di kalangan hamba-hambaNya yang paling bertakwa kepadaNya.

Kesemua itu adalah bertujuan supaya orang Islam semakin matang dalam menempuh perjuangan hidup. Allah SWT tidak memberi mereka meraba-raba dengan ujian yang didatangkan kepada mereka, akan tetapi Dia mengajar mereka untuk berlindung dan memohon kepadaNya melalui solat dan sabar.

Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 45 bermaksud, ”Jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu. Dan sesungguhnya yang demikian itu amat berat, melainkan kepada orang-orang yang khusyuk.”

Dalam ayat 153 pula, Allah menjelaskan maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, jadikanlah sifat sabar dan solat sebagai penolong kamu, sesungguhnya Allah beserta dengan orang-orang yang sabar.”

Kedua-dua ayat di atas, memberi penjelasan bahawa Allah SWT telah meletakkan syarat terpenting dalam menghadapi ujianNya ialah dengan banyak bersabar dan melakukan solat, sama ada yang wajib atau sunat, kerana dengannya kita boleh memohon kepadaNya untuk menyelamatkan kita daripada sebarang bentuk marabahaya yang boleh menimpa kita bila-bila masa.

Sifat sabar itu lahir apabila manusia ditimpa ujian getir daripada Allah SWT, ia bertujuan untuk memperkasa diri Muslim untuk terus berhubungan dengan Allah sebagai tanda penyerahan diri mereka hanya kepada Allah, dan sabar itu pula boleh dikategorikan sebagai berikut:

1.Sabar dalam melaksanakan perintah Allah dengan penuh rasa khusyuk dan pasrah kepadaNya

2.Sabar dalam meninggalkan segala larangan dan tegahanNya dengan penuh rasa tanggungjawab

3.Sabar dalam menempuh segala ujian, kerana ia mengandungi kebaikan untuk semua

4.Sabar ketika berhadapan dengan maksiat

5.Sabar terhadap ketentuan dan musibah

Apabila dilihat kepada sirah para anbiya tidak seorang pun daripada mereka yang tidak diuji oleh Allah, namun ujian yang ditimpakan ke atas mereka tidaklah sama antara seorang rasul dengan yang lain, justeru baginda ada menegaskan dalam hadisnya yang bermaksud: “Para Anbiya adalah golongan yang paling dahsyat ditimpakan ujian oleh Allah, kemudian golongan yang serupa dengan mereka (para ulama).”

3. Sehubungan itu, Almarhum Ustaz Mustafa Masyhur menerusi tulisannya, 'Bekalan Kepada Para Da'ie ' ada menyatakan bahawa mana-mana individu atau jemaah tertentu yang orang-orang yang komited dalam perjuangan mendaulatkan Islam, supaya Allah mengetahui siapa orang-orang yang menghina orang-orang salih dengan pelbagai tindakan jahat, termasuk para da'ie , penuntut ilmu, para ulama dan wali Allah.

3.Antara rahsia daripada ujian dan cubaan yang diturunkan Allah ke atas permukaan bumi ini, iaitu penghapusan pelbagai kesalahan dan dosa yang terdapat pada diri orang-orang pilihan, sehingga Allah akan gugurkannya hingga ke akar umbinya.

4.Bahawa agama Islam ini, meskipun sering diberitakan bahawa ia sudah menang dan berjaya, sebenarnya di tengah-tengah perjalanan, masih penuh pelbagai cabaran dan tentangan, cubaan dan konspirasi jahat yang merintang, sehingga seorang mukmin masih bimbang menghadapi pelbagai konspirasi busuk yang dilancarkan syaitan yang berupa manusia terkutuk dari setiap pintu, jendela dan setiap arah.

5.Kita mampu menyingkap pelbagai konspirasi jahat musuh-musuh Islam, hingga kita mengetahui bahawa konspirasi busuk mereka tidak terbatas pada satu dimensi sahaja, akan tetapi datang dari semua arah dan tempat. Akan tetapi semua itu akan berakhir dengan kegagalan.

6.Antara pelajaran yang dapat diambil daripada ujian yang ditimpakan, iaitu agar seorang hamba sentiasa berjuang dan bangkit daripada jurang kerendahan dan kehinaan, serta berjuang kembali dengan tenaga dan semangat yang baru dan mengembalikan aktivitinya setelah keluar daripada ujian ini dengan jayanya.

