Diriwayatkan daripada Hazrat 'Ali r.anhu katanya, "Rasulullah saw telah meriwayatkan daripada Jibrail a.s bahawa Jibrail a.s berkata, "Allah swt telah berfirman, "Sesungguhnya Akulah Allah, tidak ada tuhan melainkan Aku maka sembahlah Aku. Sesiapa yang datang kepadaKu di kalangan kamu dengan ikhlas bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah maka dia akan masuk dalam bentengKu dan sesiapa yang masuk dalam bentengKu maka dia akan terselamat daripada azabKu."
[Hadith Riwayat Imam Abu Nu'aim]
Keterangan
Jika maksud terselamat daripada azab dalam hadith ini juga adalah dengan syarat menghindarkan diri daripada melakukan dosa-dosa besar sebagaimana yang telah dinyatakan dalam hadith ke-5, maka tidaklah menimbulkan apa-apa keraguan. Tetapi, jika seseorang mengucapkan kalimah ini dan melakukan dosa-dosa besar maka mengikut peraturan, azab yang dimaksudkan ialah azab yang berkekalan. Namun, rahmat Allah swt tidak terikat dengan sebarang peraturan. Allah swt telah menjelaskan dalam al-Quran bahawa Dia tidak akan mengampuni dosa syirik. Selain daripada syirik, Allah swt akan mengampunkan semua dosa sesiapa sahaja yang Allah swt kehendaki.
Terdapat dalam hadith bahawa Allah swt pasti mengazab seseorang yang angkuh dengan Allah swt dan ingkar untuk mengucapkan Laailaahaillallah.
Terdapat dalam satu hadith yang lain bahawa Laailaahaillallah akan sentiasa menjauhkan seseorang daripada kemurkaan Allah swt selagi dia tidak mengutamakan dunia daripada agama. Apabila seseorang itu mula mengutamakan dunia daripada agama dan dia sentiasa mengucapkan (kalimah ini) maka Allah swt menjawab,"Kamu tidak benar dengan dakwaan kamu itu."
Himpunan hadith, kisah-kisah para sahabat Nabi s.a.w dan renungan untuk dikongsi dan dimanfaatkan bersama...
Aku berdoa agar Allah memberikan daku
kelurusan niat dalam sepanjang amalku
dan menutup kelemahan lidah dan hatiku
dari mengungkit-ungkit kebajikan aku
pada masa dahulu.
Semoga Allah mengasihiku dan menerima
aku sebagai tetamunya nanti di alam abadi
dan janganlah aku bagaikan orang asing
yang datang bertemuNya dalam keadaan
dagang dan tidak mempunyai sebarang
bekalan.
Semoga Allah juga mengurniakan aku
sekeping hati yang putih bagi menampung
niat sesuci-sucinya dengan amalanku
disepanjang hidupku ini.
Ya Rab.. Engkau mengetahui betapa
gementar dan takutnya daku memikirkan
saat bersendirian di alam kubur dan
berikanlah belas kasihanMu padaku
sehingga aku berada dalam
pemeliharaanMu.
Dorongilah daku dalam kerja-kerja
kebajikan yang membawa aku kepada
keampunan dan keselamatan di akhirat
nanti.
Jauhilah aku dari jalan yang membawa
kepada kebinasaan lantaran kuatnya
tarikan dunia yang memperdayakan.
Sesungguhnya aku mengharapkan
bimbinganMu pada setiap nafasku.
Tuan Hj. Ismail bin Hj. Ahmad