Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat
dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah
dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada
masa dahulu.

Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai
tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan
orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang
dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.


Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati
yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan
amalanku
disepanjang hidupku ini.


Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan
takutnya daku memikirkan
saat bersendirian
di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku

sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.


Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang
membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan
di akhirat
nanti.


Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada
kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang
memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan

bimbinganMu pada setiap nafasku.



Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 9

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 9: NIAT TANPA AMALAN DAN AMALAN TANPA NIAT

Niat Tanpa Amalan


Kedapatan kumpulan sesat yang menyatakan amal ibadah hanya memadai dengan niat sahaja. Mereka mendakwa bahawa Allah swt hanya memandang pada hatinya bukan pada perbuatan. Pegangan ini mudah diterima oleh orang yang cetek pemikirannya dan mencari jalan mudah untuk beribadah. Pegangan ini ternyata bercanggah dengan ajaran Islam dan wajib ditentang habis-habisan dan perlu dibawa ketempat pemulihan aqidah bagi membetulkan kembali tasawwur Islam yang ada pada diri mereka.

Firman Allah swt:
"Barangsiapa yang mencari ugama selain Islam, maka sekali kali tidak akan diterima daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi".
(Surah Ali Imran, ayat 85)

Mereka juga menganggap amalan zohir itu kulit sedangkan niat itulah intipati yang sebenarnya. Kumpulan itu berdusta atas nama Allah dan RasulNya. Mereka mencipta sesuatu yang sangat sesuai dengan nafsu. Guru-gurunya terdiri dari mereka yang jahil murakab lagi penipu lantaran mahu dianggap mulia dan sanjungan daripada para pengikut.

Walaupun ada di kalangan mereka ahli-ahli profesional tetapi mereka kebanyakannya jahil dan tidak mempunyai asas dalam agama. Kumpulan ini bergerak dalam kelompok-kelompok mereka secara sembunyi dan mereka tidak berani menyampaikan pegangan mereka di medan terbuka. Pengikut ajaran ini ditanamkan kepercayaan yang kuat bahawa bencana akan menimpa kehidupan mereka jika menderhakai gurunya. Mereka membina kesetiaan di balik ugutan dan pemalsuan ayat-ayat Al-Quran.

Rujukan mereka hanya mimpi dan kitab bintang (nujum) serta buku-buku yang sudah tidak boleh dpertanggungjawab siapa penulisnya. Mereka lebih banyak berbicara tentang ilmu laduni iaitu ilmu terus daripada Allah swt. Oleh kerana jahil murid-murid terus berpegang dengan kata guru meskipun bercanggah dengan hadis Rasulullah saw.

Satu lagi kejahilan ialah apabila murid pula cuba memadankan setiap kejadian yang berlaku dengan kata-kata guru dengan tuhan membuktikan kehebatan gurunya. Pengagungan menjadi-jadi jika ada satu yang betul dari seratus telahan yang salah. Murid juga mahu agar nampak hebat, paling kurang menjadi orang kesayangan guru.

Mereka tidak ada kitab rujukan melainkan beberapa kitab yang sukar difahami yang tidak ada sanad hadis yang kuat. Guru diam dikatakan sedang mendapat ilham dan tidur dikatakan jasadnya berpecah pada tempat yang berbeza. Berbekalkan dengan sedikit kebolehan menunjukkan silapmata/magik guru mereka dinamakan wali Allah sedangkan kelebihan yang berada di hadapan mereka adalah kerja-kerja jin.

Amalan Tanpa Niat

Amalan tanpa niat tidak akan memperolehi apa-apa ganjaran di sisi Allah. Alangkah ruginya hidup jika tidak dibetulkan niatnya sedangkan niat tidak memerlukan modal, tidak memerlukan tenaga yang kuat, cukup dengan meluruskan hati agar semua yang dilakukan adalah kerana Allah swt.

Bukankah daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan? Ambillah kesempatan yang mudah ini untuk bekalan hidup yang kekal.

Mata, telinga dan seluruh pancaindera didorong untuk melakukan ketaatan seperti doa Rasulullah saw:

"Ya Allah afiatkanlah tubuh badanku, afiatkanlah pendengaranku dan afiatkanlah penglihatanku. Tiada tuhan selain Engkau."

Tubuh badan yang sihat mudahlah untuk melakukan ketaatan. Inilah nikmat yang besar sesudah nikmat Iman dan nikmat Islam. Apa jua perkara yang boleh mendatangkan kesihatan yang baik, lakukanlah kerana semuanya akan kembali menjadi kebajikan.

Bila hidup tidak betul perjalanannya dari awal, kesemuanya akan berakhir dengan sia-sia walaupun tubuh badannya sihat tetapi kesihatann itu pula akan mendoronnya melakukan kejahatan. Dia mengkhianati nikmat sihat yang Allah kurniakan padanya dan pasti akan ditanya Allah kelak.