7.Hendaklah seorang hamba itu merendahkan diri, patuh, tunduk dan berlindung kepada Allah serta bermunajat kepadaNya, kerana kemenangan hanya wujud dengan merendahkan diri kepadaNya.

8.Kejujuran dan keyakinan tauhid hanya kepada Allah SWT. Hal ini dapat diketahui oleh orang yang cuba menetapkan kalimah Laailahaillallah, dimana kejujuran yang kukuh tidak akan nampak kecuali di saat hamba itu mendapat ujian, maka itulah ucapan kalimah tauhid yang diungkapkan dengan penuh kejujuran dan keyakinan dari dalam hatinya.



Justeru, tauhid ini akan dapat dilihat dengan jelas pada masa-masa berlakunya krisis, sebagaimana firman Allah SWT menerusi ayat 65 surah Al Ankabut yang bermaksud: “Maka apabila mereka menaiki kapal, mereka berdoa kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepadaNya. ”

Keadaan Hazrat Abu Hurairah r.anh Dalam Kelaparan

Pada suatu hari, Hazrat Abu Hurairah r.anh telah membersihkan hidungnya dengan sehelai kain yang halus lalu berkata, "Ah, Abu Hurairah, hari ini dia membersihkan hidung dengan sehelai kain yang halus. Masih aku teringat ketika aku pengsan tidak sedarkan diri di antara mimbar dan rumah Rasulullah saw. Oleh kerana menyangka aku terkena sawan, orang ramai menekan-nekan tengkukku dengan kaki sedangkan bukanlah aku terkena sawan malah sebenarnya kerana lapar."


Keterangan

Disebabkan kebuluran, berhari-hari beliau terpaksa menanggung penderitaan lapar sehingga beliau jatuh pengsan. Orang ramai menyangka bahawa beliau terkena sawan. Pada zaman itu, dikatakan bahawa orang yang terkena sawan akan diubati dengan menekan tengkuknya dengan kaki.

Hazrat Abu Hurairah r.anh ialah dikalangan para sahabat r.anh yang penyabar lagi berpada dengan apa-apa yang ada (mempunyai sifat qana'ah). Berhari-hari beliau berada dalam kebuluran. Selepas kewafatan Rasulullah saw, Allah swt telah mengurniakan berbagai-bagai kemenangan maka beliau pun telah mendapat kesenangan. Dalam keadaan itu pun beliau sangat banyak mengerjakan ibadat. Beliau mempunyai satu uncang yang dipenuhi dengan biji-biji tamar yang beliau gunakan untuk berzikir. Apabila uncang itu kosong maka hamba perempuannya akan datang memenuhkan kembali uncang itu dan meletakkan di sisi Hazrat Abu Hurairah r.anh.

Beliau juga mempunyai kebiasaan membahagikan malam kepada tiga bahagian. Iaitu bahagian beliau sendiri, isterinya dan hambanya. Setiap seorang daripada mereka akan sibuk beribadat mengikut giliran masing-masing.

Saya mendengar daripada ayah saya bahawa datuk saya pun mempunyai kebiasaan yang hampir sama. Pada waktu malam ayah saya akan mentelaah kitab hingga pukul satu malam. Apabila pukul satu malam, datuk akan bangun untuk bertahajud lalu menyuruh ayah saya tidur dan datuk sendiri akan sibuk dengan solat tahajud. Apabila tinggal empat puluh lima minit sebelum masuk waktu subuh, datuk saya akan bangunkan bapa saudara saya untuk bertahajud sementara beliau sendiri akan pergi berehat untuk mengikut sunnah.

* Penulis ialah Shaikhul Hadith Hazrat Maulana Muhammad Zakariya Rahmatullahi'alaih

HADITH 4 - Kelebihan Surah Al-Mulk




Hazrat Abu Hurairah r.anh meriwayatkan Rasulullah saw bersabda, "Ada satu surah dalam al-quran yang terdiri daripada 30 ayat yang akan memberi syafaat kepada seseorang (pembacanya), sehinggalah dia diampunkan. Surah itu adalah surah Tabara al-Lazi."

