Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:"Setiap umatku mempunyai peluang diampun dosanya, kecuali dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Termasuk dalam melakukan dosa secara terang-terangan ialah; mereka yang melakukan dosa secara sulit tetapi di lain ketika menceritakan pula kepada orang lain."

Mutakhir ini terdapat di kalangan umat Islam berusaha menghalang perlaksanaan hukum Allah swt, jelas suatu dosa menghalang hak Allah swt.
Yang amat mendukacitakan berkempen secara terang-terangan kepada khalayak ramai untuk meraih sokongan. Mengikut sabda Nabi di atas itu bahawa dosa yang dilakukan secara terang-terangan, dikira terkecuali daripada mendapat keampunan Allah swt. Termasuk melakukan dosa terbuka ialah dosa yang dilakukan secara sulit dan tersembunyi, tetapi kemudiannya diceritakan pula kepada orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:"Sesiapa yang mendengar cerita suatu kaum, sedangkan kaum itu tidak setuju orang lain mendengar ceritanya. Jika curi dengar juga di akhirat kelak akan dicurah tembaga cair yang amat panas ke lubang telinga orang itu."
Sesetengah daripada hak orang Islam terhadap Muslim yang lain ialah dia kena mengelak diri daripada mengunjungi tempat yang boleh mendatangkan tohmah, kerana hendak jaga hati orang lain supaya tidak sangka buruk dan tuduh buat perkara yang negatif.

Ini kerana mereka itu apabila melakukan maksiat kepada Allah swt, dengan mengumpat perihal orang lain dan dia jadi punca orang lain buat maksiat umpat, bererti dia telah berkongsi sama ke atas dosa tersebut.

Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah swt yang bermaksud:"Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan." (Surah Al-Anam ayat 108)

Meskipun dengan tujuan supaya manusia meninggalkan daripada menyembah berhala , tetapi makian itu akan mengundang makian yang melampau terhadap Allah swt daripada pihak penyembah berhala itu.

Oleh yang demikian jika tidak setuju dengan akidah sesat mereka, gunakan pendekatan yang bijaksana dengan mengajarnya ilmu yang sebenar.

Terangkan mengenai akidah ketuhanan yang betul, jika dia tidak dapat menerima penjelasan itu, sekurang-kurangnya dia tidak memaki Allah swt.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:"Bagaimana pada fikiranmu orang yang maki kedua-dua ibu bapanya sendiri? Para sahabat bertanya; siapakah mereka itu? Jawab Nabi; "Mereka ialah orang yang maki ibu bapa orang lain, akibatnya orang lain maki ibu bapa mereka pula."

Ibu bapanya dimaki oleh orang berikutan daripada dia memaki ibu bapa orang itu terlebih dahulu. Natijahnya dialah sebenarnya yang memaki ibu bapanya sendiri.

Sebagai tindak balas daripada perbuatannya yang buruk itu, seperti orang menendang bola ke dinding akan membidas balik kepada diri sendiri.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a berkata:"Sesiapa yang letak dirinya di tempat yang boleh mendatangkan tomah dan tuduhan orang, maka janganlah marah terhadap orang yang sangka buruk kepadanya.

Sebahagian daripada tanggungjawab orang Islam terhadap saudara Muslim lain ialah: hendaklah berusaha untuk bantu orang yang berhajat, membawanya berjumpa orang berkenaan yang boleh menolongnya. Agar dapat disempurna hajatnya dengan seupaya mungkin.

Perlunya kesedaran agama melaksanakan hak Muslim terhadap Muslim yang lain atas tanggungjawab agama, dengan menolong apa jua kesusahan yang menimpa saudaranya. Kerana inilah unsur mengukuhkan kestabilan dalam masyarakat Islam umumnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:"Hendaklah tolong(isyfa'u) saudaramu nescaya kamu mendapat pahala."

Isyfa'u bermaksud membawa permasalahan saudaranya dengan membawanya ke pihak yang lebih berwibawa, agar dapat beri bantuan untuk atasi persoalan yang dihadapinya.

Orang yang membantu dengan orang yang membawanya, sebagai beri syafaat mendapat pahala bersama.

Setengah daripada kewajipan dari hak sesama Muslim ialah mendahului beri ucapan salam sebelum dari berkata-kata. Di samping itu hak dan tanggungjawab juga ialah berjabat salam.

Firman Allah swt yang bermaksud:"Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa)." (Surah An-Nisa ayat 86)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:"Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman, kamu tidak beriman kecuali berkasih sayang. Hendakkah aku tunjukkan satu amalan yang boleh menimbulkan kasih mesra di antara kamu?" Jawab para sahabat:"bahkan ya Rasulullah." Jelas Nabi:"Hendaklah kamu sebarkan salam."

Ucapan salam akan menimbulkan kasih mesra kerana ucapan salam itu bererti suatu permohonan doa kepada Allah swt, agar orang yang diberi ucap itu sentiasa dalam peliharaan Allah swt iaitu selamat.

Oleh kerana menjawab salam itu wajib, bererti orang itu wajib mendoakan kesejahteraan kepada saudaranya yang memberi salam.

Sabda Nabi s.a.w lagi yang bermaksud:"Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki."

Saiyidina Anas r.a mengucapkan salam kepada kanak-kanak, apabila dia bertemu dengan mereka.