Kesimpulan:

1. Kedapatan kumpulan sesat yang menyatakan amal ibadah hanya memadai dengan niat sahaja. Mereka mendakwa bahawa Allah swt hanya memandang pada hatinya bukan pada perbuatan.

2. Ilmu itu kau mendatangi ulamak yang berilmu bukannya ulamak yang hanya bercakap tentang ilmu laduni tanpa nas dari al-Quran maupun hadis.

3. Amalan tanpa niat tidak akan memperolehi apa-apa ganjaran di sisi Allah. Alangkah ruginya hidup jika tidak dibetulkan niatnya sedangkan niat tidak memerlukan modal.

4. Bukankah daripada Allah kita datang dan kepada Allah kita akan dikembalikan? Ambillah kesempatan yang mudah ini untuk bekalan hidup yang kekal.

5. Bila hidup tidak betul perjalanannya dari awal kesemuanya akan berakhir dengan sia-sia.

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 8

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 8: NIAT DI SEBALIK PERBUATAN

Golongan munafik sering mempamerkan amalan-amalan kebaikan mereka tetapi pada hakikatnya tersembunyi niat yang buruk didalamnya.

Firman Allah:
"Dan apabila mereka berjumpa dengan orang yang beriman, mereka berkata,"kami telah beriman", tetapi apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan(pemimpin-pemimpin) mereka, mereka berkata,"sesungguhnya kami bersama kamu, kami hanya berolok-olok".
(Surah al-Baqarah, ayat 14)

Inilah paparan wajah orang munafik yang bermuka-muka bila berhadapan dengan Islam tetapi menjadi gunting dalam lipatan bagi menghancurkan sesebuah perjuangan. Mereka bersumpah dan berjanji sedangkan hati mereka menyimpan dendam kesumat, hasad dan tidak senang dengan kejayaan orang-orang muslim.

Golongan ini pernah membina masjid yang dikenali sebagai "Masjid Dhirar" dan mengundang Rasulullah saw untuk solat di dalamnya. Rasulullah saw memerintahkan agar masjid itu dirobohkan. Walaupun pembinaan masjid, jika bukan kerana Allah juga merupakan maksiat meskipun perbuatannya itu nampak baik untuk ugama. Namun begitu kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan hatinya kerana kita tidak mempunyai pengetahuan dalam hal itu kecuali para Nabi yang mendapat wahyu daripada Allah swt.

Hari ini ramai orang yang mendakwa boleh mengetahui hati seseorang sedangkan perbuatan itu lebih dekat kepada mewujudkan prasangka terutama prasangka jahat. Kita juga tidak boleh menyatakan seseorang wanita yang membuka aurat itu mungkin mempunyai hati yang baik kerana hati yang baik ialah hati yang taat dalam semua aspek kehidupan berugama termasuklah menutup aurat. Bagaimana pula dengan wanita yang menutup aurat tetapi lidahnya jahat? Rasulullah saw menyatakan wanita tersebut adalah ahli neraka walaupun dia berpuasa dan berqiamulail. Ini menunjukkan bahawa Islam itu bukan urusan juz'iah (berpisah-pisah) tetapi Islam adalah pakej kehidupan yang mestinya lengkap.

Salah satu syarat haji "mabrur" ialah niat dilakukan kerana Allah swt semata-mata bukan untuk menunjuk-nunjuk pada manusia. Islam datang untuk membawa manusia menjadi hamba Allah swt bukannya menjadi hamba dunia yang telah lupa hakikat dirinya. Manusia boleh menjadi lupa dan sombong dengan kekayaan, pangkat dan kedudukan. Kesombongan boleh wujud dalam semua situasi termasuklah yang paling kecil seperti melabuhkan pakaian. Rasulullah saw menyatakan bahawa Allah swt tidak akan memandang kepada orang yang melabuhkan pakaiannya sampai ke tanah kerana kesombongan.


Kesimpulan:

1. Golongan munafik sering mempamerkan amalan-amalan kebaikan mereka tetapi pada hakikatnya tersembunyi niat yang buruk di dalamnya.

2. Kita tidak boleh menghukum seseorang berdasarkan hatinya kerana kita tidak mempunyai pengetahuan dalam hal itu kecuali para Nabi yang mendapat wahyu daripada Allah swt.

3. Islam itu buka urusan juz'iah (berpisah-pisah) tetapi Islam adalah pakej kehidupan yang mestinya lengkap.

4. Islam datang untuk membawa manusia menjadi hamba Allah swt bukannya menjadi hamba dunia yang telah lupa hakikat dirinya.