(Hadith riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Keterangan

Tentang surah Tabarak al-Lazi juga ada satu riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah saw bersabda, "Hatiku menghendaki supaya surah ini berada dalam setiap hati orang beriman."

Mengikut satu hadith lagi, seseorang yang membaca surah Tabarak al-Lazi dan 'Alif Lam Mim Sajadah antara solah Maghrib dan Isya' adalah seumpama seseorang yang beribadat sepanjang malam Lailatul-Qadar. Adalah diberitakan juga bahawa jika seseorang membaca kedua-dua surah ini, tujuh puluh pahala akan dituliskan untuknya dan tujuh puluh dosa akan dijauhkan daripadanya. Mengikut riwayat yang lain, jika seseorang itu membaca surah ini, dituliskan untuknya pahala yang menyamai pahala ibadat pada malam Lailatul-Qadar. (Ini juga disebutkan dalam kitab Mazahirul-Haq.)

Imam Tirmizi rah. meriwayatkan daripada Hazrat 'Abdullah bin 'Abbas r.anhuma, "Sekumpulan sahabat r.anh telah mendirikan khemah di suatu tempat tanpa mengetahui bahawa disitu terdapat sebuah kubur. Tiba-tiba mereka yang mendirikan khemah itu mendengar seseorang sedang membaca surah Tabarak al-Lazi. Mereka datang dan menceritakan peristiwa itu kepada Rasulullah saw. Baginda saw menerangkan bahawa surah ini akan menjaga pembaca daripada azab Allah swt dan menjamin keselamatan (najat.)" Hazrat Jabir r.anh meriwayatkan bahawa Rasulullah saw tidak akan pergi tidur sebelum membaca surah Alif Lam Mim Sajadah dan Tabarak al-Lazi.

Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh berkata bahawa satu riwayat telah sampai kepadanya yang mengatakan bahawa ada seorang pendosa besar yang selalu membaca surah al-Sajadah. Dia tidak pernah membaca surah lain. Surah itu telah mengembangkan sayapnya ke atas orang itu dan memohon kepada Allah swt, "Wahai Tuhanku, orang ini kerap kali membaca daku." Syafaat daripada surah ini diterima oleh Allah swt maka kerana itu diperintahkan supaya setiap dosanya digantikan dengan pahala. Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga telah meriwayatkan bahawa, "Surah ini akan merayu bagi pihak pembacanya dalam kubur dan berkata, 'Ya Allah, jika aku ini berada dalam kitabMu maka terimalah syafaatku, jika tidak, hapuskanlah sahaja daku daripada kitabMu.' Surah ini akan muncul dalam bentuk seekor burung , mengembangkan sayapnya ke atas mayat itu dan melindungi mayat itu daripada seksaan kubur." Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh juga berkata bahawa semua kelebihan di atas adalah juga untuk surah Tabarak al-Lazi.

Hazrat Khalid bin Ma'adan r.anh sendiri tidak akan pergi tidur sehinggalah beliau selesai membaca dua surah ini. Hazrat Ta'us rah. berkata, "Kedua-dua surah ini mendatangkan enam puluh ganjaran yang melebihi setiap surah lain dalam al-Quran."

Seksaan dalam kubur bukanlah suatu perkara yang ringan. Setelah meninggal dunia, kubur ialah perhentian pertama yang seseorang itu mesti lalui. Apabila Hazrat 'Uthman r.anh berdiri di atas sebuah kubur, beliau akan menangis dengan hebatnya sehingga janggut beliau dibasahi air mata. Seseorang telah bertanya, "Tuan tidak menangis sebegitu rupa jika disebut tentang syurga atau neraka sebagaimana tuan menangis ketika berada dikubur." Beliau menjawab, "Saya telah mendengar daripada Rasulullah saw bahawa kuburlah tempat persinggahan pertama untuk menuju ke akhirat. Sesiapa terselamat daripada azab kubur, peristiwa-peristiwa selanjutnya akan mudah baginya. Sementara sesiapa yang tidak selamat daripada azab kubur, ujian-ujian yang akan datang lebih sukar lagi. Saya juga mendengar bahawa tidak ada satu keadaan pun yang lebih menggerunkan daripada keadaan yang ada dalam kubur." (Jam'ul Fawaid)

'Ya Allah, peliharalah kami daripada keadaan tersebut dengan kurniaan dan anugerahMu.'

