HADITH 19 - Seseorang Yang Mengucap Kalimah Toyyibah Akan Masuk Dalam Benteng Allah swt Lalu Terselamat Daripada Azab Allah swt

Diriwayatkan daripada Hazrat 'Ali r.anhu katanya, "Rasulullah saw telah meriwayatkan daripada Jibrail a.s bahawa Jibrail a.s berkata, "Allah swt telah berfirman, "Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada tuhan melainkan Aku maka sembahlah Aku. Sesiapa yang datang kepadaKu di kalangan kamu dengan ikhlas bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah maka dia akan masuk dalam bentengKu dan sesiapa yang masuk dalam bentengKu maka dia akan terselamat daripada azabKu."
[Hadith Riwayat Imam Abu Nu'aim]

Keterangan

Jika maksud terselamat daripada azab dalam hadith ini juga adalah dengan syarat menghindarkan diri daripada melakukan dosa-dosa besar sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith ke-5, maka tidaklah menimbulkan apa-apa keraguan. Tetapi, jika seseorang mengucapkan kalimah ini dan melakukan dosa-dosa besar maka mengikut peraturan, azab yang dimaksudkan ialah azab yang berkekalan. Namun, rahmat Allah swt tidak terikat dengan sebarang peraturan. Allah swt telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Selain daripada syirik, Allah swt akan mengampunkan semua dosa sesiapa sahaja yang Allah swt kehendaki.

Terdapat dalam hadith bahawa Allah swt pasti mengazab seseorang yang angkuh dengan Allah swt dan ingkar untuk mengucapkan Laailaahaillallah.

Terdapat dalam satu hadith yang lain bahawa Laailaahaillallah akan sentiasa menjauhkan seseorang daripada kemurkaan Allah swt selagi dia tidak mengutamakan dunia daripada agama. Apabila seseorang itu mula mengutamakan dunia daripada agama dan dia sentiasa mengucapkan (kalimah ini) maka Allah swt menjawab,"Kamu tidak benar dengan dakwaan kamu itu."