5. Manusia boleh menjadi lupa dan sombong dengan kekayaan, pangkat, dan kedudukan.

Rasulullah S.A.W : Menawan Dengan Kerendahan..

oleh: Pahrol Mohamad Juoi

Entah mengapa, tugasan kali ini sungguh mencabar. Puas kukerah dan kuperah akal dan hati namun jangkauan rasa dan minda tetap tidak kesampaian. Terasa begitu hina walau sekadar untuk memujimu. Sinar peribadimu terlalu agung untuk dipantulkan pada cermin hatiku yang kotor. Namun kugagahi jua. Berbekal seuntai selawat, kucatatkan memori seorang suami. Tapi suami bukan sebarang suami, tetapi suami ini ialah Rasulullah saw:

Betapa romantiknya kau ketika berlari-lari dengan si Humaira' itu. Berlumba-lumba penuh ceria di padang pasir yang dingin. Malam itu menjadi saksi ketika kau kalahkan dia dalam senyum tawamu. "Ini balasan yang dulu," ujarmu sambil tersenyum mengimbau nostalgia ketika kau dikalahkan olehnya pada awal perkahwinan

Pada ketika-ketika tertentu, kau jahit sepatu dan bajumu yang robek... Ah, tidak dapat dibayangkan betapa Rasul pilihan itu menjadi semakin luar biasa apabila membuat kerja-kerja yang biasa. Kerja yang tidak mungkin dilakukan oleh seorang presiden ataupun raja. Selalu kau memperingatkan dirimu, kau hanya anak yatim.

Pada awal pagi ada ketikanya kau berteleku dan duduk santai seadanya. Dalam tawaduk seorang suami, kau bertanyakan isteri, "Apakah ada apa-apa makanan pada hari ini?" Bila diberitahu "tidak ada apa-apa lagi yang boleh dimasak", lalu kau katakan, hari itu kau berpuasa... Kau tega seadanya. Syukur ketika berbuka dan sabar ketika berpuasa!

Dan pada ketika-ketika kau lewat pulang dan malam sudah bertandang , kau hampar kain ridakmu di hadapan pintu, lalu kau tidur disitu semalaman. Justeru tidak mahu mengejutkan isterimu yang telah tidur. Kau, sentiasa aman... dan sentiasa memberi kemanan. Esoknya, ketika isterimu memohon maaf dan menyatakan kekesalan, kau hanya tersenyum tanpa tercalar oleh sedebu pun rasa terkilan apalagi kemarahan.


Dialog Tentang Nabi

Sampai disitu saya terhenti. Teringat dialog saya sepuluh tahun lalu dengan seorang pelancong Denmark, Johan Lundrup, yang ingin tahu tentang Nabi Muhammad. Ketika itu kami duduk bersebelahan dalam penerbangan menuju negeri Bawah Bayu - Sabah.

Ketika saya ceritakan yang Nabi Muhammad pernah berlumba lari dengan isterinya Siti Aisyah, beliau berkata:

"Apa nak dihairankan tentang itu, saya juga sentiasa berenang bersama-sama isteri saya."

"Awak berenang dengan isteri di abad ke-20. Ketika ini wanita telah mendapat haknya hampir di seluruh dunia. Ketika ini dunia dan masyarakat kita telah dipenuhi oleh lambakan cerita, filem dan kisah romantik."

"Maksud awak?"

"Jangan lupa, hanya belasan tahun sebelum Nabi Muhammad dan isterinya berlumba lari penuh romantis, bayi perempuan masih dibunuh hidup-hidup. Wanita-wanita masih dilacurkan. Tidak pernah dibayangkan seorang wanita akan dilayan sebegitu baik..."

"Jadi?"
Dia macam tidak puas.

"Jika nak digambarkan bandingan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dengan manusia pada zamannya samalah seperti orang yang memandu kapal terbang ketika orang masih menunggang kuda!"

Dia diam. Dalam hati saya masih tidak puas, justeru analogi itu pun sebenarnya masih jauh daripada hakikat kasih sayang Rasulullah yang sebenar.

Itu peristiwa lama. Tetapi ada lagi insiden yang lebih baru daripada itu. Setahun yang lalu ketika isteri saya sakit, entah macam mana butang baju yang hendak saya pakai tertanggal. Isteri masih baring kesakitan. Hendak dikejutkan tidak sampai hati. Tetapi saya tidak 'perasan' langsung di mana dia letakkan alat-alat menjahit. Di mana jarum? Di mana benangnya? Barulah saya sedar betapa kerja-kerja kecil begitu telah tidak saya endahkan, kononnya asyik membuat kerja-kerja yang besar. Bila jarum dan benang dah di tangan, mulalah terkial-kial saya menjahit. Tapi kemudian puas pula nak menyimpulmatikannya.