Barat Serang Islam Dalam Isu Wanita

ISU wanita sering dijadikan isu murahan oleh Barat untuk menyerang Islam. Sejak daripada dahulu, mereka secara terang terangan menyerang Islam yang kononnya selalu mengongkong wanita dalam banyak aspek kehidupan.

Mereka berusaha mengubah persepsi umat dengan memperlihatkan seolah-olah mereka memperjuangkan hak wanita, sedangkan hakikatnya merekalah yang paling banyak memperlekeh dan merendahkan martabat wanita. Mereka sering menonjolkan 'tokoh wanita' idaman mereka sendiri sebagai wadah untuk menyerang ajaran Islam.

Taslima Nasreen, sebagai contoh tiba-tiba mendapat pencalonan Hadiah Nobel 2005 kerana tulisannya banyak menyerang dan 'memperbetul' ajaran Islam yang berkaitan dengan wanita.

Jadi tidak hairanlah sekiranya akhbar Guardian, dalam laporannya mengenai pergerakan 'Sisters in Islam' begitu ghairah memuji Zainah Anwar daripada SIS itu - "Zainah Anwar is s good Muslim. She is also an outspoken campaigner for women's rights".

"To many muslim men in Malaysia and beyond, these two factors are barely compatible" ('Sisters take in on scholars in battle for Islam', Simon Tisdall, Guardian Unlimited 1.06.2005)

Hakikatnya, isu wanita ini memang sengaja ditonjolkan oleh Barat sebagai api dalam sekam - dalam usaha mereka untuk melahirkan revolusi dalaman pemikiran Islam bagi merealisasikan objektif mereka mencairkan ajaran Islam agar Islam dapat di'liberal'kan.

Barat yang amat benci kepada Islam sejak dulu lagi, telah gagal untuk mengalahkan kekuatan Islam secara fizikal. Sejak dari kesedaran ini, mereka mula mengkaji kekuatan Islam dimana akhirnya mereka mendapati bahawa perlu dilakukan serangan ke atas umat Islam dari aspek ajaran Islam itu sendiri.

Antaranya, 3 aspek utama yang sering dijadikan 'lubuk' serangan oleh para orientalis Barat untuk mengelirukan umat Islam adalah isu jihad, poligami, dan emansipasi wanita. Sebagai penaung ideologi kapitalis yang pragmatik dalam perjuangannya, kita perhatikan pula hari ini, Amerika, dalam serangan-serangan ideologinya ke atas Islam, sering menggunakan 3 sendi utama - demokrasi, isu wanita dan akauntabiliti pemerintah umat Islam.

Dalam serangan-serangan ini, isu wanitalah yang paling banyak memberi kesan ke atas umat Islam sehinggakan kaum wanita yang terpengaruh dengan pemikiran Barat ini secara sedar atau tidak telah menjadi proksi Barat dalam 'perjuangan' mereka.

Dalam sebuah penulisan yang bertajuk "Afghanistan's Joan of Arc: Dies on the Crucifix of Islam" penulis artikel ini telah mengulas penghukuman rejam seorang wanita yang bernama Amina sebagai penzina muhsan (yang telah berkahwin) dengan memuji sistem Barat dan merendahkan Islam.

Penulis, dalam mengakhiri tulisannya mengatakan "Unlike the legal system in the West which protects the rights of women, Amina's life was subordinated to the needs of the community" (Tidak seperti sistem perundangan di Barat yang melindungi hak asasi wanita, nyawa Amina terletak dibawah kehendak masyarakatnya.) Dan 'kehendak masyarakat' ini membawa maksud keinginan masyarakat untuk berhukum dengan Islam.

Itulah sikap Barat terhadap Islam - mereka menilai bahawa ideologi merekalah yang terbaik, tetapi pada hakikatnya mereka ini tidak ubah seperti ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul.

Marilah kita lontarkan pandangan kita kepada negara kapitalis Barat yang begitu bangga dengan idea kebebasan dan penjagaan hak wanita, yang dijadikan kiblat oleh pejuang 'kebebasan'.

Marilah kita merenung...adakah mereka dan sistem mereka layak digunakan untuk menjaga akal, harta, nyawa, keturunan, keamanan, agama dan semua yang dipandang tinggi oleh manusia... atau sebaliknya?