Buat kerja kecik dengan jiwa besar benar-benar saya terlupa. Ya, Allah... benar-benar hebat kekasih-Mu Rasulullah, bukan sahaja atas keunggulannya mentadbir dan mengurus negara, tetapi menguruskan hal-hal remeh dalam rumah tangga. Rasulullah telah membuat kerja-kerja yang kecil dengan jiwa yang besar. Tanpa mengira tempat, masa dan siapa. Hakikat itu mengingatkan saya pada makna ungkapan yang pernah saya baca:

"Show me a man who cannot bother to do little things and I'll show you a man who cannot be trusted to do big things."

Ah, pagi tadi baru saya mendengar kisah yang disampaikan oleh seorang mufti dalam rancangan Bicara Mufti di RTM 1. Beliau mendedahkan betapa ada seorang suami yang sanggup menceraikan isterinya dengan talak tiga hanya kerana isterinya enggan memasak untuknya pada siang hari bulan puasa. Oh, betapa jauhnya peribadi umat hari ini dengan akhlak Rasulullah. Kita (para suami) pun pernah 'tarik muka' apabila isteri mengatakan nasi belum masak atau masakan yang disukai tidak disediakan olehnya. Misalnya, kita minta dibuat kari, dibuatnya gulai lemak... Itu pun sudah merajuk panjang. Betapalah pula agaknya reaksi kita kalau dikatakan makanan langsung tiada...
Bolehkah kita menjawab seperti Rasulullah, hari ini berpuasalah kita?

Bila sekali-sekala kita balik lewat malam, mungkin kerana ada function atau balik dari out station, bagaimana reaksi kita kalau isteri lambat buka pintu.

"Kenapa Lambat?"

"Ingatkan abang balik esok."

"Tapi tak kan tak dengar, abang bagi salam berkali-kali tadi."

"Maaf, maaf, maaf ya bang..."

"Itulah, lain kali peka sikit. Bukan apa, abang letih, mata mengantuk, kaki lenguh, badan sakit-sakit. Oklah, abang maafkan. Tapi lain kali hati-hati sikit."

"Maaf, maaf ya bang..."

Rasulullah tidak begitu.

Begitulah dialog antara suami isteri selalunya. Berkali-kali si isteri memohon maaf. Si suami rasa dialah yang benar. Terpaksa isteri memujuk. Itu pun sudah dikira baik. Tidak ada herdikan atau sindiran. Mujur si isteri minta maaf... sekiranya tidak, entahlah. Padahal Rasulullah saw tidak begitu. Baginda yang rasa bersalah kalau pulang lewat malam. Tidak dikejutkan isterinya yang telah nyenyak tidur di dalam rumah. Rela baginda tidur di luar - di hadapan pintu. Masih adakah suami yang sebegitu kini?

Bayangkan ketika orang Arab jahiliyah menghenyak maruah wanita ke lembah terhina, baginda menjulangnya ke tempat yang mulia. Baginda menegaskan syurga dibawah telapak kaki ibunya, doa ibu lebih mustajab, tiga kali kasih kepada ibu berbanding ayah dan lain-lain.

Lalu kulanjutkan lagi catatan ini...
Ketika engkau pulang ke khemah dengan wajah suram dek keengganan sahabat-sahabatmu menyembelih korban dan ibadah haji ditangguhkan..
Tiba-tiba pandangan isterimu - Ummu Salamah - memujukmu, meminta kau dahulu menyembelih korban dan bercukur. Dengan rendah hati dan fikiran terbuka, kau menerima dan melaksanakannya.


Kaulah insan terbaik melayan wanita... Dengan kerendahan hati, dengan keterbukaan fikiran, dengan kelembutan perasaan, kau luruskan wanita yang bagaikan 'tulang rusuk' yang bengkok... Terlalu seni, tanpa calar, tanpa gurisan. Hanya dengan kerendahan. Benarlah, a great man is always willing to be little!

Layakkah Diri Menjadi Umat Rasul?

Setiap kali kehadiran bulan Rabiulawal, sibuklah kita meraikan sambutan Maulidur Rasul dengan pelbagai majlis keagamaan. Kita sama-sama berselawat, bermarhaban memuji kebesaran dan kemuliaan baginda. Namun selepas berakhirnya majlis, kehidupan kita kembali seperti dulu.

Mari kita renung kembali hala tuju kita dihidupkan kerana apa. Adalah kerana hendak mengabdikan diri kepada Allah, mencari bekalan untuk kita selamat di akhirat. Bagaimana caranya untuk selamat ke sana? Apakah ada jaminan tahap iman dan amalan yang kita buat sehari-hari cukup untuk menyelamatkan kita?

Kita yang hidup di akhir zaman ini, yang digambarkan dalam satu hadis "paginya beriman, petangnya kufur", samakah tahap iman kita dengan imah orang-orang soleh dahulu, lebih-lebih lagi dengan iman para Sahabat? Walhal para Sahabat dahulu pun bimbang dengan tahap iman mereka sedangkan mereka hidup di sisi Nabi saw.

Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq , Sahabat utama yang digambarkan oleh Nabi saw imannya melebihi iman seluruh penduduk bumi, juga bimbang akan nasibnya di akhirat. Lalu apakah sandaran kita untuk selamat di sana?

Kita sangat memerlukan syafaat Nabi saw, tak boleh semata-mata mengharapkan iman dan amal yang tak setara mana. Untuk dapat syafaat atau pertolongan Nabi Muhammad saw, kita mesti melayakkan diri bergelar umat istimewa baginda. Bagaimana caranya?

Nabi yang bersifat penyantun dan penyayang tidak pernah mensia-siakan harapan setiap umatnya. Baginda memberitahu sahabat-sahabatnya tentang segolongan umatnya di akhir zaman yang paling dikasihinya iaitu mereka yang tidak pernah melihat baginda tapi beriman kepadanya, merinduinya sungguh-sungguh dan mengikut sunnahNya. Di atas keistimewaan inilah baginda menjanjikan menjanjikan syafaat buat kita. Inilah bonus untuk melayakkan kita mendampingi Rasulullah di sana kelak.

Cabaran dan dugaan 'mencabul' harga keimanan dengan perkara -perkara yang melalaikan di sekeliling kita begitu banyak sekali. Lalu untuk memagar diri agar kuat beriman dan yakin dengan kemuliaan Rasul, marilah kita pertaruhkan bekalan akhirat kita dengan memperbanyak amalan sunat di samping menyempurnakan amalan fardhu(wajib).

Mulakan segala kerja dengan bismillah dan selawat kerana ia memberi cahaya ketenangan dalam hidup. Jadikan basahan lidah supaya hati kita lembut untuk patuh perintah Allah dan Rasul. Menyebut nama Rasulullah beribu kali tidak ada sesiapa yang dengki. Allah pun sangat suka. Allah bangga dengan hamba-hambaNya yang banyak berselawat kepada kekasihNya dan mengikut jejak baginda. Sekali kita berselawat ke atas Nabi, Allah balas dengan berselawat (memberi rahmat) kepada kita berkali-kali ganda. Bukankah kerana Rasulullah jugalah maka kita diciptakan oleh Allah?

Harapan Bagi Yang Berdosa

oleh: Amal Islamy

"Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa supaya berhenti melakukannya dan kembali taat kepada Allah Yang Esa.."

Dunia yang fana ini sememangnya penuh dengan musibah. Musibah itu adalah sunnatullah di alam semesta ini. Musibah tidak kenal siapa dan tidak memilih bulu. Hadirnya silih berganti ke atas manusia adalah sebagai tanda Allah Taala mahu menguji dan menduga mereka. Cuma bagaimana caranya manusia menghadapinya.

Di kalangan manusia, lantaran lemah iman (jiwa), bilamana Allah menimpakan musibah, mereka terus bertukar wajah, menjadi ingkar dan protes melulu terhadap Allah, sang Pencipta. Tidak sekadar itu, mereka terlajak menyanggah takdirNya serta mendoakan kebinasaan atas diri dan keluarga mereka. Musibah terasa amat berat sehingga mereka menderita penasaran. Tubuh jatuh sakit, akal menjadi rosak bahkan langsung tiada upaya menanggung beban-beban kehidupan. Ekoran jiwa kemarau dari iman, telah ramai yang jatuh dalam dosa besar kerana bertindak membunuh diri.

Firman Allah swt:
"Di antara manusia, ada yang menyembah Allah dalam keraguan. Apabila mendapat kebaikan senanglah hatinya, dan apabila mengalami cubaan(msibah) berubahlah hatinya menjadi kafir. (Lantaran itu) dia mengalami kerugian di dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang amat nyata."
(Surah Al-Hajj: ayat 11)

Musibah bukanlah selalu bererti tanda kemarahan dan kebencian Allah pada seseorang atau sesuatu kaum sebagaimana juga bahawa kenikmatan bukan merupakan tanda keredhaan dan penerimaan Allah. Akan tetapi:

Musibah (ujian) Allah terhadap hambaNya yang beriman bertujuan mengukur hakikat imannya, juga memantau kadar kebenaran dan dusta mereka. Tanpa ujian, bagaimana dapat diketahui pelajar yang cemerlang?

Firman Allah swt:
"Apakah manusia menduga (menjangkakan) bahawa mereka dibiarkan berkata (sesuka hati mereka): 'Kami beriman' sedangkan (walhal) mereka belum diuji. Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti akan mengetahui orang-orang yang berkata benar dan mengetahui orang-orang yang berdusta."
(Surah Al-Ankabut:2-3)

Setiap perkara atau peristiwa yang berlaku pada diri kita, baik ataupun buruk, kedua-duanya adalah dugaan dan ujian Allah swt. Seolah-olah kita sedang menduduki sebuah 'peperiksaan' besar yang mana subjek terasnya adalah segala perkara 'baik' dan 'buruk'. Yang baik kita perintah melakukannya manakala yang jahat dan buruk kita diperintahkan agar meninggalkannya.

Setelah kita kembali menghadap Allah swt di negara akhirat, maka semuanya akan diulang tayang dan diperlihatkan kembali dan seterusnya diadili serta diberikan ganjaran yang setimpal.
Firman Allah swt:
"Kami menguji kamu sekalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (dugaan/musibah) dan kepadaKu kamu akan kembali."
(Surah Al-Anbiya: 35)

InsyaAllah, orang beriman akan berdaya menghadapi apa jua bentuk ujian dan musibah Allah atas diri mereka. Ujian Allah tidak menjadikan mereka hilang pertimbangan dan lupa diri.Itulah apa yang mahu digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
"Sungguh menghairankan dan mengkagumkan urusan orang mukmin; semua urusan (keadaan)nya adalah kebaikan dan itu hanyalah bagi orang mukmin yang bilamana ia mengalami kesenangan, ia lantas bersyukur (ia amat baik baginya), dan jika ia mengalami kesusahan ia lantas bersabar dan itu juga amat baik bagi dirinya."

Selain tujuan di atas, musibah (ujian) terhadap orang beriman adalah tanda jelas peningkatan takah rohaniah dan sebab penghapusan dosa buat mereka serta menjadi asbab untuk memperolehi ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. Cuba kita renungi hadis Nabi saw yang berikut:
"Tidaklah seorang muslim mengalami kepayahan maupun penyakit, kerosakan maupun kesedihan, gangguan maupun kesulitan, bahkan duri yang mengenainya, melainkan Allah (berkenan) menghapuskan dosanya dengan sebab itu."
(Hadis Bukhari)

Hadis berikutnya pula:
"Ujian yang selalunya (silih berganti) menimpa orang mukmin lelaki dan perempuan (sama ada) pada dirinya, anak dan hartanya menyebabkan ia tidak lagi berdosa saat berjumpa dengan Allah."
(Riwayat Tirmizi)

Menerusi ujian Allah swt juga, secara rambang kita boleh mengenali tahap iman dan rohaniah kita. Nabi saw juga pernah ditanya orang, manusia manakah yang paling keras dan berat cubaannya? Baginda menjawab: "(Mereka adalah) para nabi, kemudian di bawah tingkatan mereka, sehinggalah manusia diuji menurut kadar agamanya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya juga berat dan jika agamanya lemah, maka ia pun diuji menurut kadar agamanya. Maka cubaan yang (bersilih ganti) menimpa manusia itu menyebabkan (menghasilkan akhirnya) ia berjalan atas muka bumi ini tanpa gelumang dosa."
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah & Imam Ahmad)

Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa. Anda dapat fikirkan, apakah tujuannya? Tujuannya ada dua iaitu: pertama, supaya ia berhenti melakukannya dan kedua, supaya ia kembali taat kepada Allah Yang Esa. Allah menyebutkan di dalam Al-Quran:
"Sesungguhnya Kami telah kirimkan (utuskan) rasul-rasulNya kepada umat-umat sebelum engkau; (Namun mereka mendustai rasul-rasul itu), maka Kami seksa mereka itu dengan kesengsaraan dan kemelaratan. Mudah-mudahan mereka tunduk kepada Allah."
(Surah Al-An'am : 42)

Maha Pengasihnya Allah swt. Walaupun besar sekali pendustaan yang dilakukan manusia, namun Dia masih tetap memberi peluang dan harapan andai mereka mahu kembali tunduk dan patuh kepada kekuasaanNya.

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 7

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 7: NIAT TANPA PERBUATAN DAN PERBUATAN TANPA NIAT

Niat Tanpa Perbuatan

Niat yang baik tanpa perbuatan akan diganjari pahala tetapi niat jahat tidak ditulis sebagai dosa selagi tidak diikuti dengan perbuatan.*

*Dari Abu Hurairah r.a menceritakan; Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Sesiapa berniat/bercita-cita melakukan suatu kebaikan,lalu tidak melakukannya, ditulis untuknya satu pahala kebajikan. Sesiapa berniat melakukan kebaikan,lalu ia melakukannya, ditulis untuknya (pahala) 10 hingga 700 kali ganda. Sesiapa berniat melakukan satu kejahatan, lalu ia tidak melakukannya, tidak ditulis untuknya (dosa). Jika ia melakukannya barulah ditulis." (Riwayat Imam Muslim)

Niat untuk mengerjakan haji, untuk menuntut ilmu, niat untuk menjadi insan yang dikasihi Allah swt, niat untuk menjadi wali Allah kesemuanya diberikan ganjaran pahala atas apa yang diniatkan itu.

Namun begitu ada suatu lagi dosa iaitu kejahatan pada hati. Ia ditulis sebagai dosa walaupun tidak dengan perbuatan. Misalnya hasad dengki, takabbur, ujub, riyak, dan lain-lain lagi. Bagaimana pula jika ia berkata "Aku meminum arak" sedangkan yang diminumnya adalah air mineral. Ucapan lidah menunjukkan ia menyatakan penentangan kepada hukum Allah swt. Perbuatan itu tetap haram dan berdosa besar tetapi jika ia berkata "Minum arak itu sama seperti minum air biasa" ia boleh membawa kepada riddah iaitu terkeluar daripada ugama sebab menghalalkan sesuatu yang diharamkan Allah swt.

Oleh sebab itu Islam datang membawa peraturan hidup yang satu bukannya dua.Jika kita memperjuangkan ekonomi Islam maka sekali-kali tidak dibenarkan kita bekerja untuk ekonomi jahiliah(lain daripada Islam). Bila wujudnya bank Islam maka wajib pada setiap mukmin menutup bank riba. Islam dan jahiliah tidak boleh berada dalam satu hati seperti cahaya dan kegelapan kerana bila ada cahaya maka hilanglah kegelapan*. Selagi ada kegelapan jahiliah sama sekali cahaya Islam tidak boleh masuk.

*Firman Allah:
"Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya"
(Surah al-Ahzab, ayat 4)

Perbuatan Tanpa Niat.

Ketahuilah bahawa terdapat perbuatan yang boleh membinasakan Iman dan Islam walaupun tanpa niat. Perbuatan tunduk kepada seseorang seperti ruku'nya solat menjadi dosa besar sekalipun tanpa niat. Manakala perbuatan sujud walaupun tanpa niat menyebabkan berlakunya gejala "riddah" kerana amalan tersebut adalah ibadat yang khusus untuk Allah swt. Riddah ialah terkeluar daripada Islam samada disedari ataupun tidak dari sebab niat, ucapan maupun perbuatan.

Disini terdapat batasan hukum yang jelas kerana bukan semua ucapan dan perbuatan boleh diucapkan dengan main-main walaupun tanpa niat apatah lagi dengan tujuan bergurau. Ucapan seperti menceraikan isteri , keluar daripada Islam, memerdekakan hamba, mengahwini anak dan lain-lain lagi walaupun dilakukan tanpa niat tetapi telah berlaku hukumnya.*

* Sabda Nabi s.a.w:
" Tiga perkara yang sungguhnya adalah sungguh dan gurauannya juga sungguh; nikah, talak dan rujuk"(Riwayat Abu Daud ,at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

Sebagai contoh apabila pasangan suami-isteri yang berlakon dalam filem adegan penceraian. Sah penceraian tersebut dan satu perkara lagi apabila ucapan dalam slot penceraian itu diulang-ulangkan, ini menyebabkan bukan lagi berlakunya talaq satu malah sudah menjadi talaq tiga.

Kesimpulan:

1. Niat yang baik tanpa perbuatan yang akan diganjari pahala tetapi niat jahat tidak ditulis sebagai dosa selagi tidak diikuti dengan perbuatan.

2. Ada suatu lagi dosa iaitu kejahatan pada hati. Ia ditulis sebagai dosa walaupun tidak dengan perbuatan. Misalnya hasad dengki, takabbur, ujub, riyak dan lain-lain lagi.

3. Ketahuilah bahawa terdapat perbuatan yang boleh membinasakan Iman dan Islam walaupun tanpa niat.

4. Riddah iala terkeluar daripada Islam samada disedari ataupun tidak dari sebab niat, ucapan maupun perbuatan.

5. Islam dan jahiliah tidak boleh berada dalam satu hati seperti cahaya dan kegelapan kerana bila ada cahaya maka hilanglah kegelapan. Selagi ada kegelapan jahiliah sama sekali cahaya Islam tidak boleh masuk.

Petikan Daripada Buku "NIAT" - Part 6

NIAT - Sebuah Pantulan Cahaya Iman oleh Tn. Hj. Ismail bin Hj. Ahmad


BAHAGIAN 6: NIAT PADA TEMPATNYA

Satu perkara lagi ialah mencermati agar niat itu berlaku mengikut tempat yang telah ditentukan. Contoh mudah ialah seperti niat berwudhuk pada waktu membasuh muka, niat berihram pada miqat, niat berpuasa pada malamnya dan lain-lain lagi.

Saya tidak ingin membawa perbincangan kita kepada perbahasan ilmu fekah yang begitu luas dengan pelbagai ijtihad tetapi saya ingin gambarkan bagaimana kesempurnaan niat itu sangat terkait dengan masa tertentu. Sebagai seorang pekerja yang keluar dari rumah untuk mencari rezeki yang halal, mulakanlah dengan niat kerana Allah. Allah swt akan memudahkan perasaan hamba-hambaNya mengatasi tentangan kerja yang sedia wujud. Namun begitu semakin tinggi kesedaran seseorang untuk menjaga niat semakin hampir dia dengan Allah swt sehinggakan setiap waktu niatnya sentiasa diperhatikan agar tidak wujud tujuan yang kedua.

Bagaimana pula keadaannya jika seseorang itu ke tempat kerja tanpa niat? Betapa besar kerugian yang berlaku dalam hidup jika amalan yang baik dilakukan tanpa niat kerana Allah swt. Walaupun tidak berdosa tetapi tidak mendatangkan pahala apa-apa. Situasi ini berlaku mungkin kerana kealpaan ataupun kerana tiada ilmu. Sebenarnya tidak perlulah kita mengungkap dipintu rumah "Aku keluar bekerja kerana Allah" tetapi sentiasa ada dihatinya "Allah" yang menjadi pertimbangan urusannya itu.

Ini jelas sekali berbeza dengan orang yang cuma memikirkan Allah dalam solat sahaja dan selepas daripada itu seolah-olah Allah tidak ada. Mereka mengadakan aktiviti-aktviti harian tanpa dihubungkan dengan kehendak ugama. Bercampur-campur antara haq dan batil. Orang -orang yang beriman mengingati Allah dalam apa jua situasi.

Firman Allah:

"Orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata) "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka."
(Surah Ali Imran, ayat 119)

Kedudukan hati yang begini dinamakan "muraqabah" iaitu sentiasa merasai kehadiran Allah swt dimana-mana. Bila wujudnya perasaan ini ia menjadi semakin sedar dan terpandu hidupnya ke jalan kebenaran kerana yang membimbingnya ialah Allah swt.

Firman Allah swt:

"Allahlah yang menjadi pembimbing kepada orang yang beriman mengeluarkan mereka dari gelap kepada cahaya."
(Surah al-Baqarah, ayat 257)

Dalam mencari jalan untuk menjadi seorang hamba jangan wujud perasaan lain demi hanya untuk kepentingan dunia kerana jika sudah ada dua tujuan maka syaitan akan berjaya menyesatkan kelak.

Orang yang tidak menjadikan niat sebagai agenda penting hidupnya sebenarnya mereka tidak mempunyai perasaan takut dan harap kepada Allah swt melainkan sedikit sahaja terutama pada kejadian-kejadian tertentu. Mereka juga tidak suka perkara-perkara yang menghapuskan kegembiraan seperti menziarahi orang mati, orang sakit, kuliah agama di masjid dan lain-lain lagi.

Pandangan mereka terhadap hidup juga salah kerana mereka tidak upaya bagi mengaitkan kehidupan dunia dengan kehidupan akhirat. Mereka boleh berkorban apa sahaja untuk kehidupan dunia tetapi tidak sanggup melakukannya untuk akhirat walaupun yang diminta itu begitu mudah dilaksanakan seperti solat di masjid, solat jamaah dan lain-lain lagi.

Sampai disini kita harus terus bermohon agar Allah swt menghadiahkan kepada kita hati yang hidup bagi merebut ganjaran dan janji Allah swt yang satu kerana semua amalan yang baik, yang dilaksanakan mengikut hukum Allah swt akan menjadi ibadah.

Kesimpulan:

1. Kesempurnaan niat itu sangat terkait dengan masa tertentu.

2. Semakin tinggi kesedaran seseorang untuk menjaga niat semakin hampir dia dengan Allah swt sehinggakan setiap waktu niatnya sentiasa diperhatikan agar tidak wujud tujuan yang kedua.

3. Betapa besar kerugian yang berlaku dalam hidup jika amalan baik yang dilakukan tanpa niat kerana Allah swt. Walaupun tidak berdosa tetapi tidak mendatangkan pahala apa-apa.

4. Bila wujud perasaan kehadiran Allah swt di mana-mana (Muraqabah) ia menjadi semakin sedar dan terpandu hidupnya ke jalan kebenaran karana yang membimbingnya ialah Allah swt.

5. Dalam mencari jalan untuk menjadi seorang hamba jangan wujud perasaan lain demi hanya untuk kepentingan dunia kerana jika sudah ada dua tujuan maka syaitan akan berjaya menyesatkannya kelak.

6. Orang yang tidak menjadikan niat sebagai agenda penting hidupnya sebenarnya mereka tidak mempunyai perasaan takut dan harap kepada Allah swt melainkan sedikit sahaja terutama pada kejadian-kejadian tertentu.